Program Semarak Ramadan IKRAM Kemaman 1433H

Mari bersama-sama meningkatkan amalan dan memberikan sumbangan kepada mereka yang lebih memerlukan..

Infaq fi sabilillah

Dan kelak akan dijauhkan daripada neraka orang yang paling bertakwa iaitu orang yang menafkahkan hartanya untuk membersihkan dirinya... (QS Al-Lail : 17-20)

Suburkanlah iman

Jadikan Ramadan sebagai bulan madrasah jiwa dan ruhani..

Remaja Raikan Ramadan

Nantikan kemunculannya di lokaliti-lokaliti terpilih seluruh Kemaman!

This is default featured slide 5 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions..

Sunday, July 29, 2012

Sumbangan PSR di Pejabat-pejabat

Alhamdulillah kita sudah memasuki minggu kedua Ramadan. Semoga momentum peningkatan taqwa diteruskan dengan melipatganda amal-amal soleh di bulan yang mulia ini. Di antara amal soleh yang sangat dituntut ialah menginfakkan sebahagian harta untuk tujuan memberikan makan orang yang berpuasa dan sedekah kepada fakir miskin dan anak-anak yatim.

Bagi tujuan menambah dana sumbangan PSR, fasa seterusnya ialah kempen sumbangan di pejabat-pejabat dan sekolah-sekolah.

Antara yang terawal menyahutnya ialah kakitangan sebuah syarikat perkhidmatan penyelenggaraan loji Petronas di Kerteh iaitu Science-Tech Solutions Sdn Bhd. Mereka telah memberikan komitmen untuk bersama menyumbang bagi menjayakan PSR julung-julung kali ini di Kemaman.



PSR juga telah menerima kebenaran untuk mengutip sumbangan di salah sebuah anak syarikat Petronas di Kerteh. InshaAllah Pengerusi Jawatankuasa Khidmat Masyarakat IKRAM Kemaman, Saudara Abdul Rahman Mohd Razali akan mengetuai usaha-usaha ini.

Moga lebih ramai yang tampil menyertainya agar masyarakat mendapat limpahan tarbiah Ramadan iaitu menanam sifat dermawan di dalam jiwa masing-masing.




Saturday, July 28, 2012

PSR 2 - Program Bersama Ibu Tunggal DUN Kemasik Meriah

Alhamdulillah PSR kedua di Kemaman telah diadakan di Surau Kg Telaga Papan, Kerteh pada 27 Julai 2012 bersamaan 7 Ramadan 1433H. Ianya juga dibuat dengan kerjasama Kelab Ibu Tunggal DUN Kemasik yang dipengerusikan oleh Puan Hjh Rokiah Awang bagi meraikan ibu-ibu tunggal di sekitar DUN Kemasik yang dianggarkan sekitar 500 orang ini. Program gotong royong memasak turut disertai Wanita IKRAM Kemaman pada sebelah paginya di rumah Pengerusi Kelab Ibu Tunggal di Kg Telaga Papan ini juga. Seramai hampir 200 ibu tunggal hadir untuk memeriahkan program ini.



Majlis PSR ini dipengerusikan oleh TYDP IKRAM Kemaman, Ustaz Muzahar Hitam. Ianya dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Kelab Ibu Tunggal DUN Kemasik, diikuti oleh ucapan oleh Pengerusi JKKK Kg Telaga Papan, Encik Mohd Ghalib bin Mohamad dan Timbalan Ketua Wanita IKRAM Kemaman, Puan Hjh Yong Rafidah Salleh. Turut hadir ialah Imam Surau, Hj Omar.

Puan Hjh Rokiah di dalam ucapan aluannya merakamkan rasa terharu dan berterima kasih kepada pihak IKRAM Kemaman yang perihatin terhadap kebajikan para ibu tunggal. Komitmen ini dapat dilihat sejak ziarah awal pihak IKRAM Kemaman menemui beliau dan ahli jawatankuasanya di dalam menjayakan program ini. Beliau berharap agar kerjasama yang baik ini dapat diteruskan bagi membantu  kehidupan ibu-ibu tunggal khususnya di kawasan DUN Kemasik ini. Beliau juga mengatakan inilah kali pertama sejak penubuhan kelab ini ada badan yang datang berjumpa dengan kelab untuk bersama membantu kebajikan mereka.


Encik Ghalib pula di dalam ucapannya berharap agar pihak IKRAM Kemaman akan terus menabur bakti kepada masyarakat di kawasan ini. Sebelum ini IKRAM Kemaman telah terlibat dimana bekas YDP IKRAM Hj Zameran sendiri menyampaikan ceramah kesedaran Palestin di Masjid Pekan Kerteh dan seterusnya Karnival Kesihatan Pekan Kerteh yang dijayakan bersama dengan kerjasama pihak JKKK.


TKW IKRAM Kemaman, Hjh Yong Rafidah pula menyatakan rasa gembira beliau dapat bertemu dengan ramai ibu tunggal di majlis ini. Beliau menyatakan komitmen Wanita IKRAM untuk terus menyantuni kebajikan ibu tunggal di daerah Kemaman ini khususnya.


Program diteruskan dengan penyampaian tazkirah ramadan oleh Tuan Haji Zameran Jusoh yang kini merupakan Pengarah Operasi Pantai Timur Islamic Relief Malaysia (IRM). Beliau mengingatkan agar kita sentiasa bersabar dan bersyukur dengan ketetapan Allah SWT kepada kita. Segala ujian dan dugaan hidup perlulah dilalui dengan tenang kerana pastinya ada hikmah terbaik yang Allah SWT sediakan untuk kita. Bulan ramadan yang mulia ini wajar untuk kita perteguhkan rasa kesyukuran kita kepada Allah SWT dan berusaha merebut segala ganjaran yang disediakan kepada hamba-hamba-Nya yang berpuasa di bulan ini. Beliau juga yang mantan YDP IKRAM Kemaman yakin dengan keupayaan IKRAM sebagai organisasi yang perihatin terhadap masyarakat dan program seumpama ini merupakan bukti kesungguhan pihak IKRAM untuk menyantuni masyarakat.


Penyampaian sumbangan ramadan telah dilakukan serentak selepas tazkirah oleh Hj Zameran Jusoh dan Hjh Yong Rafidah. Sebanyak lebih 200 pek sumbangan telah diedarkan kepada ibu-ibu tunggal yang hadir. Pek-pek ini telah dibungkus oleh sukarelawan IKRAM di Pejabat Operasi IKRAM Kemaman sebelum dihantar ke surau ini.





Majlis berbuka puasa pula telah berlangsung dengan meriah selepas majlis tahlil ringkas yang dipimpin Ustaz Muzahar. Kegembiraan dan keceriaan jelas terpancar pada wajah-wajah mereka yang bersama berbuka puasa pada PSR kedua ini.






Pihak IKRAMedia juga sempat mengadakan sesi temuramah dengan wakil-wakil pertubuhan. Moganya ianya menjadi amal soleh yang diterima Allah SWT.


PSR 1 - Majlis Sumbangan & Berbuka Puasa di Masjid Kg Seberang Tayor

Alhamdulillah program PSR 2012 Peringkat Daerah Kemaman membuka tirai dengan majlis penyampaian sumbangan ramadan dan berbuka puasa bersama masyarakat Kg Seberang Tayur Hulu dan Kg Seberang Tayur Hilir di Masjid Kg Seberang Tayur pada 26 Julai 2012 bersamaan 6 Ramadan 1433H.

Program dimulakan dengan ucapan aluan Pengerusi Masjid Kg Seberang Tayur iaitu Hj Kamaludin Mamat dan juga ucapan YDP IKRAM Kemaman, Ustaz Hj Mazlan Ahmad.


Hj Kamaludin di dalam ucapan aluan beliau menghargai kesudian pihak Pejabat Agama Daerah Kemaman dan Pertubuhan IKRAM Kemaman kerana menjadikan masjid ini sebagai tempat pertama program PSR 2012 Peringkat Daerah Kemaman yang julung-julung kali diadakan ini. Beliau juga berharap agar program yang sama dapat diadakan lagi di tahun-tahun akan datang.

Ustaz Hj Mazlan pula menyatakan rasa sukacitanya dapat bersama masyarakat kampung di kawasan ini kembali dimana beliau pernah berkhidmat selama tiga tahun sebagai PKHEM di SMK Air Putih dimana Kg Seberang Tayur adalah salah sebuah penempatan pelajar sekolah itu. Beliau juga merakamkan penghargaan kepada pihak Pejabat Agama Daerah Kemaman yang dengan gabungan kerjasama berjaya merealisasikan PSR secara besar-besaran di daerah ini.

Program diteruskan dengan penyampaian tazkirah ramadan oleh Yang berbahagia Ustaz Hj Zulkefli Othman selaku Pegawai Agama Daerah Kemaman. Beliau yang juga anak jati kampung ini melahirkan rasa gembira kerana dapat bertemu penduduk di kampung ini dan saudara mara beliau. Beliau juga berterima kasih kepada pihak IKRAM Kemaman yang menjadi peneraju utama Projek Semarak Ramadan ini.

Beliau memulakan tazkirah dengan membaca sebuah hadis yang panjang yang merupakan khutbah baginda Rasulullah s.a.w. yang mengingatkan umatnya tentang kelebihan Ramadan dan menyeru umat Islam untuk memanfaatkannya. Ini termasuklah untuk bersolat teraweh, memberi makan orang miskin dan yang berpuasa, menyantuni anak-anak yatim, memanfaatkan malam-malam terakhir ramadan dimana di dalamnya ada satu malam Lailatul Qadr yang ganjaran beribadah di malam tersebut menyamai seribu bulan. Baginda s.a.w. juga menyebut di dalam khutbah tersebut tentang tiga fasa ramadan iaitu di awalnya fasa rahmah, di pertengahannya fasa keampunan Allah SWT dan di hujungnya fasa pembebasan daripada api neraka.





Beliau juga menyeru agar masyarakat di kampung ini menyemarakkan bulan ramadan ini dengan berbagai aktiviti ibadah termasuklah membaca al-Quran, mengimarahkan masjid, menghidupkan malam dengan qiamullail dan beriktikaf di masjid pada sepuluh hari terakhir ramadan.

Penyampaian sumbangan ramadan pula telah disampaikan oleh Ustaz Hj Zulkefli kepada 60 orang miskin dan 19 orang anak yatim selepas majlis tazkirah tersebut. Dua orang wartawan Sinar Harian juga hadir membuat liputan tentang majlis ini.



Majlis berbuka puasa juga meriah. Ianya diadakan di dalam dan juga di luar masjid. Jamuan berbuka puasa ini diadakan secara gotong royong oleh masyarakat kampung di sini. Sebelum majlis berbuka puasa, satu majlis tahlil dan doa telah dipimpin oleh Imam Masjid iaitu Ustaz Hj Muhammad Daud. Kehadiran ramai ahli masyarakat di kedua-dua kampung termasuk para belia menambahkan lagi keceriaan dan kejayaan program ini.





Program berakhir selepas solat maghrib berjamaah di masjid tersebut. Pihak IKRAMedia Kemaman juga sempat menemuramah Pegawai Agama dan Pengerusi JKKK Kg Seberang Tayur Hilir selepas solat maghrib.


Friday, July 20, 2012

Antara 10 Lokasi PSR Di Daerah Kemaman

Alhamdulillah saat bertemu Ramadhan hampir tiba. Mudah-mudahan kita dapat bersama melalui bulan ini dengan amalan yang terbaik (ahsanu 'amala). Moga segala dosa kita diampunkan Allah SWT. Moga kita meraih pahala yang berlipat kali ganda. Moga kita bertemu malam Qadr yang sangat istimewa itu. Moga kita mendampingi al-Quran secara lebih intensif dan menyegarkan jiwa. Moga kita mengambil pelajaran daripada mereka yang kurang bernasib baik dan dapat menyantuni mereka. Moga kita kembali kepada fitrah. Mudah-mudah persediaan peribadi selama dua bulan di bulan Rajab dan Syaaban kali ini membantu kita untuk melalui Ramadhan dengan lebih bermakna.

InshaAllah IKRAM Kemaman akan membantu kita untuk meningkatkan amal di bulan yang mulia ini. Projek Semarak Ramadhan (PSR) dengan kerjasama Pejabat Agama Daerah Kemaman, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kemaman, Persatuan Masjid Daerah Kemaman dan Islamic Relief Malaysia Wilayah Pantai Timur ini diharapkan mendapat sambutan yang baik daripada ahli-ahli IKRAM dan juga masyarakat khususnya di daerah Kemaman ini.

Elok kita tinjau lokasi-lokasi PSR yang akan diadakan. Mudah-mudahan ianya memotivasikan kita untuk menghulur derma kita bagi tujuan meraikan mereka yang berbuka puasa dan meringankan beban golongan yang kurang bernasib baik - fakir miskin, anak-anak yatim serta ibu tunggal.

Sehingga 30 Syaaban 1433H, kita telah mendapatkan pengesahan beberapa buah lokasi untuk tujuan ini. Senarainya akan bertambah lagi dalam sedikit masa lagi.

Lokasi yang pertama ialah Masjid Kg Seberang Tayor. Ianya meliputi beberapa buah perkampungan Melayu tradisi dimana masyarakatnya tinggal iaitu Kg Seberang Tayur Hulu, Kg Seberang Tayur Hilir,  Kg Lubuk Lebar, Kg Lubuk Batu dan Kg Pasir Merah. Terdapat sekitar 200 buah rumah di kawasan ini. Terdapat juga sebuah sekolah rendah di sini dan berjiran pula dengan Felda Seberang Tayor (iaitu antara rancangan tanah Felda tertua di Terengganu yang bermula tahun 1964) yang mempunyai masjidnya sendiri. Kebanyakan penduduk bekerja sebagai petani dan buruh kasar.


Pengerusi Masjid Kg Seberang Tayor ialah Hj Kamaludin bin Mamat. Beliau juga salah seorang Imam Masjid di sini. Salah seorang imam tetap di sini ialah Ustaz Hj Muhamad bin Daud. Sempat juga menziarahi beliau selesai solat zuhur berjamaah di masjid ini baru-baru ini. Kampung ini di bawah DUN Air Putih. Majlis berbuka puasa dan menyampaikan sumbangan Ramadhan PSR akan diadakan di masjid ini pada 6 Ramadhan 1433H bersamaan 26 Julai 2012. Majlis ini akan dihadiri sendiri oleh Tuan Kadhi Daerah Kemaman, Ustaz Hj Zulkefli Othman yang merupakan salah seorang anak kelahiran kampung ini. Beliau sendiri akan menyampaikan tazkirah dan sumbangan tersebut. Ahli-ahli IKRAM digalakkan bersama anggota masyarakat untuk bergotong royong memasak jamuan berbuka puasa yang akan bermula pada pagi 26 Julai tersebut di perkarangan masjid.

Lokasi yang kedua ialah di Surau Kg Telaga Papan di Pekan Kerteh. Program ini melibatkan penyertaan ibu-ibu tunggal di sekitar Kerteh. Di dalam ziarah TYDP IKRAM Kemaman, Ustaz Muzahar Hitam bersama rombongan ke rumah Pengerusi Kelab Ibu Tunggal Kerteh, Hjh Rokiah Awang baru-baru ini, Turut hadir ialah Pengerusi JK Khidmat Masyarakat IKRAM Kemaman iaitu Sdr Abdul Rahman Mohd Razali dan AJK Kelab Ibu Tunggal Kerteh. Pengerusi memaklumkan ada sekitar 500 orang ibu tunggal di kawasan ini tetapi hanya sekitar 100 orang yang aktif bersama persatuan. Kebanyakan mereka adalah yang kematian suami, telah bercerai, menjaga suami yang terlantar sakit hilang upaya bekerja dan tidak bersuami tetapi menjaga ibubapa mereka. Puan Rokiah menyatakan sebelum ini tidak ada badan atau pertubuhan yang datang bersemuka dengan mereka untuk mengetahui tentang permasalahan mereka. InshaAllah program ini gotong royong memasak, tazkirah & tahlil serta penyampaian sumbangan akan diadakan pada 7 Ramadhan 1433H bersamaan 27 Julai 2012. InshaAllah Wanita IKRAM Kemaman akan bersama membantu menjayakan program ini.


Lokasi yang ketiga ialah Masjid Kg Ibuk yang terletak di DUN Kijal. Ianya meliputi beberapa perkampungan Melayu tradisi. Program dijangka akan diadakan pada 14 Ramadhan 1433H bersamaan 3 Ogos 2012. Satu perjumpaan dengan Pengerusi Masjid Encik Ngah Mamat telah diadakan di rumah beliau. Beliau sangat bersetuju untuk mengadakan program seumpama ini lebih-lebih lagi mendapat kerjasama Pejabat Agama Daerah Kemaman. Masjid Kg Ibuk ini meliputi 7 buah kampung iaitu Kg Ibuk, Kg Mak Yah, Kg Pondok Limau, Kg Pondok Pasir, Kg Jong Belabuh, Kg Kaising dan Kg Padang Kemunting. Ianya terletak sekitar 10km daripada bandar Chukai. Aktiviti utama penduduk di kawasan ini ialah berasaskan pertanian dan pelancongan. Banyak juga projek inap desa (homestay) di kawasan ini.


Lokasi yang keempat ialah Masjid Kg Batu Putih. Ianya terletak lebih kurang 7km daripada Pekan Kerteh di dalam DUN Kemasik dengan jumlah penduduk sekitar 500 orang. Ianya sebuah perkampungan Melayu tradisi yang penduduknya rata-rata bekerja sendiri dan petani. Bagi generasi muda pula, ramai juga yang bekerja di dalam industri minyak dan gas di Kerteh. Ini merupakan program kedua IKRAM Kemaman dengan pihak masjid menerusi program ceramah Palestin. Satu perjumpaan telah diadakan bersama Pengerusi Masjid (yang juga Pengerusi JKKK) Encik Aziz dan Imam Masjid Hj Husin. InshaAllah program gotong royong memasak di perkarangan masjid, tazkirah & tahlil, majlis penyampaian sumbangan dan berbuka puasa akan diadakan di masjid ini pada 15 Ramadhan 1433H bersamaan 4 Ogos 2012.



Lokasi yang kelima ialah Masjid Al-Firdaus Kg Ranggon Estate. Ianya terletak di dalam perkampungan estet kelapa sawit milik syarikat Yee Seng di Kg Pengkalan Ranggon, Kerteh di bawah DUN Kemasik. Ianya mempunyai keluasan 5000 ekar. Pekerja di sini ialah di kalangan orang Melayu dan India. Satu perjumpaan telah diadakan bersama Pengerusi Masjid Encik Kamal yang merupakan generasi kedua (dilahirkan di estet ini) baru-baru ini. Keadaan infrastruktur di kawasan ini agak kekurangan dan aktiviti masjid juga tidak begitu aktif. Mereka masih menjalankan solat Jumaat di sini dengan kehadiran ahli jamaah lelaki sekitar 60-70 orang. Estet ini berjiran dengan sebuah lagi estet iaitu Kg Pahang Estate yang juga mempunyai masjid sendiri. Program PSR akan diadakan di masjid ini pada hari Nuzul Quran iaitu pada 17 Ramadhan 1433H bersamaan 6 Ogos 2012 inshaAllah.


Lokasi yang keenam ialah Masjid Kg Pasir Gajah yang terletak di jalan utama antara bandar Chukai dengan Kg Air Putih di bawah Mukim Pasir Semut. Pertemuan telah dibuat dengan Pengerusi Masjid Encik Mustafa di kedai makanan anak beliau di Kg Pasir Gajah. Menurut Encik Mustafa ada sekitar 500 buah rumah di kampung ini. Masjid ini meliputi beberapa perkampungan Melayu yang lain juga sehingga ke Kg Paman. Terdapat juga sebuah sekolah rendah dan balai polis di kawasan ini. InshaAllah program gotong royong memasak, tazkirah & tahlil, berbuka puasa serta sumbangan ramadhan akan diadakan pada 21 Ramadhan 1433H bersamaan 10 Ogos 2012. Ini adalah program kedua selepas program ceramah Palestin IKRAM Kemaman & Aqsa Syarif di masjid ini.


Kita juga akan adakan Program Remaja Raikan Ramadhan (3R) di dua buah masjid lagi iaitu di Masjid Sultan Ahmad dekat bandar Chukai dan Masjid Felda Kerteh 5. Ianya akan dilaksanakan dengan kerjasama beberapa buah sekolah menengah berdekatan masjid. InshaAllah akan dikongsi dalam slot penulisan yang lain inshaAllah.

Di dalam mesyuarat JK Pelaksana PSR semalam, kami mensasarkan kutipan sumbangan Ramadhan daripada ahli-ahli IKRAM dan anggota masyarakat sebanyak RM50,000 bagi tujuan projek ini. Salah satunya ialah kami mensasarkan setiap ahli IKRAM di negeri ini menyumbang sebanyak RM100 seorang. Untuk tujuan itu, kami menyeru agar ahli-ahli IKRAM dapat membantu menjayakan projek khidmat masyarakat ini.

Boleh terus bank-in ke BIMB Pertubuhan IKRAM Kemaman di nombor akaun : 13026010047609 dan hubungi Bendahari, Hj Norfizam (019-9642812) atau Pengerusi JK Khidmat Masyarakat Negeri, Hj Abdul Aziz (019-9514399) atau Pengerusi JK Khidmat Masyarakat Daerah, Sdr Abdul Rahman (019-3603125).

Selamat menyambut bulan Ramadhan yang mulia ini.

Thursday, July 19, 2012

Majlis Pelancaran Projek Semarak Ramadhan Peringkat Daerah Kemaman selamat disempurnakan

Alhamdulillah majlis perasmian pelancaran Projek Semarak Ramadhan Peringkat Daerah Kemaman telah selamat disempurnakan oleh Tuan Kadhi Daerah Kemaman, Ustaz Hj Zulkefli Othman di Masjid Kg Pengkalan Pandan malam tadi. Lebih daripada 200 orang hadir ke majlis yang bermula selepas solat Maghrib ini. Program ini adalah anjuran bersama Pejabat Agama Daerah Kemaman, Pertubuhan IKRAM Kemaman, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kemaman, Persatuan Masjid Daerah Kemaman dan Islami Relief Malaysia (IRM) Pantai Timur.

Menurut Pengarah Projek, Hj Fakhrul Anuar bin Zulkawi, program ini antara lain mensasarkan sebanyak 10 majlis berbuka puasa dan sumbangan Ramadhan kepada golongan kurang bernasib baik di 10 buah masjid di daerah Kemaman. Antaranya ialah Masjid Kg Batu Putih Kerteh, Masjid Kg Ranggon Estate Kerteh, Masjid Kg Ibok, Masjid Kg Pasir Gajah, Masjid Kg Payoh Kijal dan Masjid Kg Air Putih. Manakala 3 program Remaja Raikan Ramadhan (3R) akan diadakan di tiga buah masjid iaitu di Masjid Sultan Ahmad Chukai, Masjid Felda Kerteh 5 dan Surau Rantau Petronas. Manakala program Iktikaf Perdana bakal diadakan di dua buah masjid iaitu Masjid Teluk Kalong dan Masjid Pekan Kerteh. Beliau juga menyeru agar umat Islam di daerah ini untuk sama-sama terlibat menyumbang wang ringgit dan tenaga bagi menjayakan program ini.


Majlis perasmian ini juga dihadiri  YDP IKRAM Negeri Terengganu, Ustaz Hj Lokman bin Dato' Awang. Beliau telah menyampaikan ceramah Ramadhan bertajuk "Ahlan Ya Ramadhan" selepas solat maghrib di masjid ini. Ustaz Lokman menekankan peri pentingnya kita membuat persediaan menghadapi bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan ini dan memastikan kita tidak melepaskan peluang keemasan yang diberikan oleh Allah SWT kepada umat Islam sebulan di dalam setahun ini dengan melipatgandakan amal ibadah di bulan yang mulia ini.


Turut hadir ialah Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kemaman, Encik Ghazali Awang. Beliau turut menyampaikan kata-kata aluan beliau. Antara lain beliau menyebut betapa pentingnya kita memanfaatkan bulan ini untuk memberikan khidmat kebajikan kepada golongan yang kurang bernasib baik. Menurut beliau, di daerah ini sahaja ada sekitar 3000 orang penerima bantuan daripada Pejabat  Kebajikan Masyarakat Daerah Kemaman setiap bulan. Beliau amat mengalukan usaha yang dibuat oleh Pejabat Agama Daerah Kemaman dan Pertubuhan IKRAM Kemaman ini. Malah beliau turut memuji usaha Pertubuhan IKRAM Kemaman di dalam menyantuni golongan remaja yang bermasalah sebelum ini.


Ustaz Hj Zulkefli Othman di dalam ucapan perasmian beliau sangat gembira dengan program yang julung-julung kalinya diadakan secara besar-besaran dan mengharapkan agar program ini mampu memberikan manfaat kepada seluruh umat Islam di daerah ini. Hasil sokongan pelbagai pihak khususnya penggemblingan pertubuhan-pertubuhan Islam di daerah ini mampu mencapai segala objektif projek ini. Beliau juga berharap agar semua masjid di daerah ini memberikan sokongan dan kerjasama yang padu bagi menjayakan Projek Semarak Ramadhan kali ini. Segala program yang telah dan bakal disusun diharapkan membantu semua golongan masyarakat termasuk para remaja di daerah ini. Beliau yakin program ini akan menatijahkan kebaikan yang banyak kepada perkembangan dakwah di daerah ini juga.


Program ini diakhiri dengan majlis penyampaian cenderahati disampaikan oleh YDP IKRAM Kemaman, Ustaz Hj Mazlan Ahmad kepada Ustaz Hj Zulkefli Othman dan tetamu-tetamu jemputan yang lain.


Selepas majlis makan malam, sesi bergambar bersama tetamu jemputan dan jawatankuasa penganjur diadakan sebagai kenang-kenangan. Semoga program ini memberikan impak dan kesannya kepada semua pihak.



PSR - Berbuka Puasa di Masjid Kg Ibok

InshaAllah program berbuka puasa sedang dirancang pada 3 Ogos 2012 untuk masyarakat Kg Ibok dekat Kemaman. Pengesahan akan dibuat oleh Pengerusi Masjid Encik Ngah dalam pertemuan di rumah beliau semalam.

Masjid Kg Ibok adalah antara masjid baru dibina semula menggantikan yang lama.


Kawasan perkampungan Ibok ini menarik juga. Antara tarikannya ialah melihat kelip-kelip yang bercahaya di waktu malam.


Wednesday, July 18, 2012

PSR - Berbuka Puasa di Masjid Kg Pasir Gajah

Tengahari tadi telah diadakan satu pertemuan dengan Pengerusi Masjid Kg Pasir Gajah, Encik Mustafa Muda di kedai makan beliau di kampung ini. Kg Pasir Gajah adalah di bawah DUN Air Putih yang mempunyai jumlah rumah sekitar 500 buah.


Program berbuka puasa akan diadakan di Masjid Kg Pasir Gajah yang cantik dan tersergam indah ini pada 10 Ogos 2012 bersamaan 21 Ramadhan 1433H. Semoga semuanya berjalan lancar.


PSR - Program 3R di Felda Kerteh 5

Satu perbincangan telah dibuat dengan Ketua Peneroka Felda Kerteh 5 Encik Rashid Muhamad di depan kediaman beliau di felda tersebut. Ianya bertujuan bagi merangka satu program Remaja Raikan Ramadhan (3R) yang bakal diadakan di Masjid Felda Kerteh 5 pada 3-4 Ogos 2012.



Program 3R ini ditumpukan kepada para remaja berusia 15 hingga 19 tahun yang bersekolah di dua buah sekolah menengah di sini iaitu SMK Ketengah Jaya dan SMK Semarak B5.




PSR - Masjid Kg Ranggon Estate

Kg Ranggon Estate ialah sebuah perkampungan pekerja-pekerja ladang kelapa sawit milik syarikat Yee Seng sejak awal 1980an lagi. Ianya meliputi kawasan seluas 5000 ekar berhampiran Pekan Kerteh dengan bilangan penduduk sekitar 200 orang. Kehidupan di sini agak terkebelakang di sudut pembangunan infrastrukturnya, namun sudah masuk generasi kedua yang menetap dan bekerja di ladang ini.

Berkesempatan solat asar berjamaah di masjid dan bertemu Pengerusi Masjid Kg Ranggon Estate ini iaitu Encik Kamal Mamat. Masjid ini masih menjalankan solat jumaat walaupun bilangan ahli jemaah sekitar 60-70 orang sahaja.



Kehidupan di sini agak terkebelakang di sudut pembangunan infrastrukturnya, namun sudah masuk generasi kedua yang menetap dan bekerja di ladang ini.



Program berbuka puasa akan diadakan sempena cuti Nuzul Quran pada 6 Ogos 2012 bersamaan 17 Ramadhan 1433H. Semoga program berjalan lancar dan diberkati.

Pages