Saturday, June 02, 2012

Apa Yang Boleh Kita Pelajari Daripada AKP Turki

Walaupun masih dalam kehangatan kempen Presiden di Mesir, elok juga kita jenguk semula pengalaman di Turki pada tahun lalu. AKP mula memerintah sejak tahun 2002 di Turki.

Berkongsi penulisan Sdr Zulkifli Sulong (Harakah) sebelum ini yang mengikuti kempen pilihanraya di Turki pada Jun 2011 yang lalu. Menurut pengamatan beliau, walaupun di Turki terdapat pengamalan kebebasan media, namun ada perkara-perkara penting yang boleh dipelajari antaranya :-

1- Kempen ini yang inklusif atau memasukkan semua orang dalam sasaran.  Di Turki , AK disenangi semua pihak. Yang mahukan Islam menyokong AKP, yang sudah jauh dari Islam juga menyokong AKP. Ketika AKP memperjuangkan hak untuk wanita Islam memakai tudung, parti itu juga memberikan peluang kepada wanita yang tidak bertudung untuk menjadi calon mereka.

2- Cara kempen Turki juga berjaya membawa golongan muda dan seluruh keluarga untuk bersama merekaLebih 80 peratus pihak yang meraikan kemenangan AKP 12 Jun 2011 adalah golongan muda yang datang bersama keluarga mereka. Ketika berkempen begitu juga. Ramai sekali golongan ini bersama berarak di jalan raya (walk about) bersama calon-calon AKP.  Ketika berkumpul di sebuah taman untuk mendengar ucapan, ia juga dipenuhi anak-anak muda. 
Pemimpin AKP sendiri mendekati mereka bukannya diserahkan kepada pemimpin muda sahaja. Lagipun, suasana yang dihasilkan dalam kempen juga menggamit anak muda dan keluarga untuk turut bersama dalam kempen itu.

3- Pendekatan kempen mereka bukan pentas ceramah semata tetapi berkumpul di taman, berjalan di kawasan perumahan dengan diiringi muzik yang sesuai dan sebagainya.

4- Pendekatan kempen AKP juga bercorak 'lihat dan percaya'. Melalui pendekatan ini, bahan-bahan kempen AKP juga lebih bercorak gambar yang besar-besar. Gambar-gambar besar tanpa perkataan ini di pasang di merata-rata tempat khasnya di pejabat-pejabat AKP.

5- Jentera kempen utama AKP adalah van yang dibaluti dengan gambar bahan kempen parti mereka. Van-van ini disewa untuk tempoh kempen ini sahaja. Pendekatan ini menyebabkan AKP boleh dilihat di merata tempat. Untuk Istanbul sahaja, AKP mempunyai lebih 300 buah vanSetiap calon anggota Parlimen mereka akan mempunyai sekurang-kurangnya dua buah van semacam ini.

6- Dalam kempen ini, AKP banyak memaparkan kejayaan yang dibuat oleh mereka sepanjang lapan tahun pentadbiran AKP bermula 2002 lalu. Mereka bandingkan setiap perkara dari pendidikan, kesihatan, pengangkutan, ekonomi dan sebagainya. Perbandingan dibuat antara 'Nereden' (dahulu) dan 'Nereye' (kini) dalam bentuk gambar, grafik dan angka yang besar, jelas dan terang.

0 comments:

Pages