Thursday, October 25, 2012

Kedudukan Johor Yang Tidak Menentu

Salah sebuah negeri yang disasarkan Pakatan Rakyat untuk PRU13 ialah negeri Johor. Sebelum ini ianya negeri fixed deposit BN sejak selepas merdeka sehinggalah ke PRU12 yang lalu. Tetapi apabila angin perubahan melanda rakyat hari ini, kedudukan BN di Johor kini tergugat terutama di kawasan-kawasan Parlimen yang mempunyai profil pengundi campuran. Apa yang dimaksud dengan kerusi campuran? Ianya ialah kerusi yang mempunyai profil pengundi Melayu, Cina dan India yang sekitar 50:50 atau pengundi Melayu kurang dari 60%.

Dimana kerusi-kerusi campuran ini? Pada PRU12 pada Mac 2008, BN menang 25 kerusi Parlimen dan DAP menang 1 kerusi iaitu di Parlimen P.145 Bakri. Manakala di peringkat negeri, daripada 56 DUN, BN menang 50 kerusi dan PR menang 6 kerusi (2 PAS & 4 DAP).

Ketika PRU12, PR bertanding di semua Parlimen kecuali Pengerang (menang tanpa bertanding) dimana ianya diwakili PAS (10), DAP (6), PKR (8) dan PRM (1). Di DUN pula, PR bertanding di semua kerusi dimana ianya diwakili PAS (32), DAP (12), PKR (10) dan PRM (1).

Di Johor, kerusi-kerusi ini dianggarkan berjumlah 16 buah iaitu di P.140 Segamat, P.141 Sekijang, P.142 Labis, P.144 Ledang, P.145 Bakri, P.148 Ayer Hitam, P.150 Batu Pahat, P.151 Simpang Renggam, P.152 Kluang, P.153 Sembrong, P.158 Tebrau, P.159 Pasir Gudang, P.160 Johor Bharu, P.161 Pulai, P.162 Gelang Patah dan P.165 Tanjung Piai. Satu lagi kerusi Parlimen yang majoriti Melayu melebihi 60% tetapi menunjukkan sokongan PR yang tinggi sebelum ini dengan margin ialah di P.146 Muar.

Sekiranya tsunami PRU12 tahun 2008 melanda Johor pada PRU13 dimana 60-70% pengundi Cina dan 30-40% pengundi Melayu menyokong PR, ini bermakna minima 6 kerusi dijangka bakal dimenangi mudah oleh PR iaitu Segamat (DAP), Labis (DAP), Bakri (DAP), Muar (PKR), Kluang (DAP) dan Gelang Patah (PKR) selain 10 kerusi lain yang boleh menang seperti yang saya sebut di atas. Dua kerusi PKR di atas ditandingi dua calon orang Melayu sebelum ini.

Sewajarnya satu kajian lapangan kecenderungan pengundi di Johor dibuat memandangkan bilangan kerusi pengundi bercampur yang banyak ini termasuk kajian khusus kepada pengundi baru dan muda. Sekiranya 16 kerusi ini semua jatuh kepada Pakatan Rakyat, bermakna PR hanya memerlukan 14 kerusi lagi di negeri-negeri lain untuk menang simple majority untuk ke Putrajaya. Dan sekiranya semua 16 kerusi jatuh, kemungkinan besar Johor akan mempunyai Menteri Besar baru di kalangan  calon Melayu dari PAS inshaAllah.





0 comments:

Pages