Program Semarak Ramadan IKRAM Kemaman 1433H

Mari bersama-sama meningkatkan amalan dan memberikan sumbangan kepada mereka yang lebih memerlukan..

Infaq fi sabilillah

Dan kelak akan dijauhkan daripada neraka orang yang paling bertakwa iaitu orang yang menafkahkan hartanya untuk membersihkan dirinya... (QS Al-Lail : 17-20)

Suburkanlah iman

Jadikan Ramadan sebagai bulan madrasah jiwa dan ruhani..

Remaja Raikan Ramadan

Nantikan kemunculannya di lokaliti-lokaliti terpilih seluruh Kemaman!

This is default featured slide 5 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions..

Saturday, November 24, 2012

Perhimpunan & Perarakan Selamatkan Gaza Di Kuala Terengganu

Alhamdulillah IKRAM Terengganu dan Aqsa Syarif Terengganu telah berjaya menganjurkan satu perhimpunan dan perarakan aman selamatkan Gaza di Kuala Terengganu semalam, 23 November 2012 bersamaan 9 Muharam 1434. Ianya merupakan satu lagi landmark kepada usaha penggemblingan ummah berhubung isu Palestin di negeri ini. Program ini telah diadakan selepas solat Jumaat di Masjid Negeri iaitu Masjid Abidin dimana perarakan bermula dan berakhir di Dataran Syahbandar, Kuala Terengganu. Program ini turut disertai Imam Besar Masjid Negeri, Ustaz Hj Azizi Saidi bin Abdul Aziz dan beberapa NGO yang lain termasuk ABIM, WADAH dan Haluan.

Ahli-ahli IKRAM dari luar Kuala Terengganu telah mula berkumpul di Pejabat IKRAM Negeri sebelum solat Jumaat lagi.

Manakala para petugas program yang diketuai Dr Afandi Salleh yang juga wakil Aqsa Syarif Terengganu telah mula melakukan persiapan di perkarangan masjid.

Imam Masjid Negeri di dalam ucapan sebelum khutbah Jumaat telah menyeru semua ahli jamaah untuk turut serta menyertai perhimpunan yang dianjurkan oleh IKRAM ini sebagai tanda sokongan dan prihatin terhadap isu Palestin ini. Beliau yang juga menyampaikan khutbah dan menjadi imam telah sekali lagi mengingatkan ahli jamaah selepas doa selepas solat untuk sama-sama menyertai perhimpunan ini. Ini satu lagi kejayaan IKRAM di dalam melibatkan tokoh masyarakat di dalam program ini.


Perhimpunan dan perarakan ini disertai hampir 1000 orang ini telah dipimpin oleh YDP IKRAM Negeri Ustaz Hj Mohd Lokman bin Dato' Awang disertai pimpinan IKRAM Negeri dan Daerah termasuk YDP IKRAM Kuala Terengganu Ustaz Dr Zawawi Ali, YDP IKRAM Dungun Hj Nawawi Yusof dan YDP IKRAM Kemaman Ustaz Hj Mazlan Ahmad. Disamping itu pimpinan NGO lain yang turut bersama ialah YDP ABIM Terengganu Hj Zukiferee Ibrahim, Penasihat PEMIKIR Mat Azizur Raziz dan YDP WADAH Ustaz Hj Harun bersama Imam Besar Masjid Negeri.



Perarakan bermula dengan ucapan menaikkan semangat untuk menyertai perhimpunan ini oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembelaan Sejagat Ustaz Muzahar Hitam di selang seli oleh laungan semangat jihad membantu Palestin dan Gaza yang berterusan oleh beberapa orang anak muda diketuai Qayyim Hafidzi dan Ubaidullah Harith yang juga Pengerusi Siswa IKRAM Terengganu Utara. Program ini juga mendapat kerjasama dan kawalan pihak keselamatan bagi melancarkan perjalanan perhimpunan ini.




Perarakan berhenti berkumpul di Dataran Syahbandar dimana ucapan pimpinan NGO telah dimulakan oleh YDP IKRAM Terengganu Ustaz Lokman Awang. Beliau menyeru agar masyarakat Islam di negeri Terengganu khususnya untuk terus bangkit dan cakna berhubung perjuangan membantu Palestin membebaskan negara mereka daripada penjajah Israel dan memberi peluang kepada rakyat termasuk anak-anak Gaza untuk hidup dengan aman. Beliau mengajak umat Islam agar terus membantu memberikan sokongan material dengan bantuan harta dan wang ringgit dan spiritual menerusi doa dan munajat yang berterusan. Ustaz Hj Harun yang mewakili WADAH dan ABIM pula menyentuh tentang sejarah perjuangan rakyat Palestin dan penubuhan negara haram Israel yang mendapat restu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Beliau juga mengajak umat Islam untuk terus memboikot barangan Israel dan dagangan Malaysia dengan Israel khususnya dalam penjualan minyak sawit ke negara itu oleh kerajaan Malaysia. Manakala Dr Afandi Salleh selaku wakil Aqsa Syarif mengingatkan umat Islam agar terus mengaktifkan gerakan menyokong perjuangan membebaskan Palestin dan menyelamatkan Masjidil-Aqsa daripada penguasaan Zionis Israel. Majlis ucapan yang dipengerusikan Ustaz Muzahar Hitam ini berakhir sekitar 3.30 petang dengan bacaan doa yang cukup syahdu oleh Imam Besar Masjid Negeri, Ustaz Hj Azizi Saidi.






Satu flash mob Palestin telah dianjurkan oleh mahasiswi Persatuan Fakulti Perubatan UNISZA dan IKRAM Siswa selepas berakhir do'a penutup program ini.


Sidang media telah diadakan selepas perhimpunan disertai beberapa media termasuk Berita Harian, Sinar Harian dan Metro. Program ini telah mendapat liputan TV3 di dalam Berita Jam 8 malam pada hari yang sama.



Semoga program ini meningkatkan lagi kesedaran ummah tentang perjuangan rakyat Palestin dan merapatkan kerjasama agensi dan NGO di negeri ini inshaAllah. Penggemblingan ahli-ahli IKRAM termasuk anak-anak muda dan wanita yang menjadi penggerak utama kepada perjalanan program ini juga wajar diberikan ucapan tahniah!

Thursday, November 15, 2012

Pendekatan Baru Kempen - Jelajah Merdeka Rakyat Di Kemaman 17 Nov 2012

Selepas ziarah dan ceramah ringkas DSAI di Kerteh pada 9 November 2012 lepas di Kerteh selepas solat Jumaat, inshaAllah Siri Jelajah Bas Merdeka Rakyat Bersama Dato' Seri Anwar Ibrahim ke Terengganu akan diadakan pada Sabtu 17 November 2012. Program satu hari bermula di DUN Kota Putera dan DUN Permaisuri di sebelah pagi sebelum mereka ke Parlimen Dungun dan akan berakhir di Parlimen Kemaman dengan ceramah Merdeka Rakyat DSAI bersama pimpinan Pakatan Rakyat termasuk Setiausaha Agung PKR Dato' Saifudin Nasution, Pengerusi PKR Terengganu YB Azan Ismail, Ketua Cabang PKR Kemaman Sdr Rafizi Ramli dan YDP PAS Kemaman Hj Ismail Harun. Di Kemaman, program ini akan diadakan di Dataran Tok Guru Kg Geliga, Cukai bermula jam 8.00 - 12.00 malam.

PKR pada PRU13 ini banyak mengambil kaedah kempen 'political rally' AK Party di Turki dengan menampilkan wajah karismatik Tayyip Erdogan seperti gambar-gambar di bawah :-


DSAI kini menggunakan bas dan trailer di dalam siri Jelajah Merdeka Rakyat ini. Ketika di Kerteh, bas beliau dengan mudah berhenti di tepi jalan besar Kuantan-Kuala Terengganu di hadapan markaz ceramah tersebut dan ini meningkatkan visibiliti kempen beliau dan boleh berceramah di mana-mana termasuk di tengah-tengah panas tengahari.


Sekiranya pendekatan ini juga dilaksanakan oleh parti-parti komponen yang lain di dalam Pakatan Rakyat, kita bakal menyaksikan siri kempen yang lebih menarik dan luarbiasa menjelang PRU13 ini.


Monday, November 12, 2012

Pemimpin Masa Depan - Cabaran & Hambatan

Alhamdulillah saya sempat menghadiri satu perkongsian oleh salah seorang ahli Parlimen DPI RI dari Partai Keadilan Sejahtera (PKS) iaitu Dr Mordani semalam. Program yang dihadiri rata-rata anak-anak muda mahasiswa, beliau yang baru berusia 44 tahun itu telah menyampaikan satu perkongsian yang cukup menarik untuk dihayati bersama.

Beliau memulakan dengan menegaskan satu hakikat dakwah iaitu proses transformasi untuk membawa masyarakat hari ini secara individu dan sosial serta budaya dan struktural berdasarkan ayat di dalam surah ar'Ra'd:11 yang bermaksud : "Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri." ke arah sebuah masyarakat madani. Gesaan beliau ini mengingatkan saya tentang ayat yang sama yang dipopularkan oleh dua orang tokoh reformis Melayu di era permulaan kemerdekaan negara kita sekitar lewat tahun 50an dan 60an iaitu almarhum Dr Burhanuddin al-Helmi dan almarhum Prof Dr Zulkifli Muhammad di dalam banyak penulisan mereka. Perubahan ke araha masyarakat madani ini akan berlaku bila rakyat itu sendiri mahukan perubahan dan melakukan perubahan bersama-sama.

Transformasi masyarakat ini akan berlaku dengan satu strategi besar dakwah (grand strategy) yang bersifat mobilisasi vertikal (menegak) dan mobilisasi horizontal (melebar). Mobilisasi vertikal ini memerlukan kepada keperluan membina kredibiliti dan pengaruh pendakwah untuk menjadi seorang yang mempunyai keupayaan dan ketokohan di dalam diri mereka sebagai pemimpin yang boleh diterima dan berfungsi di dalam masyarakat. Ini juga boleh kita katakan sebagai keupayaan membina keupayaan diri atau capability building. Manakala mobilisasi horizontal pula menuntut keperluan penguasaan seorang pendakwah selaku pemimpin masyarakat yang mampu memberikan kesan dan pengaruh agar boleh diterima oleh masyarakat. Ini juga boleh kita sebutkan sebagai capacity building yang diperlukan seorang pemimpin di dalam menempatkan diri di dalam masyarakat.

Ini memerlukan kepada pembinaan kader kepimpinan dan ianya merupakan proses yang bersifat tadarruj atau beransur-ansur untuk mencapai tingkat kepakaran yang tinggi. Beliau menyebutkan ada 4 fasa pembinaan ini iaitu bermula dengan (1) Pemantapan diri (2) Pemantapan kemampuan (3) Pemantapan peranan (4) Kearifan filosofis. Tingkat tertinggi ini akan meletakkan seorang pemimpin itu boleh diterima masyarakat dengan secara natural tanpa memerlukan tekanan mahupun sogokan daripada sesiapa tetapi rakyat sudah boleh menerima kehadiran pemimpin yang mempunyai kearifan filosofis ini hasil proses pematangan pemimpin di dalam masyarakat. Syarat kepimpinan ini meliputi dua aspek utama iaitu sifat-sifat dalaman pemimpin (dakhiliyyah) dan sifat-sifat kemasyarakatan (jamahiriyyah). Beliau menekankan peri pentingnya pemimpin memahami bahawa jika mereka mahu menjadi pemimpin masyarakat, sebenarnya mereka perlu menjadi pelayan atau khadam kepada rakyat.

Mobilisasi kader kepimpinan ini boleh menembusi TIGA komponen utama di dalam masyarakat  iaitu samada di dalam sektor awam selaku penentu dasar kerajaan, sektor swasta selaku pelaku korporat dan pelaburan yang akhirnya mempengaruhi dasar sesebuah kerajaan mahupun sebagai aktivis sektor ketiga iaitu masyarakat madani (civil society) menerusi pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan. Kesemua sektor ini penting bergantung kepada kebangunan kematangan sesebuah masyarakat itu sendiri.

Rasulullah s.a..w. sendiri telah menunjukkan kekuatan kepimpinan baginda s.a.w. sejak sebelum dilantik menjadi rasul lagi. Antara contohnya ialah penglibatan beliau di dalam Peperangan Fijar dan pelantikan beliau sebagai pemimpin yang meletakkan kembali hajar al-aswad di Kaabah. Pemimpjn sebenarnya perlu bersifat sederhana dan mampu menguasai akhlak mereka di depan manusia lain. Mengambil contoh juga kemenangan calon Gabenor Jakarta iaitu Pak Joko Widodo yang sifat dan karakter beliau sendiri sangat disenangi oleh segenap lapisan masyarakat di Jakarta.

Dr Mordani juga berkongsi LIMA bekalan penting untuk menjadi pemimpin iaitu :-

(1) Kekuatan ruh (quwwatul ruhi) dimana dengan kekuatan hubungan dengan Allah SWT, yang jauh akan jadi dekat, yang berat akan jadi ringan, yang pandai mampu merendah diri dan yang jahil mampu berusaha untuk terus belajar.

(2) Kekuatan pemikiran (quwwatul fikri) dimana seorang pemimpin mesti bukan sahaja kuat membaca tetapi juga mampu menulis dengan baik dan memberi kesan dan pengaruhnya di dalam masyarakat.

(3) Kekuatan amal (quwwatul amal) iaitu pemimpin perlu melakukan amal-amal yang terbaik untuk dirinya dan masyarakat. Ini selaras dengan tuntutan rabbani sebagaimana yang dinyatakan di dalam surah al-Mulk:2

(4) Kekuatan kewangan (quwwatul maali) dimana seorang pemimpin perlu mempunyai kekuatan kewangan dan mampu berdikari, malah digalakkan untuk menjadi seorang usahawan sebagaimana para sahabat besar Rasulullah s.a.w. sendiri.

(5) Kekuatan sosial (quwwatul ijtima'ie) dimana seorang pemimpin mampu memberikan sumbangan dan manfaat yang terbaik untuk rakyat dan masyarakat. Sabdaan Nabi s.a.w. mengingatkan kita agar menjadi manusia yang terbaik dengan menjadi seorang yang banyak memberikan manfaatnya kepada orang lain serta mampu bergaul dengan rakyat dengan penuh kesabaran.

Beliau ditanya oleh beberapa anak muda bagaimana PKS mampu melakukannya di Indonesia. Jawapan mudah beliau ialah :- (1) just do it, segera lakukan projek masyarakat & buat penilaian (2) upayakan orang muda untuk dinanisme masyarakat, jangan serah semua kepimpinan pada orang tua !






Friday, November 09, 2012

Bulatan Gembira Di Kerteh

Alhamdulillah di sebalik kesibukan kerja-kerja shutdown di Kerteh, Terengganu, para belia IKRAM masih sempat mengikuti halaqah mingguan di Kerteh. Dalam gambar, belia-belia industri Kerteh sedang khusyuk mendengar penyampaian khas oleh Pengerusi Tarbiah IKRAM Kemaman, Ustaz Muzahar Hitam. Beliau hadir untuk memantau perkembangan usrah 01 di daerah Kemaman disamping memberikan taujihat tentang Islam dan Iman. Sempat juga bermuayasyah. Mudah-mudahan menambahkan keberkesanan dan produktiviti halaqah belia ini selepas ini.


Antara perkara utama yang dikupas oleh Ustaz Muzahar ialah :-

1- Islam adalah satu cara hidup yang menyeluruh dan sempurna. - rujuk surah al-Maidah : 3

2- Islam ialah penyerahan diri secara total kepada Allah SWT. Mentauhidkan Allah, tunduk dan beriman kepada Allah SWT - rujuk surah ali-Imran : 83 (Apakah mereka mencari yang lain dari agama Allah? Padahal kepada-Nya lah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi

3- Merangkumi 4 perkara pokok - akidah, ibadah, akhlak dan syariat.

4- Konsep pengabdian manusia kepada Allah SWT - adz-Dzariat :56 (Dan ingatlah Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadah kepada-Ku)

5- Berusaha membentuk keperibadian diri agar menjadi hamba Allah SWT yang sebenar. Jaga solat, ibadah khusus, akhlak dan lain-lagi khususnya di kalangan pemuda.

Moga 'bulatan gembira' ini terus hidup subur di dalam membina generasi kemenangan inshaAllah.

Naqib pula telah mengemaskini kehadiran dan pengisian di dalam sistem SPI IKRAM (lihat notebook) agar segala maklumat halaqah dapat dipantau dari masa ke semasa.

Friday, November 02, 2012

Kajian UMCEDEL - Selangor & PRU13

Antara badan yang aktif melakukan kajian tentang perkembangan politik di negara ini ialah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihanraya Universiti Malaya.

Pada bulan September 2012 yang lalu, kajian kecenderungan pengundi negeri Selangor menjelang PRU13 telah sekali lagi diadakan di antara 1-16 September 2012 berbanding pada yang sebelum ini pada 31 Mac - 15 April 2012.

Sudah pasti kajian ini memberikan konotasi dan reaksi yang berbeza daripada parti-parti politik di negara ini. Namun bilangan yang tidak pasti juga agak ramai dan mungkin inilah kategori floaters yang kita maksudkan atau pengundi baru yang belum membuat keputusan.



Tuesday, October 30, 2012

Mampukah Swing Signifikan Pengundi Melayu Berlaku di Melaka ?

Menurut Tun Daim Zainuddin baru-baru ini beliau meramalkan hanya Johor, Pahang dan Melaka akan kekal bersama BN selepas PRU13 kelak. Beliau pernah meramalkan yang Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah akan jatuh kepada pembangkang pada PRU12 yang tidak mendapat perhatian oleh mana-mana pihak sebelum ini. Namun, apakah nasib negeri bekas kesultanan Melayu Melaka yang jatuh ke tangan penjajah 500 tahun yang lalu ini benar-benar seperti diramalkan oleh Daim?


Melaka mempunyai 6 kerusi Parlimen dan 28 kerusi DUN. Pada PRU12 yang lalu, BN mengekalkan penguasaan di 5 kerusi Parlimen iaitu  dan 23 kerusi DUN. Parlimen yang dimenangi BN ialah P.134 Masjid Tanah, P.135 Alor Gajah, P.136 Tangga Batu, P.137 Bukit Katil dan P.139 Jasin manakala P.138 Kota Melaka dimenangi oleh PR menerusi DAP. DAP kalah di Parlimen Alor Gajah manakala
PKR bertanding di 3 Parlimen iaitu Tangga Batu, Bukit Katil dan Jasin. PAS pula hanya bertanding di Parlimen Masjid Tanah sahaja.

DAP memenangi 5 kerusi DUN daripada 8 kerusi yang ditandingi iaitu di N.19 Kesidang, N.20 Kota Laksamana, N.22 Bandar Hilir (ketiga-tiga DUN dalam Parlimen Kota Melaka), N.15 Bachang dan N.16 Ayer Keroh (kedua-dua DUN dalam Parlimen Bukit Katil). DAP kalah di 3 DUN iaitu N.14 Kelebang maj. 1303 (Parlimen Tangga Batu), N.21 Duyong maj. 806 (Parlimen Kota Melaka) dan N.24 Bemban maj. 2141 (Parlimen Jasin). Manakala PAS dan PKR bertanding di 13 dan 7 kerusi yang lain tetapi kalah kesemuanya.

Kita dapati pada PRU12, kerusi DUN dan Parlimen yang mempunyai komposisi pengundi Melayu antara 50-60% mempunyai potensi untuk PR menang dalam PRU13 kelak. Ini meliputi Parlimen Alor Gajah dan 3 DUN di bawahnya - N.7 Gadek, N.8 Machap, N.10 Asahan serta di DUN N.13 Paya Rumput dan N.14 Kelebang (di dalam Parlimen Tangga Batu), Parlimen Bukit Katil dan 1 lagi DUN di bawahnya iaitu N.17 Bukit Baru, N.21 Duyong (bawah Parlimen Kota Melaka) dan N.24 Bemban dan N.25 Rim di dalam Parlimen Jasin.

Ini mewakili 14 buah kerusi DUN iaitu 9 lagi kerusi tambahan yang berpotensi untuk menang selain 5 yang telah dimenangi oleh DAP dalam PRU12.

Untuk membentuk kerajaan negeri memerlukan sekurang-kurangnya 15 kerusi DUN. Dengan kedudukan seperti ini dan pengundi Melayu yang begitu tegar kepada BN, PR hanya mampu membentuk sebuah gabungan pembangkang yang kuat di negeri Melaka.

Sekali lagi pengundi muda dan baru selain pengundi bukan Melayu menjadi antara faktor kemenangan PR di Melaka sekiranya tiada swing undi yang signifikan daripada pengundi Melayu.

Saturday, October 27, 2012

Program Ibadah Korban Di Kg Baru Felda Neram 1

Alhamdulillah satu majlis ibadah korban telah disempurnakan di Kg Baru Felda Neram 1 pada hari raya eidul adha yang kedua iaitu pada 27 Oktober 2012 bersamaan 11 Zulhijjah 1433. Program ini adalah kerjasama IKRAM Kemaman dengan Jawatankuasa Masjid Kg Baru Felda Neram 1.


Program yang dinamakan Qurban Perdana Kasih Ummah IKRAM 1433H ini berlangsung pada sebelah pagi hari raya korban yang kedua ini telah dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Khidmat Masyarakat IKRAM Negeri, Tuan Haji Abd Aziz bin Abd Rahman, TYDP IKRAM Kemaman, Muzahar bin Hitam dan Pengerusi Jawatankuasa Khidmat Masyarakat Daerah Kemaman, Abdul Rahman bin Mohd Razali. Pihak Masjid Kg Baru Felda Neram 1 pula diwakili oleh Pengerusi Masjid, Tuan Haji Abdul Wahab.

Semoga amal korban ini diterima oleh Allah SWT dan mengeratkan hubungan di antara IKRAM dengan masyarakat setempat.

Thursday, October 25, 2012

Mampukah PR Menggugat di Pahang ?

Pahang adalah sebuah negeri yang boleh dianggap kubu kuat BN selepas Johor selama ini. Sebab itulah agaknya sudah ada dua Perdana Menteri daripada negeri ini sejak merdeka.

Terkini di Pahang ada 14 kerusi Parlimen dan 42 kerusi DUN di negeri ini. Untuk menang dengan majoriti mudah memerlukan 22 kerusi DUN.

Pada PRU12 Mac 2008, BN menang 12 kerusi Parlimen dan 37 kerusi DUN. PR menang menerusi PKR di Parlimen P.82 Indera Mahkota (maj.1027) dan P.83 Kuantan (maj.1826). Manakala di DUN pula, PR menang di N.7 Tras (DAP,Bentong, maj. 2451), N.38 Teriang (DAP, Bera, maj. 2469), N.12 Beserah (PAS, Indera Mahkota, maj. 1541) dan N.32 Kuala Semantan (PAS, Temerloh, maj.932). Manakala calon Bebas menang di N.1 Tanah Rata setelah berlaku pertembungan sengit 3 penjuru antara BN, DAP dan Bebas.

Dimanakan PR boleh mendapatkan kerusi tambahan untuk menang majoriti mudah pada PRU-13 ini kelak di peringkat DUN? Sudah pasti tumpuan perlu diberikan kepada kawasan-kawasan marginal. Pertama ialah 7 kawasan yang BN menang kurang dari 1000 undi. Ini termasuklah N.10 Damak (Jerantut, maj.509, pertembungan 3 penjuru BN-PKR-Bebas), N.14 Teruntum (Kuantan, maj. 293, DAP), N.15 Tanjung Lumpur (Kuantan, maj. 496, PAS), N.16 Inderapura (Kuantan, maj. 873, PAS), N.29 Jengka (Kuala Krau, maj. 596, PAS), N.34 Ketari (Bentong, maj.882, DAP) dan N.35 Sabai (Bentong, maj.145, DAP).

Ini bermakna di atas kertas, PR perlu 10 kerusi lagi untuk menang majoriti mudah. Dimana lagi kawasan-kawasan yang berpotensi ini?

Kawasan berpotensi untuk PR selanjutnya ialah 8 kawasan yang BN menang dengan majoriti kurang dari 1500 undi iaitu di N.3 Padang Tengku (Lipis, maj.1188, PAS), N.4 Cheka (Lipis, maj. 1280, PKR), N.5 Benta (Lipis, maj.1358, PKR), N.9 Tahan (Jerantut, maj.1357, PAS), N.19 Panching (Paya Besar, maj.1444, PAS), N.24 Luit (Maran, maj.1068, PAS), N.27 Jenderak (Kuala Krau, maj.1374, PKR), N.28 Kerdau (Kuala Krau, maj.1615, PAS) dan N.33 Bilut (Bentong, maj.1108, DAP). Manakala ada 3 lagi kawasan pengundi Cina yang signifikan iaitu N.13 Semambu (Indera Mahkota, maj.2136, PKR), N.30 Mentakab (Temerloh, maj.2439, DAP) dan N.31 Lanchang (Temerloh, maj.2139, PAS).

Pada pengamatan saya, terdapat sensitiviti untuk mengundi calon di kalangan kaum sendiri berlaku di beberapa kawasan di atas bila berlaku pertembungan calon antara dua kaum berbeza. Begitu juga pengundi Melayu agak belum bersedia untuk mengundi calon DAP pada PRU sebelum ini. Adakah stigma ini boleh berubah pada PRU13? Baru-baru ini salah seorang orang kuat DS Najib di Pekan telah menyertai DAP. Beliau ialah Dato' Ariff Sabri bin Abd Aziz yang merupakan ADUN Pulau Manis yang menang pada PRU-11 pada tahun 2004 tetapi tidak dicalonkan semula semasa PRU-12 tahun 2008. Adakah ini petanda bahawa orang Melayu Pahang boleh menerima calon DAP selepas ini?

Di dalam masa yang sama, sekiranya berlaku anjakan peralihan undi yang besar daripada MCA kepada DAP (atau UMNO kepada PR) pada PRU-13 kelak, beberapa Parlimen di Pahang dijangka sengit atau tumbang kepada PR ialah Parlimen P.78 Cameron Highlands, P.80 Raub, P.81 Jerantut, P.88 Temerloh dan P.89 Bentong. Ini akan menyumbang kepada penambahan kerusi Parlimen daripada Pahang untuk PR ke Putrajaya. Pengundi Felda sekali lagi menjadi pertaruhan BN yang selamat tetapi ini mungkin tidak berlaku kepada generasi kedua yang bilangan mereka dua ke tiga kali ganda lebih ramai daripada generasi pertama Felda. Seperkara lagi, faktor calon sekali lagi penting buat golongan pengundi muda dan baru. Tersilap letak calon boleh membahayakan kedudukan mana-mana parti.

Aspek lain yang perlu dilihat ialah komposisi parti dalam PR sekiranya mereka menang majoriti mudah. Namun peluang terbaik yang mungkin berlaku ialah samada DAP akan jadi pembangkang yang kuat di DUN Pahang selepas PRU-13 atau DAP dan PAS berkongsi kuasa di dalam barisan PR Pahang.


Bagaimana Kedudukan Terengganu Untuk PRU13?

Terengganu adalah antara negeri yang pernah diperintah oleh PAS sebanyak dua kali iaitu pada PRU-1 selepas merdeka tahun 1959 dan PRU-10 tahun 1999. Negeri ini didominasi pengundi Melayu sekitar 95% ke atas. Sebarang isu yang boleh memberikan impak besar kepada orang Melayu akan mempengaruhi kecenderungan keputusan pilihanraya umum sebelum ini. Swing paling besar ialah pada PRU-10 1999 dimana PAS menang besar dengan menyapu bersih semua 8 Parlimen dan 28 DUN (hanya kalah di Seberang Takir, Ajil, Telemung dan Kemasek) tetapi kalah teruk pada pusingan berikutnya pada PRU-11 2004 dengan kehilangan semua Parlimen dan tinggal 4 DUN tradisi PAS (Wakaf Mempelam, Batu Buruk, Ru Rendang dan Manir).

Terkini Terengganu mempunyai 8 kerusi Parlimen dan 32 kerusi DUN. Pada PRU-12 Mac 2008, BN menang di 7 kerusi Parlimen dan PAS 1 iaitu di P.37 Marang. Tetapi pada Pilihanraya Kecil pada Januari 2009, PAS menambah satu lagi kerusi Parlimen selepas menang di P.36 Kuala Terengganu. Bagi kerusi DUN pula, BN menang 24 kerusi dan PAS 8 kerusi.

Bagi PR, agihan kerusi mengikut parti ialah di peringkat Parlimen PAS 6 kerusi dan PKR 2 kerusi (iaitu di P.39 Dungun dan P.40 Kemaman). Manakala agihan kerusi di DUN pula ialah PAS 27 dan PKR 5 kerusi (iaitu di N.2 Kota Putera (Parlimen Besut), N.6 Permaisuri (Parlimen Setiu), N.11 Seberang Takir (Parlimen Kuala Nerus), N.14 Bandar (Parlimen Kuala Terengganu) dan N.21 Telemung (Parlimen Hulu Terengganu).

Bagi 8 DUN yang dimenangi PR di bawah PAS ialah di N.12 Bukit Tunggal (maj.336), N.13 Wakaf Mempelam (maj.2193), N.15 Ladang (maj.31), N.16 Batu Buruk (maj.1161), N.18 Bukit Payung (maj.115), N.19 Ru Rendang (maj.2686), N.22 Manir (maj.432) dan N.27 Sura (maj.1000).

Terdapat 8 DUN yang PAS kalah dengan majoriti kurang dari 1000 undi iaitu di N.5 Jabi (maj.804), N.9 Tepuh (maj.430), N.10 Teluk Pasu (maj.462), N.17 Alur Limbat (maj.799), N.20 Pengkalan Berangan (maj.930), N.26 Rantau Abang (maj.790), N.28 Paka (maj.344) dan N.31 Cukai (maj.769).

Inilah 16 kerusi DUN yang mesti dimenangi oleh PR dalam PRU13. Namun, untuk menang dan memerintah negeri dengan simple majority, PR memerlukan sekurang-kurangnya 17 kerusi DUN. Ini boleh didapati sekiranya N.14 Bandar (maj.1142, pengundi Cina 38%) dimenangi oleh PR. Kerusi-kerusi lain yang berpotensi ialah N.8 Batu Rakit (maj.1486) dan N.23 Kuala Berang (maj.1592).

Bagi kerusi Parlimen pula, antara kerusi yang berpotensi untuk PR menambah kerusi ialah P.35 Kuala Nerus (maj.1341) dan P.39 Dungun (maj.4994).

Antara yang faktor yang memenangkan BN-UMNO ialah pengundi kawasan Felda, Felcra dan Ketengah. Ini amat ketara di Besut, Setiu, Hulu Terengganu dan Kemaman. Namun ini boleh berubah sekiranya generasi kedua felda beralih angin. Faktor pengundi baru atau muda pula sangat kritikal di negeri ini di dalam memenangkan mana-mana parti. Pengundi berusia 30 tahun ke bawah mewakili sekitar 28% daripada keseluruhan pengundi berjumlah lebih 600 ribu di negeri ini iaitu yang tertinggi di Malaysia. Manakala peratus keluar mengundi ialah 85%, juga yang tertinggi di negara kita.


Kedudukan Johor Yang Tidak Menentu

Salah sebuah negeri yang disasarkan Pakatan Rakyat untuk PRU13 ialah negeri Johor. Sebelum ini ianya negeri fixed deposit BN sejak selepas merdeka sehinggalah ke PRU12 yang lalu. Tetapi apabila angin perubahan melanda rakyat hari ini, kedudukan BN di Johor kini tergugat terutama di kawasan-kawasan Parlimen yang mempunyai profil pengundi campuran. Apa yang dimaksud dengan kerusi campuran? Ianya ialah kerusi yang mempunyai profil pengundi Melayu, Cina dan India yang sekitar 50:50 atau pengundi Melayu kurang dari 60%.

Dimana kerusi-kerusi campuran ini? Pada PRU12 pada Mac 2008, BN menang 25 kerusi Parlimen dan DAP menang 1 kerusi iaitu di Parlimen P.145 Bakri. Manakala di peringkat negeri, daripada 56 DUN, BN menang 50 kerusi dan PR menang 6 kerusi (2 PAS & 4 DAP).

Ketika PRU12, PR bertanding di semua Parlimen kecuali Pengerang (menang tanpa bertanding) dimana ianya diwakili PAS (10), DAP (6), PKR (8) dan PRM (1). Di DUN pula, PR bertanding di semua kerusi dimana ianya diwakili PAS (32), DAP (12), PKR (10) dan PRM (1).

Di Johor, kerusi-kerusi ini dianggarkan berjumlah 16 buah iaitu di P.140 Segamat, P.141 Sekijang, P.142 Labis, P.144 Ledang, P.145 Bakri, P.148 Ayer Hitam, P.150 Batu Pahat, P.151 Simpang Renggam, P.152 Kluang, P.153 Sembrong, P.158 Tebrau, P.159 Pasir Gudang, P.160 Johor Bharu, P.161 Pulai, P.162 Gelang Patah dan P.165 Tanjung Piai. Satu lagi kerusi Parlimen yang majoriti Melayu melebihi 60% tetapi menunjukkan sokongan PR yang tinggi sebelum ini dengan margin ialah di P.146 Muar.

Sekiranya tsunami PRU12 tahun 2008 melanda Johor pada PRU13 dimana 60-70% pengundi Cina dan 30-40% pengundi Melayu menyokong PR, ini bermakna minima 6 kerusi dijangka bakal dimenangi mudah oleh PR iaitu Segamat (DAP), Labis (DAP), Bakri (DAP), Muar (PKR), Kluang (DAP) dan Gelang Patah (PKR) selain 10 kerusi lain yang boleh menang seperti yang saya sebut di atas. Dua kerusi PKR di atas ditandingi dua calon orang Melayu sebelum ini.

Sewajarnya satu kajian lapangan kecenderungan pengundi di Johor dibuat memandangkan bilangan kerusi pengundi bercampur yang banyak ini termasuk kajian khusus kepada pengundi baru dan muda. Sekiranya 16 kerusi ini semua jatuh kepada Pakatan Rakyat, bermakna PR hanya memerlukan 14 kerusi lagi di negeri-negeri lain untuk menang simple majority untuk ke Putrajaya. Dan sekiranya semua 16 kerusi jatuh, kemungkinan besar Johor akan mempunyai Menteri Besar baru di kalangan  calon Melayu dari PAS inshaAllah.





Monday, October 22, 2012

Seminar SuperMom & SuperDad 2012

Alhamdulillah Wanita IKRAM Terengganu dengan kerjasama Petronita dan Biro Muslimah Surau Rantau Petronas telah berjaya menganjurkan sebuah Seminar SuperMom, SuperDad pada Sabtu 20 Oktober 2012 bersamaan 4 Zulhijjah 1433H di Dewan Seri Delima, Bangunan Petronas Wilayah Pantai Timur dekat Kerteh, Kemaman. Ini merupakan sebahagian daripada siri program keluarga sakinah yang digerakkan oleh Wanita IKRAM Terengganu.


Program yang disertai hampir 150 orang peserta ini telah disempurnakan perasmiannya oleh Pengurus Besar Petronas Wilayah Pantai Timur Tuan Hj Wan Hasnan bin Abdullah. Di dalam ucapan perasmian, beliau mengucapkan terima kasih kepada penganjuran program bersama ini dan ianya wajar dikembangkan di dalam kegiatan-kegiatan yang lain juga. Beliau juga percaya IKRAM dan Petronita mampu menjayakan program-program yang bermanfaat khususnya kepada warga Petronas dan masyarakat amnya.


Seminar kali ini menampilkan seorang tokoh iaitu AJK Wanita IKRAM Pusat yang juga Pengarah Unit Latihan & Pencegahan Raudatus Sakinah Negeri Kelantan iaitu Dr Hjh Hafidzah bt Mustakim. Beliau telah menyampaikan satu ceramah yang cukup bertenaga dan bermaklumat bertajuk "Perjalanan Hidupku" di selang seli dengan pengalaman hidup berkeluarga yang boleh dijadikan  panduan dan pedoman buat ibu bapa yang ingin berjaya di dalam mendidik anak-anak mereka berdasarkan peranan ibubapa 5 bintang yang beliau perkenalkan. Beliau yang mendapatkan pendidikan Ijazah Perubatan daripada Monash University, Melbourne, Australia ini mempunyai lapan orang anak dan suami beliau juga aktif di dalam kegiatan masyarakat selaku Timbalan Yang DiPertua IKRAM Kelantan. Di dalam ceramah tersebut beliau menekankan tentang kepentingan hidup bermatlamat dan Islam telah meletakkan matlamat yang jelas kepada manusia bahawa tugasan mereka di dunia ialah untuk menjadi hamba Allah yang taat kepada perintah-Nya dan menjadi khalifah Allah yang mengurus dan memakmurkan bumi berdasarkan syariat-Nya. Kehidupan di dunia termasuk mengurus dan memimpin diri dan seisi keluarga adalah sebahagian daripada tanggungjawab kita untuk memastikan kita berjaya mendapatkan husnul khotimah (pengakhiran yang baik) dan layak memasuki syurga Allah SWT di akhirat kelak.

Beliau mengajak para peserta khususnya ibu bapa untuk menghayati firman Allah SWT di dalam surah an-Nisa':124 yang menyeru para lelaki dan perempuan untuk membekalkan diri dengan amalan-amalan soleh ketika di dunia :-
"Dan barangsiapa yang mengerjakan kebajikan amal kebajikan, baik lelaki mahupun wanita sedang dia beriman, maka mereka itu akan masuk ke dalam syurga dan mereka tidak dizalimi sedikitpun."

Beliau juga mengajak semua agar memastikan seluruh isi keluarga dan keturunan kita berada di syurga berdasarkan surah at-Tur:21 yang bermaksud :-
"Dan orang-orang beriman, beserta anak cucu mereka yang mengikuti mereka dalam keimanan, Kami pertemukan mereka dengan anak cucu mereka (di dalam syurga) dan Kami tidak mengurangi sedikit pun pahala amal (kebajikan) mereka. Setiap orang terikat dengan apa yang dikerjakannya."


Satu lagi program istimewa sempena seminar ini ialah Forum SuperMom SuperDad yang menampilkan panelis berpengalaman iaitu Ustaz Hj Mohd Lokman bin Dato' Awang selaku YDP IKRAM Terengganu, Ustazah Hjh Samsiah bt Dato' Awang, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Dr Hjh Hafidzah bt Mustakim. Forum ini dikendalikan oleh moderator berpengalaman Ustazah Hjh Rosmawati bt Ahmad, Timbalan Ketua Wanita IKRAM Daerah Kemaman.


Di dalam forum tersebut, Ust Lokman selaku panelis pertama menekankan peri pentingnya asas kejayaan ibu bapa diletakkan kepada pandangan dan tasawwur Islam itu sendiri. Konsep supermom superdad sebenarnya berasaskan kepada keperluan ibu bapa menjadi qudwah yang terbaik, lantas wajar digelar ibu bapa mithali. Beliau juga menegaskan peri pentingnya menjaga keluarga agar tidak terjerumus ke dalam api neraka sebagaimana yang diberi amaran oleh Allah SWT di dalam surah at-Tahrim.

Ustazah Hjh Samsiah berkongsi pengalaman beliau mendidik anak-anak beliau seramai sembilan orang dan di dalam masa yang sama seorang wanita yang berkerjaya. Beliau menekankan peri pentingnya memberikan masa yang berkualiti terutama bagi ibu yang bekerja di mana masa bercuti dengan anak-anak dimanfaatkan dengan sepenuhnya. Celoteh beliau yang sarat dengan pengalaman berjaya mencuit hati para peserta yang hadir. Beliau juga menceritakan bagaimana perlunya kita berusaha membantu orang lain dengan keikhlasan hati berdasarkan pengalaman beliau selama 30 tahun bekerja di sektor kerajaan sehingga berjaya dilantik sebagai Pengarah Jabatan Agama Negeri yang pertama di kalangan wanita bukan sahaja di Terengganu, malah juga di Malaysia.

Dr Hafidzah pula menekankan betapa pentingnya bapa diletakkkan sebagai figur utama di dalam mendidik anak-anak. Para isteri perlulah pandai meletakkan peranan bapa dan jangan sekali-kali merendah-rendahkan   lelaki bergelar bapa di depan anak-anak mereka. Di sinilah letaknya peranan seorang isteri yang menghormati maruah suaminya khususnya bila berdepan dengan anak-anak. Para ibu bapa juga perlu mempunyai ilmu dan kemahiran semasa di dalam menghadapi suasana pendidikan anak-anak yang cukup mencabar dan berbeza dewasa ini. Beliau juga menampilkan beberapa contoh teladan menerusi sirah ar-Rasul s.a.w. serta tokoh-tokoh ibu yang wajar dijadikan contoh di kalangan wanita hari ini.

Berdasarkan maklum balas peserta, program ini mendapat sambutan yang sangat positif dan ramai yang menyarankan agar program seumpama ini dilanjutkan sehingga sehari penuh kerana banyak perkara yang ingin ditanya oleh para peserta terutama di dalam aspek pendidikan anak-anak ini.

Menurut Pengarah Program Hjh Noor Asyikeen bt Abdul Hamid yang juga Timbalan Ketua Wanita IKRAM Terengganu, program ini berjaya mewujudkan satu jalinan kerjasama yang strategik dengan organisasi wanita lain dan ini mampu menjadi pemangkin kepada 'constructive engagement' yang diusahakan Wanita IKRAM. Beliau juga bersyukur di atas kejayaan penganjuran program ini dan berterima kasih kepada semua yang terlibat di dalam merancang dan melaksana program ini.


Tahniah Wanita IKRAM Terengganu di atas penganjuran seminar yang sangat bermanfaat ini !






Faktor Undi Cina, Pakatan Rakyat & Kemungkinan Senario


Saya terpanggil untuk menulis tajuk ini kerana di dalam usrah mingguan saya di Kemaman minggu lepas, masih ada yang bertanya bagaimanakah tentang kedudukan Melayu dan Islam selepas PRU-13 kelak. Kebetulan ianya juga dibincang di dalam diskusi komuniti maya Bangi Perdana tempat saya tinggal dimana ramai yang membangkitkan kebimbangan mereka tentang kedudukan ini dan saya telah menjawab kebimbangan tersebut kepada mereka. Saya juga memaklumkan kepada ahli usrah yang saya pernah menghantarposting mengenai isu ini sebelum ini, namun elok juga saya bangkitkan kembali agar kita boleh membuka beberapa senario kemungkinan yang boleh berlaku selepas PRU13 kelak.

Berdasarkan keputusan PRU-12 pada Mac 2008, Pakatan Rakyat (PR) memenangi 82 kerusi Parlimen (daripada 222) atau 36.9%daripada keseluruhan Parlimen dan 196 kerusi DUN (daripada 505 tidak termasuk Sarawak). 

Daripada jumlah ini, di peringkat Parlimen, PR diwakili 31+28+23=82 (mengikut urutan PKR, DAP dan PAS) atau 36.9% daripada keseluruhan Parlimen. Daripada 31 kerusi PKR ini, 20 diwakili oleh orang Islam. Ini bermakna jumlah ahli Parlimen muslim di dalam PR ialah 20+23=43 atau mewakili 30.7% 

Manakala di peringkat DUN, PR diwakili 83+73+40=196 (mengikut urutan PAS, DAP dan PKR). Daripada DUN yang dimenangi oleh PKR sebanyak 40 kerusi, 22 kerusi DUN diwakili calon orang Islam. Ini bermakna jumlah calon orang Islam di DUN ialah 83+22=105 atau 53.6% daripada jumlah keseluruhan DUN dimenangi PR. Namun, bila ditinjau mengikut negeri pula, jumlah calon bukan Islam PR merupakan majoriti di negeri Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Daripada perkiraan di ataslah, timbul kebimbangan pengundi khususnya di kalangan orang Melayu bahawa DAP dan calon bukan Islam akan menguasai PR selepas PRU-13 sekiranya PR menang lebih besar berbanding PRU-12. Ini mengambilkira tren pengundi Cina mutakhir ini yang teguh bersama PR di dalam beberapa siri Pilihanraya Kecil dan Pilihanraya Negeri Sarawak sebelum ini.

Semasa PRU12, ada 222 kerusi Parlimen dipertandingkan. Drpd jumlah ini, jumlah ahli Parlimen bumiputera Islam ialah :-

1. UMNO Semenanjung : 66
2. UMNO Sabah : 13
3. Sarawak : 9
Jumlah bawah BN : 88
4. PKR : 20
5. PAS : 23
Jumlah bawah PR : 43
Jumlah keseluruhan ahli Parlimen Islam : 131 (59%)

Secara umumnya, calon PR yang lawan UMNO juga di kalangan org Islam. Oleh itu boleh dikatakan jumlah calon org Islam dalam kategori ini = 131. Boleh juga dikatakan secara umum, calon PR bukan Islam akan lawan calon BN bukan Islam.

2) Ada juga calon PR org Islam yang lawan calon BN bukan Islam dan mereka menang. 
Contohnya : Kuantan (PKR), Kota Raja (PAS), Hulu Selangor (PKR), Bandar Tun Razak (PKR), Telok Kemang (PKR). Ini sudah termasuk dalam jumlah 131 tersebut. 

Namun, ramai juga calon org Islam PR kalah dengan calon bukan Islam BN. 
Ini termasuk kerusi seperti Raub (DAP), Gerik (PAS), Lumut (PKR), Tanjung Malim (PKR), Pandan (PKR), Ayer Hitam (PAS), Simpang Renggam (PAS), Tebrau (PAS), Gelang Patah (PKR) dan Tanjong Piai (DAP) dan kawasan-kawasan Parlimen Sabah seperti di Tuaran, Putatan, Beluran dan Tawau. Begitu juga di kawasan Parlimen Sarawak seperti di Saratok, Mukah dan Lawas.

3) Jadi, boleh secara umumnya kita kata jumlah calon org islam PR dalam PRU12 (termasuk menang dan kalah) ialah sekitar 148 orang.

Ini juga bermakna, kemenangan calon2 islam PR yg bertanding di kawasan tradisi calon BN bukan Islam telah meningkatkan jumlah calon org Islam di Parlimen. 

Satu trend yang menarik ialah pengundi Cina dan India tidak dilihat chauvinistik apabila mengundi calon bukan kaum mereka selagi ianya masih di bawah Pakatan Rakyat. Ini terbukti kepada kemenangan di tempat-tempat yang saya sebut di atas. Ini bermakna, kita perlu mengenengahkan seramai mungkin tokoh calon orang Islam di dalam Pakatan Rakyat khususnya di dalam PKR.

PR memerlukan di atas kertas 30 kerusi Parlimen lagi untuk ke Putrajaya. Mereka perlu menang simple majority 112 kerusiberbanding 222 kerusi yang dipertandingkan. Dimana ianya boleh disasarkan berdasarkan senario mutakhir? Besar kemungkinan kerusi ini perlu didapatkan minima 6 kerusi di Sarawak, minima 6 kerusi di Sabah dan 18 kerusi di Semenanjung. Di Semenanjung, ini boleh berlaku di kerusi-kerusi yang dimenangi MCA (15), MIC (3) dan Gerakan (2) selain kerusi-kerusi UMNO yang menang dengan majoriti tipis (kurang dari 3000 undi)

Pada pengamatan saya, senario yang mungkin berlaku selepas PRU13 :-

1- PAS mampu menyaingi UMNO khususnya di 66 kerusi yang dimenangi UMNO di dalam PRU13 di Semenanjung Malaysia. Adakah strategi Asal Bukan UMNO (ABU) atau PAS Ganti UMNO (PGU) mampu merubah senario ini? Peluang bertukar kerajaan sangat cerah bila senario ini berlaku ditambah sokongan padu pengundi Cina.

2- Hanya DAP dan PKR akan tambah kerusi Parlimen khususnya di kawasan pengundi bercampur. Ini bermakna sekiranya calon PKR tersebut orang Islam, maka jumlah seat orang Islam di Parlimen akan bertambah. Tetapi sekiranya tidak, jumlahnya masih status quo 131 orang seperti PRU12. Tetapi peluang PR untuk ke Putrajaya dengan minima 112 ahli Parlimen semakin cerah. Namun di peringkat negeri, negeri-negeri Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor, PR akan dikuasai majoriti DUN bukan Islam sebagai pembangkang. Tetapi untuk menerajui kerajaan negeri, calon PR Melayu mesti menang.

3- Peratusan orang Melayu beralih daripada PR kepada BN. Ini akan berjaya sekiranya strategi 1Msia BN serta election goodiesserta 'ancaman-ancaman terhadap status orang Melayu & Islam' berjaya. Inilah fokus BN/UMNO hari ini termasuk propaganda yang bakal kita hadapi di hari-hari mendatang. BN bakal menang lebih besar dan mendapat kembali dua pertiga di Parlimen.

Sebab itu UMNO segera untuk atasi masalah dalaman mereka yang berpecah dan elak ada kem dan sabotaj. Mereka sangat-sangat risau sekiranya senario 1 berlaku terutamanya sekiranya pengundi baru/muda Melayu lebih 60% undi PR.

Untuk PAS menambat hati pengundi muda/baru, mereka mesti tampilkan calon-calon yang berkredibiliti dan dilihat lebih kompeten dan profesional kerana faktor calon sangat penting kepada pengundi muda/baru.

Sekiranya kedudukan orang Melayu tergugat selepas PRU13, kemungkinan isu kerajaan perpaduan akan timbul dan kali ini boleh jadi satu realiti.

Wallahu a'lam.

10 NGO Islam & 2 Agensi Kerajaan Bertemu di Majlis Hi-Tea Masyarakat Madani IKRAM Terengganu

Alhamdulillah majlis hi-tea masyarakat madani IKRAM Terengganu telah berjaya diadakan pada hari Ahad 21 Oktober 2012 bersamaan 5 Zulhijjah 1433 di Terengganu Equestrian Resort (TER) dekat Kuala Ibai, Kuala Terengganu. Program yang bermula jam 5.30 petang ini bertujuan untuk mengumpul NGO-NGO Islam utama bersama agensi-agensi Islam di negeri Terengganu dan telah berjaya mengumpul sejumlah 10 NGO dan 2 agensi kerajaan ke majlis ini. Dua agensi yang hadir ialah JHEAT dan PAD diwakili sendiri Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) yang baru dilantik iaitu Ustazah Hjh Samsiah bt Dato' Awang dan Pegawai Agama Daerah Kuala Terengganu Ustaz Hj Ariffin serta kakitangan mereka. Manakala 9 NGO selain tuan rumah IKRAM yang hadir ialah :-

1. Pertubuhan HALUAN Cawangan Terengganu
2. Persatuan Ulama' Malaysia (PUM) Cawangan Terengganu
3. Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) Cawangan Terengganu
4. Persatuan Darul Fitrah Malaysia Cawangan Terengganu
5. Persatuan India Muslim Terengganu
6. Persatuan Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) Cawangan Terengganu
7. Pertubuhan Bekas Pemimpin Kanan Pelajar Terengganu (PEMIKIR)
8. Majlis Pemuafakatan Rakyat Terengganu (MAMPAT)
9. ABIM Terengganu


Di dalam ucapan aluan Yang DiPertua IKRAM Terengganu, Ustaz Mohd Lokman bin Dato' Awang, beliau merakamkan ucapan terima kasih di atas kesudian semua pimpinan utama  NGO Islam di negeri ini hadir ke majlis ini. Di samping itu beliau mengajak agar semua NGO Islam untuk menjalin kerjasama yang lebih erat lagi di dalam menggerakkan usaha-usaha dakwah dan amar makruf nahi mungkar di negeri ini. Beliau percaya menerusi jalinan ukhuwwah dan kerjasama yang padu di antara penggerak-penggerakn dakwah di negeri ini mampu mencipta banyak kejayaan di dalam misi bersama untuk mendaulatkan syariat di negara ini.


Pengarah JHEAT, Ustazah Samsiah, di dalam ucapan khas beliau sempena majlis ini merakamkan ucapan penghargaan beliau kepada IKRAM kerana berjaya mengumpul NGO-NGO Islam di negeri ini. Beliau yang turut gembira dengan program IKRAM Terengganu yang pertama kali beliau sertai selaku panelis forum pada hari sebelumnya di Kerteh, yakin bahawa dengan usaha-usaha sebegini akan membantu usaha jabatan beliau di dalam memartabatkan Islam di negeri Terengganu khususnya. Beliau juga bersedia memberikan bantuan dan sokongan kepada usaha-usaha dakwah dan kebajikan yang dilakukan oleh NGO-NGO Islam di negeri ini.


Para hadirin juga dihidangkan dengan montaj IKRAM Terengganu sambil menjamu selera dan berkenal-kenalan sesama yang hadir sebelum Setiausaha IKRAM Negeri, Hj Zulkifli Ali menyampaikan penerangan tentang misi dan aktiviti IKRAM Terengganu. Beliau menyebut antara fokus utama IKRAM Negeri ialah membangun dan membina institusi pendidikan Islam swasta di negeri ini menerusi rangkaian pendidikan sekolah Al-Amin yang setakat ini sudah ada 1 buah sekolah menengah dan 4 buah sekolah rendah. Beliau juga memaklumkan bahawa IKRAM Terengganu bakal membangun dua buah sekolah lagi di dalam masa yang terdekat iaitu sebuah sekolah rendah di Besut dan sebuah sekolah menengah di Dungun. IKRAM Terengganu juga giat di dalam program pentarbiahan ahli, pembangunan wanita, khidmat masyarakat dan juga mengorak langkah di dalam bidang dakwah kepada yang belum Islam.


Sesi memperkenalkan organisasi masing-masing juga menjadi salah satu aturcara penting di dalam program ini. Organisasi pertama ialah HALUAN Terengganu yang diwakili YDP Negeri Cikgu Hj Ishak bin Yusuf. Beliau memaklumkan antara kegiatan utama Haluan Terengganu ialah pentarbiahan ahli dan membangun institusi pendidikan di Kg Laut, Kuala Terengganu.


Organisasi kedua ialah PEMIKIR diwakili oleh Penasihat PEMIKIR akh Mat Azizur dan Presiden PEMIKIR Abdul Rahim Daub. PEMIKIR adalah badan NGO yang diasaskan sejak 2009 menerusi bantuan aktivis IKRAM Terengganu dan telah mendapatkan kelulusan penubuhan oleh ROS sejak 2012. Mereka mengumpulkan ahli-ahli di kalangan bekas pemimpin kanan pelajar sekolah-sekolah seluruh Terengganu dan mulai 2009, sudah 4 kumpulan lepasan pimpinan pelajar telah dikumpul. PEMIKIR juga memberikan fokus kepada pembangunan pelajar sekolah-sekolah menengah seluruh Terengganu. Dalam usia pertubuhan yang masih muda ini, pimpinan PEMIKIR sehingga kini baru berusia 19-22 tahun dan masih ramai yang belajar di institusi pengajian tinggi seluruh negara. Mereka juga giat membantu KBM Smart Consultant yang digerakkan oleh aktivis IKRAM Terengganu sebagai pengendali dan fasilitator.


Organisasi ketiga ialah Persatuan Ulama' Malaysia (PUM) Cawangan Terengganu. Ianya diwakili oleh YDP Ustaz Hj Mohamad. Beliau juga adalah YDP WADAH Cawangan Terengganu dan juga ahli IKRAM Terengganu. Menurut beliau antara aktiviti PUM di Kuala Terengganu ialah program-program pembentangan kitab-kitab turas di masjid-masjid sekitar Kuala Terengganu.


Organisasi yang keempat ialah Pertubuhan Wadah Pencerdasan Umat (WADAH). Menurut TYDP Hj Md Harun, WADAH adalah pertubuhan yang dianggotai oleh lepasan aktivis dan pimpinan ABIM yang sudah melepasi umur 40 tahun. Ini kerana ABIM sebagai sebuah organisasi yang didaftarkan di bawah ROY menghadkan umur maksima ahli 40 tahun. Antara aktiviti utama mereka ialah usrah mingguan dan mengendalikan sebuah bangunan yang dimiliki mereka di Tok Jiring, Kuala Terengganu. Mereka juga memaklumkan Presiden WADAH Pusat terkini ialah mantan Presiden ABIM ketiga, Dato' Dr Siddiq Fadhil. WADAH diwakili 4 empat orang termasuk Dr Abdul Jalil yang pernah bekerja di tempat yang sama dengan Hj Ahmad Sabri Yazid, TYDP IKRAM Kuala Terengganu.


Organisasi kelima ialah Persatuan Darul Fitrah Malaysia Cawangan Terengganu yang diwakili Pengerusi Datin Norhana bt Abdullah. Pertubuhan ini yang mempunyai pejabat sendiri dan empat orang kakitangan sepenuh masa menumpukan usaha dakwah kepada yang belum Islam samada di negeri ini mahupun di luar negara. Mereka juga giat mengadakan kelas-kelas pengajian untuk saudara-saudara baru di negeri ini. Menurut Datin Norhana, beliau juga telah memulakan komunikasi dengan Pengerusi Hidayah Centre IKRAM Pusat sebelum ini bagi tujuan kerjasama. Pengerusi Jawatankuasa Dakwah IKRAM Terengganu, Hj Radin Badiuzzaman sempat bertukar-tukar pandangan dengan beliau.


Organisasi keenam ialah ABIM Cawangan Terengganu yang diwakili YDP Hj Zukiferee bin Ibrahim. Beliau yang bekerja di Universiti Malaysia Terengganu menyatakan ABIM bergiat cergas bersama WADAH dan menumpukan perhatian antara lain aktiviti-aktiviti wacana keilmuan yang dianjurkan dari masa ke semasa.


Organisasi ketujuh ialah Majlis Pemuafakatan Rakyat Terengganu (MAMPAT) yang diwakili YDP Hj Mohd  Fauzi bin Abu Samah. MAMPAT merupakan organisasi gabungan beberapa buah NGO di Terengganu sejak 2008 yang memberikan fokus kepada isu-isu masyarakat madani dan politik di negeri ini. Bermula dengan perjuangan mendesak kerajaan tentang kenaikan harga barang-barang hinggalah ke isu hak royalti minyak negeri Terengganu.

Organisasi yang kelapan ialah Persatuan Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) Cawangan Terengganu. PAPISMA diwakili TYDP Dr Wan Mohd Razin yang bekerja di Hospital Besar Tuanku Intan Zaharah Kuala Terengganu. Menurut beliau PAPISMA memberikan fokus keahlian kepada pengamal perubatan dan aktiviti-aktiviti khidmat kesihatan kepada masyarakat. Mereka mempunyai ramai ahli-ahli di kalangan doktor-doktor muda juga.

Organisasi kesembilan ialah Persatuan India Muslim Terengganu yang diwakili Pengerusinya sendiri Saudara Salahudin serta dua orang pimpinan persatuan. Mereka memaklumkan bahawa tumpuan mereka ialah kepada pembangunan dan hal ehwal masyarakat India Muslim di negeri ini termasuk tuntutan mendapatkan hak tanah di negeri ini. Mereka gembira sekali dapat bertemu dengan semua pimpinan NGO di Terengganu di majlis ini.


Perkongsian terakhir ialah daripada Pegawai Agama Daerah Kuala Terengganu, Ustaz Hj Arifin. Beliau menyatakan bahawa Jabatan memberikan fokus aktiviti kepada apa yang digariskan oleh kerajaan kepada jabatan. Di samping itu beliau menyeru agar kerjasama NGO ini akan dapat membantu meningkatkan usaha-usaha dakwah dan kebajikan yang dilaksanakan oleh pihak jabatan.


Wanita IKRAM Terengganu dibawah Ketua Wanita Ustazah Khadijah Dibok dan beberapa ahli jawatankuasa turut meraikan kehadiran tetamu pimpinan NGO Wanita yang hadir termasuk daripada Haluan, WADAH dan Darul Fitrah selain Pengarah JHEAT sendiri.

Majlis ini juga bersetuju untuk mewujudkan satu kumpulan komunikasi maya e-group bagi memberi peluang kepada setiap organisasi berkongsi program dan kegiatan masing-masing selepas ini. Di samping itu, majlis ini juga bersetuju agar pertemuan kedua di kalangan pimpinan NGO Islam diadakan dengan kerjasama pihak JHEAT selepas ini.


Sebenarnya Pesuruhjaya JHEAT sendiri iaitu Dato' Hj Mohd Rozali bin Saleh juga ingin hadir ke majlis ini tetapi terpaksa berkirim salam kepada semua yang hadir menerusi YDP IKRAM Negeri atas sebab yang tidak dapat dielakkan. Begitu juga dengan Pengarah YADIM Pantai Timur Ustaz Mahadi Awang yang terpaksa hadir urusan keluarga di Kelantan dan meminta agar resolusi majlis dikongsi bersama dengan beliau.

Pertemuan bersejarah ini diakhiri dengan solat maghrib berjamaah yang diimamkan oleh Ustaz Hj Arifin, Pegawai Agama Daerah Kuala Terengganu dan solat hajat diimamkan oleh Ustaz Dr Zawawi Ali, YDP IKRAM Kuala Terengganu. Pimpinan IKRAM Negeri dan Daerah Kuala Terengganu sempat bergambar dengan beberapa NGO yang masih tinggal selepas solat hajat iaitu Haluan, Darul Fitrah dan PEMIKIR. Semoga program ini membuahkan satu gabungan NGO Islam yang kuat di negeri ini selepas ini inshaAllah.


Wednesday, October 17, 2012

Peratusan Keluar Mengundi Di Terengganu


Ini adalah peratusan keluar mengundi semasa pilihanraya umum sejak 1990 hingga 2008 di negeri Terengganu khususnya di Parlimen P.40 Kemaman. Banyak yang boleh dianalisis daripada gambarajah ini.







Tuesday, October 16, 2012

Jemputan Ke MMIT 21 Okt 2012





Pages