Projek Semarak Ramadan (PSR) ketiga untuk daerah Kemaman telah berjaya diadakan di Masjid Kg Ibok dekat DUN Kijal pada 14 Ramadan bersamaan 3 Ogos 2012 yang lalu. Program ini telah dihadiri lebih 200 orang dan seramai 50 orang penerima sumbangan yang terdiri daripada warga miskin dan ibu tunggal telah menerima sumbangan masing-masing.
Program ini telah bermula dengan ucapan alu-aluan daripada Pengerusi JKKK Kg Ibok iaitu Pak Awang yang juga Timbalan Pengerusi Masjid. Turut menyampaikan ucapan ialah Hj Fakhrul Anuar Zulkawi yang merupakan Pengarah PSR 2012. Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Masyarakat Madani IKRAM Kemaman berterima kasih di atas kerjasama yang diberikan oleh pihak Jawatankuasa Masjid dan juga ahli kariah di dalam menjayakan program julung-julung kali ini.
Warga kariah masjid pada sebelah paginya telah bersama-bersama bergotong royong menyediakan juadah berbuka puasa yang merupakan menu khas ala kampung yang biasa disediakan oleh penduduk tempatan di sini. Antaranya ialah makanan tradisi yang dikenali sebagai "Kolok" yang amat menyelerakan. Bilangan penduduk di sini dianggarkan tidak melebihi 1000 orang dan kebanyakannya bekerja sendiri seperti kerja-kerja kampung dan mengusahakan kebun getah dan kelapa sawit. Terdapat juga yang mengusahakan projek pelancongan homestay kerana di sini terdapat satu tarikan pelancong termasuk daripada luar negara iaitu menikmati keindahan kelip-kelip pada waktu malam di kawasan Sg Yak Yah dekat sini.
Pengerusi Jawatankuasa Khidmat Masyarakat IKRAM Kemaman Abdul Rahman Mohd Razali telah menyampaikan sumbangan ramadan ini. Turut hadir ke majlis ini ialah Pegawai Agama JASA Daerah Kemaman Ustaz Sabri Mohd Zain yang turut hadir memeriahkan majlis. Program berakhir dengan berbuka puasa dan menunaikan solat maghrib berjamaah di masjid. Sumbangan pek makanan ini adalah daripada pertubuhan Islamic Relief Malaysia (IRM).
Semoga program susulan untuk kariah masjid ini akan diteruskan oleh IKRAM Kemaman selepas ini.
0 comments:
Post a Comment