Thursday, August 16, 2012

Kakitangan Petronas Carigali Penyumbang Terbesar PSR Kemaman

Alhamdulillah pada tengahari semalam 15 Ogos 2012 bersamaan 26 Ramadan 1433H selepas zuhur telah diadakan satu majlis ringkas penyampaian sumbangan PSR oleh kakitangan-kakitangan Petronas Carigali PMO Kerteh menerusi Badan Kakitangan Islam Petronas (BAKIP) PMO Kerteh dan Young Professional Club PMO Kerteh.

Majlis ini telah disempurnakan oleh Pengurus CSR PMO Hj Fakhrul Radzi dan telah diserahkan kepada Pegawai Agama Daerah Kemaman, Ustaz Hj Zulkifli Othman. Sejumlah RM17,500 telah disumbangkan kepada tabung PSR menerusi kutipan yang dibuat sejak dua minggu sebelumnya.



Pengerusi BAKIP Hj Amir Din di dalam ucapannya sangat gembira di atas sokongan kakitangan Petronas kepada usaha seperti ini. Menurut beliau lagi inilah julung-julung kalinya kutipan terbesar pernah dibuat di sini. Beliau juga berterima kasih kepada pihak IKRAM kerana sudi menjemput BAKIP untuk terlibat di dalam Projek Semarak Ramadan Peringkat Daerah Kemaman ini.



Pengarah PSR 2012 Hj Fakhrul Anuar Zulkawi pula di dalam aluannya sempena majlis penyerahan sumbangan ini berkata sehingga kini, inilah satu-satunya badan yang menjadi penyumbang terbesar kepada projek ini. Ini juga menunjukkan tingginya tahap keperihatinan dan kedermawanan kakitangan Petronas di dalam menyokong usaha-usaha sebegini. InshaAllah PSR ini akan terus jadi model perkongsian bijak antara agensi-agensi kerajaan seperti Pejabat Agama Daerah dengan NGO-NGO di daerah ini di dalam menjana projek agihan sumbangan Ramadan yang dibuat dengan begitu meluas buat pertama kalinya di daerah ini.



Ustaz Zulkilfi Othman di dalam ucapannya melahirkan rasa sukacita beliau di atas kejayaan penganjuran program yang seumpama ini. Dengan sokongan NGO-NGO Islam seperti IKRAM ini mampu menggerakkan dan menyemarakkan program-program dakwah dan kebajikan di kalangan umat Islam di daerah ini.



Majlis ini telah diadakan di Dewan Seri Intan, Kompleks PMO Carigali Kerteh.

Tahniah kepada BAKIP dan YPC di atas usaha penggemblingan dana PSR di kalangan warga industri di daerah ini. Moga ianya dapat diteruskan dengan lebih baik lagi di masa-masa akan datang.

0 comments:

Pages