Sunday, August 05, 2012

PSR 5 - Berbuka Puasa di Masjid Kg Batu Putih Meriah!

Alhamdulillah pada 15 Ramadan 1433H bersamaan 4 Ogos 2012 program PSR diteruskan di lokasi masjid yang kelima iaitu Masjid Kg Batu Putih dekat Kerteh di dalam DUN Kemasik. Dianggarkan sekitar 300 orang hadir ke majlis yang bermula sekitar jam 5.50 petang ini.

Pihak masjid telah menyembelih seekor lembu untuk dijadikan jamuan utama majlis berbuka puasa. Satu majlis gotong royong menyembelih serta melapah lembu serta memasak telah diadakan sejak dari pagi lagi di kawasan masjid diketuai oleh Pengerusi Masjid yang juga Pengerusi JKKK iaitu Encik Aziz Idris.







Majlis di sebelah petang bermula dengan aluan daripada Pengerusi Masjid dan Pengarah PSR 2012. Ianya diteruskan dengan ucapan aluan IKRAM oleh Sdr Sukeri bin Salleh yang merupakan Setiausaha IKRAM Kemaman dan sekaligus menyampaikan tazkirah ramadan. Turut hadir di majlis ini ialah wakil syarikat MECIP (M) Sdn Bhd, Encik Haslam Ramzan bin Hassan yang juga turut serta menyampaikan sumbangan di dalam majlis ini. Majlis dipengerusikan oleh Sdr Abdul Rahman Mohd Razali iaitu Pengerusi JK Khidmat Masyarakat IKRAM Kemaman.

Sdr Sukeri di dalam tazkirah beliau mengingatkan hadirin tentang perlunya kita menghayati matlamat kewajipan berpuasa iaitu untuk melahirkan generasi dan umat yang bertaqwa. Di samping itu beliau menyeru agar umat Islam meningkatkan amalan terutamanya apabila mula memasuki separuh daripada Ramadan dan menghadapi sepuluh hari terakhir Ramadan. Beliau juga menyentuh peri pentingnya untuk kita bersama membantu perjuangan umat Islam yang ditindas seperti di Palestin dan yang terbaru konflik yang dihadapi umat Islam Rohingya di Myanmar. Keadaan mereka di sana lebih memerlukan kita umat Islam untuk bersama menghulur bantuan. Sehubungan dengan itu, beliau menyatakan komitmen IKRAM dalam hal ini dimana sejumlah aktivis akan dihantar ke Gaza, Palestin mulai Selasa 18 Ramadan untuk berada di sana bagi menyampaikan bantuan termasuk TYDP IKRAM Kemaman Ustaz Muzahar Hitam. Beliau juga memaklumkan IKRAM turut menghantar wakil delegasi bertemu Perdana Menteri Myanmar bagi menyatakan bantahan dan agar dihentikan segera kezaliman ke atas umat Islam Rohingya.

Program diteruskan selepas tazkirah dengan penyampaian sumbangan pek makanan kepada 43 miskin dan ibu tunggal serta duit bantuan Ramadan kepada 16 orang anak yatim di kawasan ini.



Jamuan berbuka puasa diadakan selepas majlis tahlil dan doa. Suasana kegembiraan berbuka puasa dengan kemeriahannya dapat dirasai di majlis ini. Sebanyak lima buah khemah disediakan dan para hadirin juga berbuka di ruang legar masjid dan di kaki-kaki lima masjid. Turut hadir ketika majlis berbuka puasa ialah ADUN Kemasik Ir Rosli dan sempat bertukar-tukar pandangan dengan kepimpinan IKRAM selepas solat maghrib berjamaah.







Turut hadir ketika majlis berbuka puasa ialah ADUN Kemasik YB Ir Rosli dan sempat bertukar-tukar pandangan dengan kepimpinan IKRAM selepas solat maghrib berjamaah.



Pengerusi Masjid di dalam ucapan terakhir beliau kepada TYDP IKRAM Kemaman ialah padat dan ringkas - "terima kasih daun keladi...". Dan dijawab oleh delegasi IKRAM bahawa ."IKRAM akan datang banyak kali lagi selepas ini inshaAllah." Antara program yang dicadangkan ialah Karnival Kesihatan yang bakal diadakan di sini selepas hari raya nanti.

Moga khidmat masyarakat yang diberikan ini mempertautkan lagi hubungan persaudaraan dan kerjasama sesama kita umat Islam khususnya di daerah Kemaman.

0 comments:

Pages