Program Semarak Ramadan IKRAM Kemaman 1433H

Mari bersama-sama meningkatkan amalan dan memberikan sumbangan kepada mereka yang lebih memerlukan..

Infaq fi sabilillah

Dan kelak akan dijauhkan daripada neraka orang yang paling bertakwa iaitu orang yang menafkahkan hartanya untuk membersihkan dirinya... (QS Al-Lail : 17-20)

Suburkanlah iman

Jadikan Ramadan sebagai bulan madrasah jiwa dan ruhani..

Remaja Raikan Ramadan

Nantikan kemunculannya di lokaliti-lokaliti terpilih seluruh Kemaman!

This is default featured slide 5 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions..

Friday, August 17, 2012

Ibu-ibu Tunggal Terima Sumbangan Hari Raya di Kerteh

Semalam 16 Ogos 2012 bersamaan 27 Ramadan 1433H telah berlangsung satu majlis sumbangan hari raya kepada warga ibu tunggal DUN Kemasik di Balairaya Kg Telaga Papan Kerteh. Seramai 50 orang ibu tunggal telah hadir ke majlis ini. Ini adalah susulan daripada program pertama sebelum ini iaitu majlis berbuka puasa dengan lebih 200 orang ibu tunggal pada 6 Ramadan yang lalu. Ianya dianjurkan bersama dengan Kelab Ibu Tunggal DUN Kemasik yang dipengerusikan oleh Puan Hjh Rokiah Awang.

Puan Rokiah di dalam ucapannya melahirkan rasa bersyukur tidak terhingga di atas kesudian pihak IKRAM memilih untuk terus menyalurkan sumbangan terus kepada ibu-ibu tunggal ini. Menurut beliau belum pernah mana-mana badan atau agensi yang berhubung langsung dengan persatuan mereka dan menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban ibu-ibu tunggal yang semakin meningkat bilangannya ini.


PSR diwakili Pengarahnya sendiri Hj Fakhrul Anuar Zulkawi. Di dalam ucapan aluan, beliau mengajak semua hadirin untuk memanfaatkan hari-hari Ramadan yang masih berbaki ini dan meraih sebanyaknya manfaat daripadanya dengan melipatgandakan ibadah. Beliau menyebut tentang matlamat berpuasa ialah untuk melahirkan manusia mukmin yang bertaqwa. Beliau juga mengungkapkan ayat-ayat Allah SWT di dalam surah ali-Imran : 133-135 ketika mana Allah SWT menyebutkan ciri-ciri orang yang bertaqwa ketika Allah SWT menyeru bersegera untuk beramal iaitu antara lain mendermakan harta mereka ketika senang dan susah, menahan kemarahan dan memaafkan kesalahan orang. Sifat-sifat inilah yang perlu dimiliki oleh kita di dalam menghadapi cabaran hidup di dunia ini kerana kehidupan yang kekal abadi hanyalah di akhirat. Di samping itu, beliau yang mewakili IKRAM juga berharap agar dapat melaksanakan banyak lagi program pembangunan diri dan masyarakat bersama persatuan ibu tunggal ini di masa-masa akan datang.





Turut hadir ke majlis ini ialah Pengerusi JKKK Kg Telaga Papan Encik Mohd Gholip.

Menyantuni Anak-Anak Yatim Di Seri Bandi & Kg Labohan

Alhamdulillah semalam di dalam siri terakhir agihan sumbangan Ramadan dan hari raya, pasukan PSR 2012 sempat mengagihkan sumbangan duit hari raya kepada 17 orang anak yatim di Bandar Seri Bandi di bawah DUN Kijal dan 10 anak yatim di Kg Labohan Kerteh di dalam DUN Kemasik. Ini adalah sebahagian daripada sekitar 140 anak yatim yang sempat disantuni di lebih sepuluh lokasi PSR di daerah Kemaman.

Program menyantuni anak-anak yatim di Seri Bandi telah diadakan di SK Seribandi 2 diketuai Pengarah PSR 2012 Hj Fakhrul Anuar Zulkawi manakala ziarah di Kg Labohan diketuai Pengerusi JK Khidmat Masyarakat IKRAM Negeri Hj Abdul Aziz Abdul Rahman.

Majlis di SK Seri Bandi turut disertai Guru Besar sekolah tersebut Hj Mohd bin Senek dan Guru Penolong Kanan 1 Puan Jamilah. Anak-anak yatim di sini berusia antara tujuh hingga dua belas tahun dan sekitar enam orang akan mengambil peperiksaan UPSR yang bakal bermula pada 11 September 2012 kelak. Kesemua anak yatim ini tinggal di perumahan Ketengah dekat Seri Bandi.


Hj Mohd di dalam ucapan beliau melahirkan rasa gembira di atas kesudian pihak IKRAM hadir untuk menyantuni anak-anak yatim di sekolah beliau. Beliau menasihati anak-anak ini agar berterima kasih dan menggunakan sumbangan wang yang diberikan dengan cara yang baik.



Pengarah PSR pula mengucapkan terima kasih di atas kerjasama pihak sekolah dan berharap kerjasama dengan pihak sekolah dieratkan lagi khususnya di dalam memberikan khidmat kepada anak-anak yatim ini. Beliau juga menasihati anak-anak ini agar belajar bersungguh-sungguh dan mendoakan ibu bapa mereka. Beliau sempat menitip doa bersama anak-anak ini bersama-sama. Sumbangan sebanyak RM100 seorang telah diberikan kepada anak-anak yatim ini.  Keceriaan jelas terpancar pada muka anak-anak ini.






Semoga program khidmat anak yatim ini diteruskan oleh IKRAM Kemaman selepas ini. Antara yang dirancang ialah susulan ziarah rumah ke rumah menemui anak-anak yatim ini bersama penjaga mereka masing-masing.

Thursday, August 16, 2012

PSR Kemaman - Iktikaf Perdana di Masjid Jamek Kerteh

Alhamdulillah di antara program PSR yang penghujung ialah program iktikaf perdana di Masjid Jamek Kerteh. Ianya telah dimulakan sejak malam 21 Ramadan sehingga ke malam 27 Ramadan iaitu berakhir pada selepas solat subuh. Masjid Jamek Kerteh terletak di Pekan Kerteh dan meliputi 3 buah kampung utama iaitu Kg Telaga Papan, Kg Tengah dan Kg Gelugor.



Program ini disertai juga jamuan sahur bagi memudahkan para ahli jemaah masjid untuk melakukan ibadah iktikaf di masjid ini.


Dengan kerjasama pihak pengurusan masjid, program ini diselitkan dengan siri tazkirah subuh. Antaranya yang disampaikan oleh salah seorang imam yang didatangkan khas dari sebuah pesantren di Jawa Tengah iaitu Ustaz Shuaib Ridzuan. Beliau sebenarnya berasal dari kepulauan yang berhampiran dengan Australia. Menamatkan ijazah beliau dalam bidang Syariah dan kini guru sepenuh masa di pesantren yang memiliki lebih 1000 orang pelajar itu termasuk yang datang dari negara kita. Beliau bersama seorang lagi sahabat beliau Ustaz Uthman menjadi imam teraweh di masjid ini sehingga ke malam ke-25 Ramadan sebelum berangkat pulang ke Indonesia semula.


Semoga kehadiran ahli-ahli IKRAM Kemaman yang memakmurkan masjid ini menjadi contoh kepada masyarakat kampung di sekitar untuk turut bersama mengamalkan sunnah rasul yang mulia ini di sepuluh hari terakhir Ramadan. Semoga meraih keampunan Allah SWT dan diredhai segala amalan kita.

Agihan PSR di Kg Lubuk Lesung

Alhamdulillah semalam telah diadakan satu majlis ringkas penyerahan sumbangan Ramadan dan hari raya kepada 32 orang penerima sumbangan di Dewan Kg Lubuk Lesung dekat Padang Kubu di bawah DUN Kijal. Program ini dilaksanakan dengan kerjasama JK Masjid dan JKKK di sini. Turut hadir dan mempengerusikan majlis ialah Pengerusi JKKK Encik Ibrahim.


Seramai 22 warga emas dan ibu tunggal serta 12 anak yatim telah menerima sumbangan PSR ini. Ini adalah program pertama IKRAM Kemaman di kampung yang mempunyai penduduk sekitar lebih 600 orang ini. Ianya merupakan sebuah penempatan penduduk yang mula dibina pada tahun 1990. Sebelum ini mereka tinggal di kawasan yang selalu dilanda banjir iaitu di Kg Pelantoh dekat sini juga.






Kebanyakan penduduk bekerja sendiri menoreh getah dan mengusahakan kebun kelapa sawit. Sekolah yang berhampiran ialah SK Padang Kubu, SK Seribandi 2, SMK Seribandi dan SMK Air Putih.



Encik Ibrahim di dalam ucapan beliau mengucapkan terima kasih daun keladi kepada pihak IKRAM yang sudi berkunjung ke kampung ini. Beliau juga bersedia untuk mengadakan program-program lain selepas ini. Beliau yang bekerja sebagai seorang kontraktor adalah juga YDP PIBG SMK Air Putih serta mengenali Hj Zameran (Mantan YDP IKRAM) dan Ustaz Mazlan Ahmad (YDP IKRAM sekarang).



Semoga interaksi kita bersama di dalam bulan Ramadan akan terus diberkati Allah SWT dengan program-program berikutnya selepas ini.

Kakitangan Petronas Carigali Penyumbang Terbesar PSR Kemaman

Alhamdulillah pada tengahari semalam 15 Ogos 2012 bersamaan 26 Ramadan 1433H selepas zuhur telah diadakan satu majlis ringkas penyampaian sumbangan PSR oleh kakitangan-kakitangan Petronas Carigali PMO Kerteh menerusi Badan Kakitangan Islam Petronas (BAKIP) PMO Kerteh dan Young Professional Club PMO Kerteh.

Majlis ini telah disempurnakan oleh Pengurus CSR PMO Hj Fakhrul Radzi dan telah diserahkan kepada Pegawai Agama Daerah Kemaman, Ustaz Hj Zulkifli Othman. Sejumlah RM17,500 telah disumbangkan kepada tabung PSR menerusi kutipan yang dibuat sejak dua minggu sebelumnya.



Pengerusi BAKIP Hj Amir Din di dalam ucapannya sangat gembira di atas sokongan kakitangan Petronas kepada usaha seperti ini. Menurut beliau lagi inilah julung-julung kalinya kutipan terbesar pernah dibuat di sini. Beliau juga berterima kasih kepada pihak IKRAM kerana sudi menjemput BAKIP untuk terlibat di dalam Projek Semarak Ramadan Peringkat Daerah Kemaman ini.



Pengarah PSR 2012 Hj Fakhrul Anuar Zulkawi pula di dalam aluannya sempena majlis penyerahan sumbangan ini berkata sehingga kini, inilah satu-satunya badan yang menjadi penyumbang terbesar kepada projek ini. Ini juga menunjukkan tingginya tahap keperihatinan dan kedermawanan kakitangan Petronas di dalam menyokong usaha-usaha sebegini. InshaAllah PSR ini akan terus jadi model perkongsian bijak antara agensi-agensi kerajaan seperti Pejabat Agama Daerah dengan NGO-NGO di daerah ini di dalam menjana projek agihan sumbangan Ramadan yang dibuat dengan begitu meluas buat pertama kalinya di daerah ini.



Ustaz Zulkilfi Othman di dalam ucapannya melahirkan rasa sukacita beliau di atas kejayaan penganjuran program yang seumpama ini. Dengan sokongan NGO-NGO Islam seperti IKRAM ini mampu menggerakkan dan menyemarakkan program-program dakwah dan kebajikan di kalangan umat Islam di daerah ini.



Majlis ini telah diadakan di Dewan Seri Intan, Kompleks PMO Carigali Kerteh.

Tahniah kepada BAKIP dan YPC di atas usaha penggemblingan dana PSR di kalangan warga industri di daerah ini. Moga ianya dapat diteruskan dengan lebih baik lagi di masa-masa akan datang.

Wednesday, August 15, 2012

Salam Aidilfitri 1433H


Tuesday, August 14, 2012

PSR Remaja - 3R di Surau Rantau Petronas

Seramai 60 orang remaja menyertai program Remaja Raikan Ramadan (3R) di Surau Rantau Petronas dekat Kerteh pada 10-11 Ogos 2012 yang lalu. Program anjuran IKRAM Kemaman ini adalah sebahagian daripada projek semarak ramadan (PSR) peringkat daerah Kemaman.

Pelbagai aktviti yang menarik telah disediakan sepanjang program diadakan. Moga mereka terus disantuni. Tahniah kepada warga IKRAMTeens Kemaman.



PSR 8 : Berbuka Puasa & Sumbangan Ramadan di Masjid Kg Pasir Gajah

PSR 2012 diteruskan lagi dan kali ini di Kg Pasir Gajah iaitu sebuah perkampungan tradisi Melayu yang  terletak di persisiran Sungai Kemaman dekat Air Putih. Program ini telah diadakan pada 10 Ogos 2012 yang lalu bersamaan 21 Ramadan 1433H.





Sebelum majlis penyampaian sumbangan diadakan, sebuah tazkirah ramadan telah disampaikan oleh YDP IKRAM Kemaman, Ustaz Hj Mazlan Ahmad. Beliau mengingatkan para hadirin agar terus memanfaatkan sepuluh hari terakhir ramadan ini dengan memperbanyak ibadah seperti qiamullail, berzikir, membaca al-Quran dan berusaha memahaminya. Di samping itu ianya ibadah sedekah juga perlu diteruskan kerana ganjarannya yang sangat besar di bulan yang mulia ini. Beliau juga merakamkan jutaan terima kasih beliau yang mewakili IKRAM di atas kerjasama pihak Masjid dan anggota masyarakat di Kg Pasir Gajah ini.



Pengerusi Masjid Encik Mustafa pula berharap agar lebih banyak lagi program dapat diadakan bersama IKRAM di kampung ini dan berharap program yang baik seperti ini diteruskan lagi di masa-masa akan datang.

Seramai 64 ibu tunggal dan warga emas menerima sumbangan pek makanan PSR dan 18 orang anak yatim menerima sumbangan duit hari raya di majlis yang diadakan di Masjid Kg Pasir Gajah ini. Program ini disertai Pengerusi Jawatankuasa Masjid dan JKKK di beberapa buah kampung dekat Pasir Gajah ini.





Majlis diakhiri dengan bacaan tahlil dan doa sebelum semua yang hadir bersama-sama berbuka puasa. Jamuan berbuka puasa ini telah diadakan secara gotong royong oleh masyarakat kampung ini hasil sumbangan daripada program PSR ini juga.



Sesi bergambar bersama Pengerusi Masjid, Imam-imam dan ahli jawatankuasa masjid mengakhiri majlis yang penuh mahabbah dan keceriaan ini.


PSR Kemaman - Sumbangan Rumah ke rumah di Kg Air Putih

Alhamdulillah PSR 2012 diteruskan di sepuluh hari terakhir Ramadan dengan ziarah rumah ke rumah bagi menyampaikan sumbangan kepada warga miskin, orang tua dan orang kelainan upaya di dua buah kampung dekat Air Putih, Kemaman iaitu Kg Air Putih dan Kg Teladas. Program ini dijayakan bersama Jawatankuasa Masjid Kg Air Putih dan Surau Kg Teladas serta JKKK kedua-dua buah kampung. Program ini telah diadakan pada 10 Ogos 2012 yang lalu bersamaan 21 Ramadan yang lalu.

Seramai 35 penerima telah menerima sumbangan yang ditaja khas kali ini oleh Bank Rakyat dan juga pek makanan IKRAM Kemaman. IKRAM Kemaman diwakili Pengarah PSR 2012 Hj Fakhrul Anuar Zulkawi dan turut disertai oleh wakil Wanita IKRAM Kemaman, Ustazah Rosmawati dan Hjh Ainon serta beberapa orang anak muda IKRAM Kemaman.

Bagi pihak Masjid pula, ianya diwakili Setiausaha Masjid Kg Air Putih, Encik Saidi. Majlis bermula di Masjid Kg Air Putih sebelum pasukan ziarah berpecah dua iaitu di dua buah kampung secara serentak.









Ziarah seumpama ini dapat mendekatkan kita dengan suasana kehidupan masyarakat di kampung termasuk mereka yang telah uzur dan berkelainan upaya. Di bulan ramadan yang mulia ini, ianya merupakan satu aktiviti yang menginsafkan kita tentang pentingnya kita membantu dan meringankan sedikit keperitan yang dialami oleh mereka ini. Semoga ianya memberi sedikit kegembiraan kepada mereka yang kurang bernasib baik ini.

Sumbangan berbuka puasa juga telah diserahkan kepada Masjid Kg Air Putih dan Surau Kg Teladas. Antara keunikan berbuka puasa yang sudah jadi amalan tradisi masyarakat di sini ialah setiap rumah menyediakan juadah berbuka puasa dan dibawa ke masjid dan surau untuk dikongsi dengan semua yang hadir.

Semoga sumbangan para dermawan PSR 2012 ini terus memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan di bulan yang penuh barokah ini.





Wednesday, August 08, 2012

PSR 6 - Berbuka Puasa Bersama Warga Estet Ranggon

Alhamdulillah antara keunikan PSR Kemaman kali ini ialah bersama dengan warga pekerja ladang kelapa sawit iaitu di Kg Ranggon Estate dekat Kerteh. Ianya berlangsung pada hari cuti umum Nuzul Quran di negeri ini iaitu pada 17 Ramadan 1433H atau bersamaan 6 Ogos 2012.


Antara rumah-rumah estet di kampung yang belum sepenuhnya bertar jalannya

Estet ini dipunyai oleh syarikat Yee Seng Plantation di sebuah tanah seluas 5000 ekar pajakan kerajaan negeri. Dalam pertemuan dengan ADUN Kemasik YB Ir Rosli sebelum bahawa kerajaan negeri dengan memperbaharui pajakan kepada syarikat ini untuk tempoh 100 tahun lagi. Semua pekerjanya adalah rakyat Malaysia dan kebanyakannya orang Melayu. Ada satu lagi perkampungan estet di sini yang berjiran iaitu Kg Bukit Pahang.


Masjid Al-Firdaus Kg Ranggon Estate

Program kali ini dimeriahkan dengan kehadiran Pegawai Agama Daerah Kemaman sendiri iaitu Ustaz Hj Zulkefli bin Othman yang sempat menyampaikan tazkirah ramadan sekaligus menyampaikan sumbangan ramadan kepada 30 orang penduduk di kampung ini. Beliau mengingatkan warga penduduk agar berusaha mengimarahkan masjid dan menjadikan masjid sebagai pusat kegiatan masyarakat yang utama. Ibadah berpuasa di bulan ini mudah-mudahan membentuk kecenderungan kita untuk sentiasa ke masjid selepas tamatnya bulan ramadan.

Ustaz Hj Zulkefli Othman sedang menyampaikan tazkirah

Sebelum itu, program ini turut disajikan dengan ucapan dan tazkirah daripada YDP IKRAM Terengganu, Ustaz Hj Mohamad Lokman bin Awang. Beliau mengingatkan hadirin agar menjadikan al-Quran sebagai pegangan hidup dan mendekatkan diri dengan al-Quran pada setiap masa. Nuzul Quran yang jatuh pada tarikh 17 Ramadan mengingatkan umat Islam agar sentiasa berusaha memahami isi al-Quran dan merujuk kepada al-Quran. Al-Quran fungsinya bukan sekadar bacaan tetapi lebih daripada itu ianya sebagai petunjuk (al-huda) dan pembeza antara kebenaran dan kebatilan (al-furqan).

Ustaz Hj Lokman Awang, YDP IKRAM Terengganu

Pengerusi Masjid Al-Firdaus Kg Ranggon Estet, Encik Ramli bin Abu Bakar di dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada pihak Pejabat Agama dan Pertubuhan IKRAM Kemaman kerana memilih masjid ini sebagai salah satu lokasi program PSR tahun ini. Beliau berharap agar banyak lagi program bersama dapat diadakan oleh IKRAM di kampung ini. Turut hadir ke majlis ini ialah Imam Masjid Kg Bukit Pahang, Cikgu Nordin dan Imam Masjid Kg Batu Putih Hj Husin.

Penyampaian sumbangan telah diberikan oleh Ustaz Zulkefli kepada 30 orang penerima. Turut mengiringi ialah Pengerusi Masjid, Encik Ramli dan YDP IKRAM Kemaman, Ustaz Hj Mazlan Ahmad. Sumbangan kali ini telah didermakan oleh IKRAM Kemaman dan Koperasi SRI Al-Amin Kerteh (KOSERI).

Ustaz Zulkefli menyampaikan sumbangan

Program disambung dengan tahlil dan doa sebelum berbuka puasa. Majlis tahlil ini dipimpin oleh Ustaz Muzahar Hitam, TYDP IKRAM Kemaman. Program berbuka puasa turut disertai ADUN Kemasik YB Ir Rosli yang sempat berbuka puasa bersama Pegawai Agama dan YDP IKRAM Terengganu.

Ustaz Muzahar memimpin bacaan tahlil

Suasana berbuka yang meriah

Antara anak-anak muda kampung yang hadir

Timb Ketua Wanita IKRAM Terengganu, Hjh Norasyikeen
turut menyantuni masyarakat wanita kampung

Program berbuka puasa turut disertai ADUN Kemasik YB Ir Rosli yang sempat berbuka puasa bersama Pegawai Agama dan YDP IKRAM Terengganu.



Program PSR kali ini diakhiri dengan sesi bergambar bersama Pegawai Agama dan Pengerusi Masjid. Kepimpinan tertinggi IKRAM Terengganu dan IKRAM Kemaman ramai yang hadir ke majlis ini juga.


Semoga program ini diberkati Allah SWT dan hubungan IKRAM Kemaman dengan kampung ini berterusan selepas ini.






Pages