Friday, August 17, 2012

Menyantuni Anak-Anak Yatim Di Seri Bandi & Kg Labohan

Alhamdulillah semalam di dalam siri terakhir agihan sumbangan Ramadan dan hari raya, pasukan PSR 2012 sempat mengagihkan sumbangan duit hari raya kepada 17 orang anak yatim di Bandar Seri Bandi di bawah DUN Kijal dan 10 anak yatim di Kg Labohan Kerteh di dalam DUN Kemasik. Ini adalah sebahagian daripada sekitar 140 anak yatim yang sempat disantuni di lebih sepuluh lokasi PSR di daerah Kemaman.

Program menyantuni anak-anak yatim di Seri Bandi telah diadakan di SK Seribandi 2 diketuai Pengarah PSR 2012 Hj Fakhrul Anuar Zulkawi manakala ziarah di Kg Labohan diketuai Pengerusi JK Khidmat Masyarakat IKRAM Negeri Hj Abdul Aziz Abdul Rahman.

Majlis di SK Seri Bandi turut disertai Guru Besar sekolah tersebut Hj Mohd bin Senek dan Guru Penolong Kanan 1 Puan Jamilah. Anak-anak yatim di sini berusia antara tujuh hingga dua belas tahun dan sekitar enam orang akan mengambil peperiksaan UPSR yang bakal bermula pada 11 September 2012 kelak. Kesemua anak yatim ini tinggal di perumahan Ketengah dekat Seri Bandi.


Hj Mohd di dalam ucapan beliau melahirkan rasa gembira di atas kesudian pihak IKRAM hadir untuk menyantuni anak-anak yatim di sekolah beliau. Beliau menasihati anak-anak ini agar berterima kasih dan menggunakan sumbangan wang yang diberikan dengan cara yang baik.



Pengarah PSR pula mengucapkan terima kasih di atas kerjasama pihak sekolah dan berharap kerjasama dengan pihak sekolah dieratkan lagi khususnya di dalam memberikan khidmat kepada anak-anak yatim ini. Beliau juga menasihati anak-anak ini agar belajar bersungguh-sungguh dan mendoakan ibu bapa mereka. Beliau sempat menitip doa bersama anak-anak ini bersama-sama. Sumbangan sebanyak RM100 seorang telah diberikan kepada anak-anak yatim ini.  Keceriaan jelas terpancar pada muka anak-anak ini.






Semoga program khidmat anak yatim ini diteruskan oleh IKRAM Kemaman selepas ini. Antara yang dirancang ialah susulan ziarah rumah ke rumah menemui anak-anak yatim ini bersama penjaga mereka masing-masing.

0 comments:

Pages