Program Semarak Ramadan IKRAM Kemaman 1433H

Mari bersama-sama meningkatkan amalan dan memberikan sumbangan kepada mereka yang lebih memerlukan..

Infaq fi sabilillah

Dan kelak akan dijauhkan daripada neraka orang yang paling bertakwa iaitu orang yang menafkahkan hartanya untuk membersihkan dirinya... (QS Al-Lail : 17-20)

Suburkanlah iman

Jadikan Ramadan sebagai bulan madrasah jiwa dan ruhani..

Remaja Raikan Ramadan

Nantikan kemunculannya di lokaliti-lokaliti terpilih seluruh Kemaman!

This is default featured slide 5 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions..

Tuesday, October 30, 2012

Mampukah Swing Signifikan Pengundi Melayu Berlaku di Melaka ?

Menurut Tun Daim Zainuddin baru-baru ini beliau meramalkan hanya Johor, Pahang dan Melaka akan kekal bersama BN selepas PRU13 kelak. Beliau pernah meramalkan yang Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah akan jatuh kepada pembangkang pada PRU12 yang tidak mendapat perhatian oleh mana-mana pihak sebelum ini. Namun, apakah nasib negeri bekas kesultanan Melayu Melaka yang jatuh ke tangan penjajah 500 tahun yang lalu ini benar-benar seperti diramalkan oleh Daim?


Melaka mempunyai 6 kerusi Parlimen dan 28 kerusi DUN. Pada PRU12 yang lalu, BN mengekalkan penguasaan di 5 kerusi Parlimen iaitu  dan 23 kerusi DUN. Parlimen yang dimenangi BN ialah P.134 Masjid Tanah, P.135 Alor Gajah, P.136 Tangga Batu, P.137 Bukit Katil dan P.139 Jasin manakala P.138 Kota Melaka dimenangi oleh PR menerusi DAP. DAP kalah di Parlimen Alor Gajah manakala
PKR bertanding di 3 Parlimen iaitu Tangga Batu, Bukit Katil dan Jasin. PAS pula hanya bertanding di Parlimen Masjid Tanah sahaja.

DAP memenangi 5 kerusi DUN daripada 8 kerusi yang ditandingi iaitu di N.19 Kesidang, N.20 Kota Laksamana, N.22 Bandar Hilir (ketiga-tiga DUN dalam Parlimen Kota Melaka), N.15 Bachang dan N.16 Ayer Keroh (kedua-dua DUN dalam Parlimen Bukit Katil). DAP kalah di 3 DUN iaitu N.14 Kelebang maj. 1303 (Parlimen Tangga Batu), N.21 Duyong maj. 806 (Parlimen Kota Melaka) dan N.24 Bemban maj. 2141 (Parlimen Jasin). Manakala PAS dan PKR bertanding di 13 dan 7 kerusi yang lain tetapi kalah kesemuanya.

Kita dapati pada PRU12, kerusi DUN dan Parlimen yang mempunyai komposisi pengundi Melayu antara 50-60% mempunyai potensi untuk PR menang dalam PRU13 kelak. Ini meliputi Parlimen Alor Gajah dan 3 DUN di bawahnya - N.7 Gadek, N.8 Machap, N.10 Asahan serta di DUN N.13 Paya Rumput dan N.14 Kelebang (di dalam Parlimen Tangga Batu), Parlimen Bukit Katil dan 1 lagi DUN di bawahnya iaitu N.17 Bukit Baru, N.21 Duyong (bawah Parlimen Kota Melaka) dan N.24 Bemban dan N.25 Rim di dalam Parlimen Jasin.

Ini mewakili 14 buah kerusi DUN iaitu 9 lagi kerusi tambahan yang berpotensi untuk menang selain 5 yang telah dimenangi oleh DAP dalam PRU12.

Untuk membentuk kerajaan negeri memerlukan sekurang-kurangnya 15 kerusi DUN. Dengan kedudukan seperti ini dan pengundi Melayu yang begitu tegar kepada BN, PR hanya mampu membentuk sebuah gabungan pembangkang yang kuat di negeri Melaka.

Sekali lagi pengundi muda dan baru selain pengundi bukan Melayu menjadi antara faktor kemenangan PR di Melaka sekiranya tiada swing undi yang signifikan daripada pengundi Melayu.

Saturday, October 27, 2012

Program Ibadah Korban Di Kg Baru Felda Neram 1

Alhamdulillah satu majlis ibadah korban telah disempurnakan di Kg Baru Felda Neram 1 pada hari raya eidul adha yang kedua iaitu pada 27 Oktober 2012 bersamaan 11 Zulhijjah 1433. Program ini adalah kerjasama IKRAM Kemaman dengan Jawatankuasa Masjid Kg Baru Felda Neram 1.


Program yang dinamakan Qurban Perdana Kasih Ummah IKRAM 1433H ini berlangsung pada sebelah pagi hari raya korban yang kedua ini telah dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Khidmat Masyarakat IKRAM Negeri, Tuan Haji Abd Aziz bin Abd Rahman, TYDP IKRAM Kemaman, Muzahar bin Hitam dan Pengerusi Jawatankuasa Khidmat Masyarakat Daerah Kemaman, Abdul Rahman bin Mohd Razali. Pihak Masjid Kg Baru Felda Neram 1 pula diwakili oleh Pengerusi Masjid, Tuan Haji Abdul Wahab.

Semoga amal korban ini diterima oleh Allah SWT dan mengeratkan hubungan di antara IKRAM dengan masyarakat setempat.

Thursday, October 25, 2012

Mampukah PR Menggugat di Pahang ?

Pahang adalah sebuah negeri yang boleh dianggap kubu kuat BN selepas Johor selama ini. Sebab itulah agaknya sudah ada dua Perdana Menteri daripada negeri ini sejak merdeka.

Terkini di Pahang ada 14 kerusi Parlimen dan 42 kerusi DUN di negeri ini. Untuk menang dengan majoriti mudah memerlukan 22 kerusi DUN.

Pada PRU12 Mac 2008, BN menang 12 kerusi Parlimen dan 37 kerusi DUN. PR menang menerusi PKR di Parlimen P.82 Indera Mahkota (maj.1027) dan P.83 Kuantan (maj.1826). Manakala di DUN pula, PR menang di N.7 Tras (DAP,Bentong, maj. 2451), N.38 Teriang (DAP, Bera, maj. 2469), N.12 Beserah (PAS, Indera Mahkota, maj. 1541) dan N.32 Kuala Semantan (PAS, Temerloh, maj.932). Manakala calon Bebas menang di N.1 Tanah Rata setelah berlaku pertembungan sengit 3 penjuru antara BN, DAP dan Bebas.

Dimanakan PR boleh mendapatkan kerusi tambahan untuk menang majoriti mudah pada PRU-13 ini kelak di peringkat DUN? Sudah pasti tumpuan perlu diberikan kepada kawasan-kawasan marginal. Pertama ialah 7 kawasan yang BN menang kurang dari 1000 undi. Ini termasuklah N.10 Damak (Jerantut, maj.509, pertembungan 3 penjuru BN-PKR-Bebas), N.14 Teruntum (Kuantan, maj. 293, DAP), N.15 Tanjung Lumpur (Kuantan, maj. 496, PAS), N.16 Inderapura (Kuantan, maj. 873, PAS), N.29 Jengka (Kuala Krau, maj. 596, PAS), N.34 Ketari (Bentong, maj.882, DAP) dan N.35 Sabai (Bentong, maj.145, DAP).

Ini bermakna di atas kertas, PR perlu 10 kerusi lagi untuk menang majoriti mudah. Dimana lagi kawasan-kawasan yang berpotensi ini?

Kawasan berpotensi untuk PR selanjutnya ialah 8 kawasan yang BN menang dengan majoriti kurang dari 1500 undi iaitu di N.3 Padang Tengku (Lipis, maj.1188, PAS), N.4 Cheka (Lipis, maj. 1280, PKR), N.5 Benta (Lipis, maj.1358, PKR), N.9 Tahan (Jerantut, maj.1357, PAS), N.19 Panching (Paya Besar, maj.1444, PAS), N.24 Luit (Maran, maj.1068, PAS), N.27 Jenderak (Kuala Krau, maj.1374, PKR), N.28 Kerdau (Kuala Krau, maj.1615, PAS) dan N.33 Bilut (Bentong, maj.1108, DAP). Manakala ada 3 lagi kawasan pengundi Cina yang signifikan iaitu N.13 Semambu (Indera Mahkota, maj.2136, PKR), N.30 Mentakab (Temerloh, maj.2439, DAP) dan N.31 Lanchang (Temerloh, maj.2139, PAS).

Pada pengamatan saya, terdapat sensitiviti untuk mengundi calon di kalangan kaum sendiri berlaku di beberapa kawasan di atas bila berlaku pertembungan calon antara dua kaum berbeza. Begitu juga pengundi Melayu agak belum bersedia untuk mengundi calon DAP pada PRU sebelum ini. Adakah stigma ini boleh berubah pada PRU13? Baru-baru ini salah seorang orang kuat DS Najib di Pekan telah menyertai DAP. Beliau ialah Dato' Ariff Sabri bin Abd Aziz yang merupakan ADUN Pulau Manis yang menang pada PRU-11 pada tahun 2004 tetapi tidak dicalonkan semula semasa PRU-12 tahun 2008. Adakah ini petanda bahawa orang Melayu Pahang boleh menerima calon DAP selepas ini?

Di dalam masa yang sama, sekiranya berlaku anjakan peralihan undi yang besar daripada MCA kepada DAP (atau UMNO kepada PR) pada PRU-13 kelak, beberapa Parlimen di Pahang dijangka sengit atau tumbang kepada PR ialah Parlimen P.78 Cameron Highlands, P.80 Raub, P.81 Jerantut, P.88 Temerloh dan P.89 Bentong. Ini akan menyumbang kepada penambahan kerusi Parlimen daripada Pahang untuk PR ke Putrajaya. Pengundi Felda sekali lagi menjadi pertaruhan BN yang selamat tetapi ini mungkin tidak berlaku kepada generasi kedua yang bilangan mereka dua ke tiga kali ganda lebih ramai daripada generasi pertama Felda. Seperkara lagi, faktor calon sekali lagi penting buat golongan pengundi muda dan baru. Tersilap letak calon boleh membahayakan kedudukan mana-mana parti.

Aspek lain yang perlu dilihat ialah komposisi parti dalam PR sekiranya mereka menang majoriti mudah. Namun peluang terbaik yang mungkin berlaku ialah samada DAP akan jadi pembangkang yang kuat di DUN Pahang selepas PRU-13 atau DAP dan PAS berkongsi kuasa di dalam barisan PR Pahang.


Bagaimana Kedudukan Terengganu Untuk PRU13?

Terengganu adalah antara negeri yang pernah diperintah oleh PAS sebanyak dua kali iaitu pada PRU-1 selepas merdeka tahun 1959 dan PRU-10 tahun 1999. Negeri ini didominasi pengundi Melayu sekitar 95% ke atas. Sebarang isu yang boleh memberikan impak besar kepada orang Melayu akan mempengaruhi kecenderungan keputusan pilihanraya umum sebelum ini. Swing paling besar ialah pada PRU-10 1999 dimana PAS menang besar dengan menyapu bersih semua 8 Parlimen dan 28 DUN (hanya kalah di Seberang Takir, Ajil, Telemung dan Kemasek) tetapi kalah teruk pada pusingan berikutnya pada PRU-11 2004 dengan kehilangan semua Parlimen dan tinggal 4 DUN tradisi PAS (Wakaf Mempelam, Batu Buruk, Ru Rendang dan Manir).

Terkini Terengganu mempunyai 8 kerusi Parlimen dan 32 kerusi DUN. Pada PRU-12 Mac 2008, BN menang di 7 kerusi Parlimen dan PAS 1 iaitu di P.37 Marang. Tetapi pada Pilihanraya Kecil pada Januari 2009, PAS menambah satu lagi kerusi Parlimen selepas menang di P.36 Kuala Terengganu. Bagi kerusi DUN pula, BN menang 24 kerusi dan PAS 8 kerusi.

Bagi PR, agihan kerusi mengikut parti ialah di peringkat Parlimen PAS 6 kerusi dan PKR 2 kerusi (iaitu di P.39 Dungun dan P.40 Kemaman). Manakala agihan kerusi di DUN pula ialah PAS 27 dan PKR 5 kerusi (iaitu di N.2 Kota Putera (Parlimen Besut), N.6 Permaisuri (Parlimen Setiu), N.11 Seberang Takir (Parlimen Kuala Nerus), N.14 Bandar (Parlimen Kuala Terengganu) dan N.21 Telemung (Parlimen Hulu Terengganu).

Bagi 8 DUN yang dimenangi PR di bawah PAS ialah di N.12 Bukit Tunggal (maj.336), N.13 Wakaf Mempelam (maj.2193), N.15 Ladang (maj.31), N.16 Batu Buruk (maj.1161), N.18 Bukit Payung (maj.115), N.19 Ru Rendang (maj.2686), N.22 Manir (maj.432) dan N.27 Sura (maj.1000).

Terdapat 8 DUN yang PAS kalah dengan majoriti kurang dari 1000 undi iaitu di N.5 Jabi (maj.804), N.9 Tepuh (maj.430), N.10 Teluk Pasu (maj.462), N.17 Alur Limbat (maj.799), N.20 Pengkalan Berangan (maj.930), N.26 Rantau Abang (maj.790), N.28 Paka (maj.344) dan N.31 Cukai (maj.769).

Inilah 16 kerusi DUN yang mesti dimenangi oleh PR dalam PRU13. Namun, untuk menang dan memerintah negeri dengan simple majority, PR memerlukan sekurang-kurangnya 17 kerusi DUN. Ini boleh didapati sekiranya N.14 Bandar (maj.1142, pengundi Cina 38%) dimenangi oleh PR. Kerusi-kerusi lain yang berpotensi ialah N.8 Batu Rakit (maj.1486) dan N.23 Kuala Berang (maj.1592).

Bagi kerusi Parlimen pula, antara kerusi yang berpotensi untuk PR menambah kerusi ialah P.35 Kuala Nerus (maj.1341) dan P.39 Dungun (maj.4994).

Antara yang faktor yang memenangkan BN-UMNO ialah pengundi kawasan Felda, Felcra dan Ketengah. Ini amat ketara di Besut, Setiu, Hulu Terengganu dan Kemaman. Namun ini boleh berubah sekiranya generasi kedua felda beralih angin. Faktor pengundi baru atau muda pula sangat kritikal di negeri ini di dalam memenangkan mana-mana parti. Pengundi berusia 30 tahun ke bawah mewakili sekitar 28% daripada keseluruhan pengundi berjumlah lebih 600 ribu di negeri ini iaitu yang tertinggi di Malaysia. Manakala peratus keluar mengundi ialah 85%, juga yang tertinggi di negara kita.


Kedudukan Johor Yang Tidak Menentu

Salah sebuah negeri yang disasarkan Pakatan Rakyat untuk PRU13 ialah negeri Johor. Sebelum ini ianya negeri fixed deposit BN sejak selepas merdeka sehinggalah ke PRU12 yang lalu. Tetapi apabila angin perubahan melanda rakyat hari ini, kedudukan BN di Johor kini tergugat terutama di kawasan-kawasan Parlimen yang mempunyai profil pengundi campuran. Apa yang dimaksud dengan kerusi campuran? Ianya ialah kerusi yang mempunyai profil pengundi Melayu, Cina dan India yang sekitar 50:50 atau pengundi Melayu kurang dari 60%.

Dimana kerusi-kerusi campuran ini? Pada PRU12 pada Mac 2008, BN menang 25 kerusi Parlimen dan DAP menang 1 kerusi iaitu di Parlimen P.145 Bakri. Manakala di peringkat negeri, daripada 56 DUN, BN menang 50 kerusi dan PR menang 6 kerusi (2 PAS & 4 DAP).

Ketika PRU12, PR bertanding di semua Parlimen kecuali Pengerang (menang tanpa bertanding) dimana ianya diwakili PAS (10), DAP (6), PKR (8) dan PRM (1). Di DUN pula, PR bertanding di semua kerusi dimana ianya diwakili PAS (32), DAP (12), PKR (10) dan PRM (1).

Di Johor, kerusi-kerusi ini dianggarkan berjumlah 16 buah iaitu di P.140 Segamat, P.141 Sekijang, P.142 Labis, P.144 Ledang, P.145 Bakri, P.148 Ayer Hitam, P.150 Batu Pahat, P.151 Simpang Renggam, P.152 Kluang, P.153 Sembrong, P.158 Tebrau, P.159 Pasir Gudang, P.160 Johor Bharu, P.161 Pulai, P.162 Gelang Patah dan P.165 Tanjung Piai. Satu lagi kerusi Parlimen yang majoriti Melayu melebihi 60% tetapi menunjukkan sokongan PR yang tinggi sebelum ini dengan margin ialah di P.146 Muar.

Sekiranya tsunami PRU12 tahun 2008 melanda Johor pada PRU13 dimana 60-70% pengundi Cina dan 30-40% pengundi Melayu menyokong PR, ini bermakna minima 6 kerusi dijangka bakal dimenangi mudah oleh PR iaitu Segamat (DAP), Labis (DAP), Bakri (DAP), Muar (PKR), Kluang (DAP) dan Gelang Patah (PKR) selain 10 kerusi lain yang boleh menang seperti yang saya sebut di atas. Dua kerusi PKR di atas ditandingi dua calon orang Melayu sebelum ini.

Sewajarnya satu kajian lapangan kecenderungan pengundi di Johor dibuat memandangkan bilangan kerusi pengundi bercampur yang banyak ini termasuk kajian khusus kepada pengundi baru dan muda. Sekiranya 16 kerusi ini semua jatuh kepada Pakatan Rakyat, bermakna PR hanya memerlukan 14 kerusi lagi di negeri-negeri lain untuk menang simple majority untuk ke Putrajaya. Dan sekiranya semua 16 kerusi jatuh, kemungkinan besar Johor akan mempunyai Menteri Besar baru di kalangan  calon Melayu dari PAS inshaAllah.





Monday, October 22, 2012

Seminar SuperMom & SuperDad 2012

Alhamdulillah Wanita IKRAM Terengganu dengan kerjasama Petronita dan Biro Muslimah Surau Rantau Petronas telah berjaya menganjurkan sebuah Seminar SuperMom, SuperDad pada Sabtu 20 Oktober 2012 bersamaan 4 Zulhijjah 1433H di Dewan Seri Delima, Bangunan Petronas Wilayah Pantai Timur dekat Kerteh, Kemaman. Ini merupakan sebahagian daripada siri program keluarga sakinah yang digerakkan oleh Wanita IKRAM Terengganu.


Program yang disertai hampir 150 orang peserta ini telah disempurnakan perasmiannya oleh Pengurus Besar Petronas Wilayah Pantai Timur Tuan Hj Wan Hasnan bin Abdullah. Di dalam ucapan perasmian, beliau mengucapkan terima kasih kepada penganjuran program bersama ini dan ianya wajar dikembangkan di dalam kegiatan-kegiatan yang lain juga. Beliau juga percaya IKRAM dan Petronita mampu menjayakan program-program yang bermanfaat khususnya kepada warga Petronas dan masyarakat amnya.


Seminar kali ini menampilkan seorang tokoh iaitu AJK Wanita IKRAM Pusat yang juga Pengarah Unit Latihan & Pencegahan Raudatus Sakinah Negeri Kelantan iaitu Dr Hjh Hafidzah bt Mustakim. Beliau telah menyampaikan satu ceramah yang cukup bertenaga dan bermaklumat bertajuk "Perjalanan Hidupku" di selang seli dengan pengalaman hidup berkeluarga yang boleh dijadikan  panduan dan pedoman buat ibu bapa yang ingin berjaya di dalam mendidik anak-anak mereka berdasarkan peranan ibubapa 5 bintang yang beliau perkenalkan. Beliau yang mendapatkan pendidikan Ijazah Perubatan daripada Monash University, Melbourne, Australia ini mempunyai lapan orang anak dan suami beliau juga aktif di dalam kegiatan masyarakat selaku Timbalan Yang DiPertua IKRAM Kelantan. Di dalam ceramah tersebut beliau menekankan tentang kepentingan hidup bermatlamat dan Islam telah meletakkan matlamat yang jelas kepada manusia bahawa tugasan mereka di dunia ialah untuk menjadi hamba Allah yang taat kepada perintah-Nya dan menjadi khalifah Allah yang mengurus dan memakmurkan bumi berdasarkan syariat-Nya. Kehidupan di dunia termasuk mengurus dan memimpin diri dan seisi keluarga adalah sebahagian daripada tanggungjawab kita untuk memastikan kita berjaya mendapatkan husnul khotimah (pengakhiran yang baik) dan layak memasuki syurga Allah SWT di akhirat kelak.

Beliau mengajak para peserta khususnya ibu bapa untuk menghayati firman Allah SWT di dalam surah an-Nisa':124 yang menyeru para lelaki dan perempuan untuk membekalkan diri dengan amalan-amalan soleh ketika di dunia :-
"Dan barangsiapa yang mengerjakan kebajikan amal kebajikan, baik lelaki mahupun wanita sedang dia beriman, maka mereka itu akan masuk ke dalam syurga dan mereka tidak dizalimi sedikitpun."

Beliau juga mengajak semua agar memastikan seluruh isi keluarga dan keturunan kita berada di syurga berdasarkan surah at-Tur:21 yang bermaksud :-
"Dan orang-orang beriman, beserta anak cucu mereka yang mengikuti mereka dalam keimanan, Kami pertemukan mereka dengan anak cucu mereka (di dalam syurga) dan Kami tidak mengurangi sedikit pun pahala amal (kebajikan) mereka. Setiap orang terikat dengan apa yang dikerjakannya."


Satu lagi program istimewa sempena seminar ini ialah Forum SuperMom SuperDad yang menampilkan panelis berpengalaman iaitu Ustaz Hj Mohd Lokman bin Dato' Awang selaku YDP IKRAM Terengganu, Ustazah Hjh Samsiah bt Dato' Awang, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Dr Hjh Hafidzah bt Mustakim. Forum ini dikendalikan oleh moderator berpengalaman Ustazah Hjh Rosmawati bt Ahmad, Timbalan Ketua Wanita IKRAM Daerah Kemaman.


Di dalam forum tersebut, Ust Lokman selaku panelis pertama menekankan peri pentingnya asas kejayaan ibu bapa diletakkan kepada pandangan dan tasawwur Islam itu sendiri. Konsep supermom superdad sebenarnya berasaskan kepada keperluan ibu bapa menjadi qudwah yang terbaik, lantas wajar digelar ibu bapa mithali. Beliau juga menegaskan peri pentingnya menjaga keluarga agar tidak terjerumus ke dalam api neraka sebagaimana yang diberi amaran oleh Allah SWT di dalam surah at-Tahrim.

Ustazah Hjh Samsiah berkongsi pengalaman beliau mendidik anak-anak beliau seramai sembilan orang dan di dalam masa yang sama seorang wanita yang berkerjaya. Beliau menekankan peri pentingnya memberikan masa yang berkualiti terutama bagi ibu yang bekerja di mana masa bercuti dengan anak-anak dimanfaatkan dengan sepenuhnya. Celoteh beliau yang sarat dengan pengalaman berjaya mencuit hati para peserta yang hadir. Beliau juga menceritakan bagaimana perlunya kita berusaha membantu orang lain dengan keikhlasan hati berdasarkan pengalaman beliau selama 30 tahun bekerja di sektor kerajaan sehingga berjaya dilantik sebagai Pengarah Jabatan Agama Negeri yang pertama di kalangan wanita bukan sahaja di Terengganu, malah juga di Malaysia.

Dr Hafidzah pula menekankan betapa pentingnya bapa diletakkkan sebagai figur utama di dalam mendidik anak-anak. Para isteri perlulah pandai meletakkan peranan bapa dan jangan sekali-kali merendah-rendahkan   lelaki bergelar bapa di depan anak-anak mereka. Di sinilah letaknya peranan seorang isteri yang menghormati maruah suaminya khususnya bila berdepan dengan anak-anak. Para ibu bapa juga perlu mempunyai ilmu dan kemahiran semasa di dalam menghadapi suasana pendidikan anak-anak yang cukup mencabar dan berbeza dewasa ini. Beliau juga menampilkan beberapa contoh teladan menerusi sirah ar-Rasul s.a.w. serta tokoh-tokoh ibu yang wajar dijadikan contoh di kalangan wanita hari ini.

Berdasarkan maklum balas peserta, program ini mendapat sambutan yang sangat positif dan ramai yang menyarankan agar program seumpama ini dilanjutkan sehingga sehari penuh kerana banyak perkara yang ingin ditanya oleh para peserta terutama di dalam aspek pendidikan anak-anak ini.

Menurut Pengarah Program Hjh Noor Asyikeen bt Abdul Hamid yang juga Timbalan Ketua Wanita IKRAM Terengganu, program ini berjaya mewujudkan satu jalinan kerjasama yang strategik dengan organisasi wanita lain dan ini mampu menjadi pemangkin kepada 'constructive engagement' yang diusahakan Wanita IKRAM. Beliau juga bersyukur di atas kejayaan penganjuran program ini dan berterima kasih kepada semua yang terlibat di dalam merancang dan melaksana program ini.


Tahniah Wanita IKRAM Terengganu di atas penganjuran seminar yang sangat bermanfaat ini !






Faktor Undi Cina, Pakatan Rakyat & Kemungkinan Senario


Saya terpanggil untuk menulis tajuk ini kerana di dalam usrah mingguan saya di Kemaman minggu lepas, masih ada yang bertanya bagaimanakah tentang kedudukan Melayu dan Islam selepas PRU-13 kelak. Kebetulan ianya juga dibincang di dalam diskusi komuniti maya Bangi Perdana tempat saya tinggal dimana ramai yang membangkitkan kebimbangan mereka tentang kedudukan ini dan saya telah menjawab kebimbangan tersebut kepada mereka. Saya juga memaklumkan kepada ahli usrah yang saya pernah menghantarposting mengenai isu ini sebelum ini, namun elok juga saya bangkitkan kembali agar kita boleh membuka beberapa senario kemungkinan yang boleh berlaku selepas PRU13 kelak.

Berdasarkan keputusan PRU-12 pada Mac 2008, Pakatan Rakyat (PR) memenangi 82 kerusi Parlimen (daripada 222) atau 36.9%daripada keseluruhan Parlimen dan 196 kerusi DUN (daripada 505 tidak termasuk Sarawak). 

Daripada jumlah ini, di peringkat Parlimen, PR diwakili 31+28+23=82 (mengikut urutan PKR, DAP dan PAS) atau 36.9% daripada keseluruhan Parlimen. Daripada 31 kerusi PKR ini, 20 diwakili oleh orang Islam. Ini bermakna jumlah ahli Parlimen muslim di dalam PR ialah 20+23=43 atau mewakili 30.7% 

Manakala di peringkat DUN, PR diwakili 83+73+40=196 (mengikut urutan PAS, DAP dan PKR). Daripada DUN yang dimenangi oleh PKR sebanyak 40 kerusi, 22 kerusi DUN diwakili calon orang Islam. Ini bermakna jumlah calon orang Islam di DUN ialah 83+22=105 atau 53.6% daripada jumlah keseluruhan DUN dimenangi PR. Namun, bila ditinjau mengikut negeri pula, jumlah calon bukan Islam PR merupakan majoriti di negeri Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Daripada perkiraan di ataslah, timbul kebimbangan pengundi khususnya di kalangan orang Melayu bahawa DAP dan calon bukan Islam akan menguasai PR selepas PRU-13 sekiranya PR menang lebih besar berbanding PRU-12. Ini mengambilkira tren pengundi Cina mutakhir ini yang teguh bersama PR di dalam beberapa siri Pilihanraya Kecil dan Pilihanraya Negeri Sarawak sebelum ini.

Semasa PRU12, ada 222 kerusi Parlimen dipertandingkan. Drpd jumlah ini, jumlah ahli Parlimen bumiputera Islam ialah :-

1. UMNO Semenanjung : 66
2. UMNO Sabah : 13
3. Sarawak : 9
Jumlah bawah BN : 88
4. PKR : 20
5. PAS : 23
Jumlah bawah PR : 43
Jumlah keseluruhan ahli Parlimen Islam : 131 (59%)

Secara umumnya, calon PR yang lawan UMNO juga di kalangan org Islam. Oleh itu boleh dikatakan jumlah calon org Islam dalam kategori ini = 131. Boleh juga dikatakan secara umum, calon PR bukan Islam akan lawan calon BN bukan Islam.

2) Ada juga calon PR org Islam yang lawan calon BN bukan Islam dan mereka menang. 
Contohnya : Kuantan (PKR), Kota Raja (PAS), Hulu Selangor (PKR), Bandar Tun Razak (PKR), Telok Kemang (PKR). Ini sudah termasuk dalam jumlah 131 tersebut. 

Namun, ramai juga calon org Islam PR kalah dengan calon bukan Islam BN. 
Ini termasuk kerusi seperti Raub (DAP), Gerik (PAS), Lumut (PKR), Tanjung Malim (PKR), Pandan (PKR), Ayer Hitam (PAS), Simpang Renggam (PAS), Tebrau (PAS), Gelang Patah (PKR) dan Tanjong Piai (DAP) dan kawasan-kawasan Parlimen Sabah seperti di Tuaran, Putatan, Beluran dan Tawau. Begitu juga di kawasan Parlimen Sarawak seperti di Saratok, Mukah dan Lawas.

3) Jadi, boleh secara umumnya kita kata jumlah calon org islam PR dalam PRU12 (termasuk menang dan kalah) ialah sekitar 148 orang.

Ini juga bermakna, kemenangan calon2 islam PR yg bertanding di kawasan tradisi calon BN bukan Islam telah meningkatkan jumlah calon org Islam di Parlimen. 

Satu trend yang menarik ialah pengundi Cina dan India tidak dilihat chauvinistik apabila mengundi calon bukan kaum mereka selagi ianya masih di bawah Pakatan Rakyat. Ini terbukti kepada kemenangan di tempat-tempat yang saya sebut di atas. Ini bermakna, kita perlu mengenengahkan seramai mungkin tokoh calon orang Islam di dalam Pakatan Rakyat khususnya di dalam PKR.

PR memerlukan di atas kertas 30 kerusi Parlimen lagi untuk ke Putrajaya. Mereka perlu menang simple majority 112 kerusiberbanding 222 kerusi yang dipertandingkan. Dimana ianya boleh disasarkan berdasarkan senario mutakhir? Besar kemungkinan kerusi ini perlu didapatkan minima 6 kerusi di Sarawak, minima 6 kerusi di Sabah dan 18 kerusi di Semenanjung. Di Semenanjung, ini boleh berlaku di kerusi-kerusi yang dimenangi MCA (15), MIC (3) dan Gerakan (2) selain kerusi-kerusi UMNO yang menang dengan majoriti tipis (kurang dari 3000 undi)

Pada pengamatan saya, senario yang mungkin berlaku selepas PRU13 :-

1- PAS mampu menyaingi UMNO khususnya di 66 kerusi yang dimenangi UMNO di dalam PRU13 di Semenanjung Malaysia. Adakah strategi Asal Bukan UMNO (ABU) atau PAS Ganti UMNO (PGU) mampu merubah senario ini? Peluang bertukar kerajaan sangat cerah bila senario ini berlaku ditambah sokongan padu pengundi Cina.

2- Hanya DAP dan PKR akan tambah kerusi Parlimen khususnya di kawasan pengundi bercampur. Ini bermakna sekiranya calon PKR tersebut orang Islam, maka jumlah seat orang Islam di Parlimen akan bertambah. Tetapi sekiranya tidak, jumlahnya masih status quo 131 orang seperti PRU12. Tetapi peluang PR untuk ke Putrajaya dengan minima 112 ahli Parlimen semakin cerah. Namun di peringkat negeri, negeri-negeri Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor, PR akan dikuasai majoriti DUN bukan Islam sebagai pembangkang. Tetapi untuk menerajui kerajaan negeri, calon PR Melayu mesti menang.

3- Peratusan orang Melayu beralih daripada PR kepada BN. Ini akan berjaya sekiranya strategi 1Msia BN serta election goodiesserta 'ancaman-ancaman terhadap status orang Melayu & Islam' berjaya. Inilah fokus BN/UMNO hari ini termasuk propaganda yang bakal kita hadapi di hari-hari mendatang. BN bakal menang lebih besar dan mendapat kembali dua pertiga di Parlimen.

Sebab itu UMNO segera untuk atasi masalah dalaman mereka yang berpecah dan elak ada kem dan sabotaj. Mereka sangat-sangat risau sekiranya senario 1 berlaku terutamanya sekiranya pengundi baru/muda Melayu lebih 60% undi PR.

Untuk PAS menambat hati pengundi muda/baru, mereka mesti tampilkan calon-calon yang berkredibiliti dan dilihat lebih kompeten dan profesional kerana faktor calon sangat penting kepada pengundi muda/baru.

Sekiranya kedudukan orang Melayu tergugat selepas PRU13, kemungkinan isu kerajaan perpaduan akan timbul dan kali ini boleh jadi satu realiti.

Wallahu a'lam.

10 NGO Islam & 2 Agensi Kerajaan Bertemu di Majlis Hi-Tea Masyarakat Madani IKRAM Terengganu

Alhamdulillah majlis hi-tea masyarakat madani IKRAM Terengganu telah berjaya diadakan pada hari Ahad 21 Oktober 2012 bersamaan 5 Zulhijjah 1433 di Terengganu Equestrian Resort (TER) dekat Kuala Ibai, Kuala Terengganu. Program yang bermula jam 5.30 petang ini bertujuan untuk mengumpul NGO-NGO Islam utama bersama agensi-agensi Islam di negeri Terengganu dan telah berjaya mengumpul sejumlah 10 NGO dan 2 agensi kerajaan ke majlis ini. Dua agensi yang hadir ialah JHEAT dan PAD diwakili sendiri Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) yang baru dilantik iaitu Ustazah Hjh Samsiah bt Dato' Awang dan Pegawai Agama Daerah Kuala Terengganu Ustaz Hj Ariffin serta kakitangan mereka. Manakala 9 NGO selain tuan rumah IKRAM yang hadir ialah :-

1. Pertubuhan HALUAN Cawangan Terengganu
2. Persatuan Ulama' Malaysia (PUM) Cawangan Terengganu
3. Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) Cawangan Terengganu
4. Persatuan Darul Fitrah Malaysia Cawangan Terengganu
5. Persatuan India Muslim Terengganu
6. Persatuan Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) Cawangan Terengganu
7. Pertubuhan Bekas Pemimpin Kanan Pelajar Terengganu (PEMIKIR)
8. Majlis Pemuafakatan Rakyat Terengganu (MAMPAT)
9. ABIM Terengganu


Di dalam ucapan aluan Yang DiPertua IKRAM Terengganu, Ustaz Mohd Lokman bin Dato' Awang, beliau merakamkan ucapan terima kasih di atas kesudian semua pimpinan utama  NGO Islam di negeri ini hadir ke majlis ini. Di samping itu beliau mengajak agar semua NGO Islam untuk menjalin kerjasama yang lebih erat lagi di dalam menggerakkan usaha-usaha dakwah dan amar makruf nahi mungkar di negeri ini. Beliau percaya menerusi jalinan ukhuwwah dan kerjasama yang padu di antara penggerak-penggerakn dakwah di negeri ini mampu mencipta banyak kejayaan di dalam misi bersama untuk mendaulatkan syariat di negara ini.


Pengarah JHEAT, Ustazah Samsiah, di dalam ucapan khas beliau sempena majlis ini merakamkan ucapan penghargaan beliau kepada IKRAM kerana berjaya mengumpul NGO-NGO Islam di negeri ini. Beliau yang turut gembira dengan program IKRAM Terengganu yang pertama kali beliau sertai selaku panelis forum pada hari sebelumnya di Kerteh, yakin bahawa dengan usaha-usaha sebegini akan membantu usaha jabatan beliau di dalam memartabatkan Islam di negeri Terengganu khususnya. Beliau juga bersedia memberikan bantuan dan sokongan kepada usaha-usaha dakwah dan kebajikan yang dilakukan oleh NGO-NGO Islam di negeri ini.


Para hadirin juga dihidangkan dengan montaj IKRAM Terengganu sambil menjamu selera dan berkenal-kenalan sesama yang hadir sebelum Setiausaha IKRAM Negeri, Hj Zulkifli Ali menyampaikan penerangan tentang misi dan aktiviti IKRAM Terengganu. Beliau menyebut antara fokus utama IKRAM Negeri ialah membangun dan membina institusi pendidikan Islam swasta di negeri ini menerusi rangkaian pendidikan sekolah Al-Amin yang setakat ini sudah ada 1 buah sekolah menengah dan 4 buah sekolah rendah. Beliau juga memaklumkan bahawa IKRAM Terengganu bakal membangun dua buah sekolah lagi di dalam masa yang terdekat iaitu sebuah sekolah rendah di Besut dan sebuah sekolah menengah di Dungun. IKRAM Terengganu juga giat di dalam program pentarbiahan ahli, pembangunan wanita, khidmat masyarakat dan juga mengorak langkah di dalam bidang dakwah kepada yang belum Islam.


Sesi memperkenalkan organisasi masing-masing juga menjadi salah satu aturcara penting di dalam program ini. Organisasi pertama ialah HALUAN Terengganu yang diwakili YDP Negeri Cikgu Hj Ishak bin Yusuf. Beliau memaklumkan antara kegiatan utama Haluan Terengganu ialah pentarbiahan ahli dan membangun institusi pendidikan di Kg Laut, Kuala Terengganu.


Organisasi kedua ialah PEMIKIR diwakili oleh Penasihat PEMIKIR akh Mat Azizur dan Presiden PEMIKIR Abdul Rahim Daub. PEMIKIR adalah badan NGO yang diasaskan sejak 2009 menerusi bantuan aktivis IKRAM Terengganu dan telah mendapatkan kelulusan penubuhan oleh ROS sejak 2012. Mereka mengumpulkan ahli-ahli di kalangan bekas pemimpin kanan pelajar sekolah-sekolah seluruh Terengganu dan mulai 2009, sudah 4 kumpulan lepasan pimpinan pelajar telah dikumpul. PEMIKIR juga memberikan fokus kepada pembangunan pelajar sekolah-sekolah menengah seluruh Terengganu. Dalam usia pertubuhan yang masih muda ini, pimpinan PEMIKIR sehingga kini baru berusia 19-22 tahun dan masih ramai yang belajar di institusi pengajian tinggi seluruh negara. Mereka juga giat membantu KBM Smart Consultant yang digerakkan oleh aktivis IKRAM Terengganu sebagai pengendali dan fasilitator.


Organisasi ketiga ialah Persatuan Ulama' Malaysia (PUM) Cawangan Terengganu. Ianya diwakili oleh YDP Ustaz Hj Mohamad. Beliau juga adalah YDP WADAH Cawangan Terengganu dan juga ahli IKRAM Terengganu. Menurut beliau antara aktiviti PUM di Kuala Terengganu ialah program-program pembentangan kitab-kitab turas di masjid-masjid sekitar Kuala Terengganu.


Organisasi yang keempat ialah Pertubuhan Wadah Pencerdasan Umat (WADAH). Menurut TYDP Hj Md Harun, WADAH adalah pertubuhan yang dianggotai oleh lepasan aktivis dan pimpinan ABIM yang sudah melepasi umur 40 tahun. Ini kerana ABIM sebagai sebuah organisasi yang didaftarkan di bawah ROY menghadkan umur maksima ahli 40 tahun. Antara aktiviti utama mereka ialah usrah mingguan dan mengendalikan sebuah bangunan yang dimiliki mereka di Tok Jiring, Kuala Terengganu. Mereka juga memaklumkan Presiden WADAH Pusat terkini ialah mantan Presiden ABIM ketiga, Dato' Dr Siddiq Fadhil. WADAH diwakili 4 empat orang termasuk Dr Abdul Jalil yang pernah bekerja di tempat yang sama dengan Hj Ahmad Sabri Yazid, TYDP IKRAM Kuala Terengganu.


Organisasi kelima ialah Persatuan Darul Fitrah Malaysia Cawangan Terengganu yang diwakili Pengerusi Datin Norhana bt Abdullah. Pertubuhan ini yang mempunyai pejabat sendiri dan empat orang kakitangan sepenuh masa menumpukan usaha dakwah kepada yang belum Islam samada di negeri ini mahupun di luar negara. Mereka juga giat mengadakan kelas-kelas pengajian untuk saudara-saudara baru di negeri ini. Menurut Datin Norhana, beliau juga telah memulakan komunikasi dengan Pengerusi Hidayah Centre IKRAM Pusat sebelum ini bagi tujuan kerjasama. Pengerusi Jawatankuasa Dakwah IKRAM Terengganu, Hj Radin Badiuzzaman sempat bertukar-tukar pandangan dengan beliau.


Organisasi keenam ialah ABIM Cawangan Terengganu yang diwakili YDP Hj Zukiferee bin Ibrahim. Beliau yang bekerja di Universiti Malaysia Terengganu menyatakan ABIM bergiat cergas bersama WADAH dan menumpukan perhatian antara lain aktiviti-aktiviti wacana keilmuan yang dianjurkan dari masa ke semasa.


Organisasi ketujuh ialah Majlis Pemuafakatan Rakyat Terengganu (MAMPAT) yang diwakili YDP Hj Mohd  Fauzi bin Abu Samah. MAMPAT merupakan organisasi gabungan beberapa buah NGO di Terengganu sejak 2008 yang memberikan fokus kepada isu-isu masyarakat madani dan politik di negeri ini. Bermula dengan perjuangan mendesak kerajaan tentang kenaikan harga barang-barang hinggalah ke isu hak royalti minyak negeri Terengganu.

Organisasi yang kelapan ialah Persatuan Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) Cawangan Terengganu. PAPISMA diwakili TYDP Dr Wan Mohd Razin yang bekerja di Hospital Besar Tuanku Intan Zaharah Kuala Terengganu. Menurut beliau PAPISMA memberikan fokus keahlian kepada pengamal perubatan dan aktiviti-aktiviti khidmat kesihatan kepada masyarakat. Mereka mempunyai ramai ahli-ahli di kalangan doktor-doktor muda juga.

Organisasi kesembilan ialah Persatuan India Muslim Terengganu yang diwakili Pengerusinya sendiri Saudara Salahudin serta dua orang pimpinan persatuan. Mereka memaklumkan bahawa tumpuan mereka ialah kepada pembangunan dan hal ehwal masyarakat India Muslim di negeri ini termasuk tuntutan mendapatkan hak tanah di negeri ini. Mereka gembira sekali dapat bertemu dengan semua pimpinan NGO di Terengganu di majlis ini.


Perkongsian terakhir ialah daripada Pegawai Agama Daerah Kuala Terengganu, Ustaz Hj Arifin. Beliau menyatakan bahawa Jabatan memberikan fokus aktiviti kepada apa yang digariskan oleh kerajaan kepada jabatan. Di samping itu beliau menyeru agar kerjasama NGO ini akan dapat membantu meningkatkan usaha-usaha dakwah dan kebajikan yang dilaksanakan oleh pihak jabatan.


Wanita IKRAM Terengganu dibawah Ketua Wanita Ustazah Khadijah Dibok dan beberapa ahli jawatankuasa turut meraikan kehadiran tetamu pimpinan NGO Wanita yang hadir termasuk daripada Haluan, WADAH dan Darul Fitrah selain Pengarah JHEAT sendiri.

Majlis ini juga bersetuju untuk mewujudkan satu kumpulan komunikasi maya e-group bagi memberi peluang kepada setiap organisasi berkongsi program dan kegiatan masing-masing selepas ini. Di samping itu, majlis ini juga bersetuju agar pertemuan kedua di kalangan pimpinan NGO Islam diadakan dengan kerjasama pihak JHEAT selepas ini.


Sebenarnya Pesuruhjaya JHEAT sendiri iaitu Dato' Hj Mohd Rozali bin Saleh juga ingin hadir ke majlis ini tetapi terpaksa berkirim salam kepada semua yang hadir menerusi YDP IKRAM Negeri atas sebab yang tidak dapat dielakkan. Begitu juga dengan Pengarah YADIM Pantai Timur Ustaz Mahadi Awang yang terpaksa hadir urusan keluarga di Kelantan dan meminta agar resolusi majlis dikongsi bersama dengan beliau.

Pertemuan bersejarah ini diakhiri dengan solat maghrib berjamaah yang diimamkan oleh Ustaz Hj Arifin, Pegawai Agama Daerah Kuala Terengganu dan solat hajat diimamkan oleh Ustaz Dr Zawawi Ali, YDP IKRAM Kuala Terengganu. Pimpinan IKRAM Negeri dan Daerah Kuala Terengganu sempat bergambar dengan beberapa NGO yang masih tinggal selepas solat hajat iaitu Haluan, Darul Fitrah dan PEMIKIR. Semoga program ini membuahkan satu gabungan NGO Islam yang kuat di negeri ini selepas ini inshaAllah.


Wednesday, October 17, 2012

Peratusan Keluar Mengundi Di Terengganu


Ini adalah peratusan keluar mengundi semasa pilihanraya umum sejak 1990 hingga 2008 di negeri Terengganu khususnya di Parlimen P.40 Kemaman. Banyak yang boleh dianalisis daripada gambarajah ini.







Tuesday, October 16, 2012

Jemputan Ke MMIT 21 Okt 2012





Saturday, October 13, 2012

Santai Di U-Bowl Mesra Mall

Alhamdulillah semalam sempat test power riadah bowling selepas selesai sesi hari pertama kajian lapangan P.40 Kemaman di Mesra Mall. Bersama dua orang lagi petugas muda yang juga pengundi baru dan muda (kedua-duanya berusia 21 tahun) iaitu akh Mat Azizur (PEMIKIR) dan akh Mohd Mustaqim (STS).



Keputusan perlawanan pun ada tertera di bawah. Memang agaknya P.40 Kemaman ni milik PKR agaknya...



Banyak yang dipelajari dan didapati oleh kami sehari suntuk semalam alhamdulillah. Dan ini juga kali pertama kedua-dua anak muda ini bermain bowling. Gaya permainan mereka boleh tahan juga walaupun masih rookie.


Hari ini masuk hari kedua kajian lapangan. Harapnya ramai petugas yang hadir inshaAllah.

Jemputan Ke Hi-Tea Masyarakat Madani Terengganu

InshaAllah Jawatankuasa Masyarakat Madani IKRAM Terengganu akan menganjurkan satu majlis Hi-Tea atau minum petang bersama semua agensi dan NGO Islam utama di Negeri Terengganu pada 21 Oktober 2012  (Ahad) jam 5.00 petang. Lokasi majlis ialah di Hotel Terengganu Equestrian Resort (TER) dekat Kuala Ibai di Kuala Terengganu.

Majlis ini bertujuan untuk beramah mesra sesama pimpinan organisasi Islam disamping bertukar-tukar fikiran di dalam menjayakan program-program dakwah, tarbiah, kebajikan serta isu-isu masyarakat madani di negeri ini. Antara yang dijemput ialah MAIDAM, JHEAT, YADIM, ABIM, HALUAN, PUM, WADAH, MAMPAT, PAPISMA, Persatuan Saudara Baru Negeri Terengganu, Islamic Relief Malaysia Pantai Timur, Aqsa Syarif Berhad selain pimpinan IKRAM Negeri, IKRAM Kuala Terengganu dan Wanita IKRAM sendiri.



Moga program ini berjalan lancar dan diberkati Allah SWT. Sama-sama doakan.

Friday, October 12, 2012

Kajian Lapangan Parlimen Kemaman

Hari ini kami akan menjayakan satu kajian lapangan Parlimen Kemaman untuk mengetahui kecenderungan pengundi di kawasan mengundi ini menjelang PRU13. Taklimat kajian secara professional ini dikendalikan oleh Hj Abas Sahat.



Moga data yang didapati daripada responden membantu kajian ini khususnya profil pengundian menjelang PRU13 kelak.

Tuesday, October 09, 2012

Sukan IKRAM Negeri Terengganu 2012

Alhamdulillah IKRAM Negeri Terengganu telah berjaya mengadakan Sukan IKRAM Negeri 2012 untuk lelaki pada 6 Oktober 2012 di Kompleks Sukan UiTM Dungun. Sebelum ini telah diadakan sukan untuk Wanita IKRAM Terengganu juga di venue yang sama. Kali ini sebanyak empat kontingen mewakili empat daerah IKRAM - Kemaman, Dungun, Kuala Terengganu dan Besut - telah menyertai acara sukan tahunan IKRAM ini. Lima jenis sukan dipertandingkan iaitu bolasepak, bolatampar, badminton, ping pong dan sepak raga bulatan. Pada tahun ini ianya melibat sekitar 100 orang peserta dan dirasmikan oleh TYDP IKRAM Negeri, Hj Nawawi Yusof.

Hj Nawawi sedang menyampaikan ucapan perasmian Sukan IKRAM 2012

Menurut Pengarah Sukan IKRAM 2012 Ir Hj Mohammad Sahide Ibrahim di dalam ucapan pembukaannya meraikan semua kontingen, beliau berharap agar aktiviti tahunan sukan ini mampu memupuk semangat kesukanan yang tinggi disamping mengeratkan ukhuwwah di kalangan ahli IKRAM. Di samping itu ianya juga sebagai wadah untuk setiap daerah berusaha menggiatkan kegiatan sukan di tempat masing-masing agar kesihatan dan kecergasan kita sentiasa terjaga.

Antara peserta Sukan IKRAM 2012 yang hadir di majlis pembukaan

Di dalam ucapan perasmian pula, Hj Nawawi menekankan peri pentingnya sukan sebagai salah satu wasilah tarbiah IKRAM bagi memastikan ahli-ahli yang sihat dan cergas tubuh badan. Ini bertepatan dengan salah satu daripada 10 muwassafat keperibadian muslim yang digariskan oleh asy-Syahid Imam Hasan al-Banna rh iaitu qawwiy al-jismi atau kuat tubuh badan. Tubuh badan yang cergas dan kuat diperlukan di dalam menggerakkan aktiviti-aktiviti dakwah dan khidmat masyarakat IKRAM. Beliau juga menyeru agar penglibatan di dalam sukan ini dapat mengeratkan tali silaturrahim sesama ahli. Beliau juga gembira dengan penyertaan semua daerah kali ini termasuk kontingen paling bergaya iaitu IKRAM Besut yang datang lengkap dengan mascotnya tersendiri. Ini menunjukkan aktiviti sukan mampu dijadikan wadah mengumpul bakal ahli-ahli baru terutama di kalangan belia remaja.

Kontingen paling bergaya diketuai oleh Ir Hj Abdul Aziz Abdullah, bekas Pengarah SATU Daerah Dungun, bersama delegasi

Tahun ini IKRAM Besut hantar pasukan yang full dan dipenuhi anak-anak muda dari Institut Perguruan Besut - bakal guru la kira ni - mereka johan bolasepak dan bolatampar serta naib johan sepak raga bulatan. Manakala pencabar terdekat IKRAM Kemaman johan pingpong dan badminton serta naib johan bolatampar. IKRAM Dungun pula johan sepak raga bulatan dan naib johan bolasepak. IKRAM Kuala Terengganu yang pada sukan yang sama tahun lepas sebagai juara kali ini tidak menang satu acara pun. Johan keseluruhan buat pertama kalinya disandang oleh IKRAM Besut.

Pasukan bolasepak IKRAM Kemaman yang digeruni lawan. Gandingan veteran dan orang muda. 
Berbaju putih ialah Pengarah Sukan IKRAM 2012 Ir Sahide Ibrahim (pengadil perlawanan)

Bergambar sebelum perlawanan bolasepak di antara IKRAM Kemaman dan IKRAM Dungun. 
Walaupun Dungun diwakili ramai pemain import, tetapi Kemaman masih mampu menang dengan 1-0.

Johan keseluruhan - IKRAM Besut - daerah IKRAM paling muda ! Naib Johan Kemaman

Para peserta dan urusetia Sukan IKRAM 2012 bergambar beramai-ramai sempena majlis penutup. 

Semoga bertemu lagi di tahun hadapan. Mungkin di Besut pula!

Jangan lupa, kita giatkan aktiviti riadah di kalangan kita setiap minggu selain amalan peribadi setiap hari.




Monday, October 01, 2012

History Repeats Itself - Dr Tareq al-Suwaidan


Alhamdulillah baru sahaja selesai mendengar satu pembentangan oleh seorang ulama' terkenal, Shaikh Dr Tariq Suwaidan dari Kuwait tentang satu topik yang sangat penting tentang sejarah jatuh bangun tamadun dan umat. Boleh rujuk dalam ceramah beliau yang disampaikan di Sydney, Australia anjuran FAMSY dll :


Beliau berkongsi kajian sejarah yang beliau lakukan (beliau berlatar belakang PhD in Petroleum Engineering) tentang kebangkitan umat Islam dipimpin Rasulullah s.a.w. lebih 1400 tahun yang lalu ketika berdepan dengan dua buah tamadun manusia yang merupakan 'superpower' ketika itu iaitu empayar Rom di sebelah barat dan empayar Parsi di sebelah timur dunia. Pertembungan dua buah tamadun ini turut dirakam di dalam al-Quran menerusi permulaan surah ar-Rum (ayat 2-4) ketika di fatrah/fasa Makkiyah lagi. Setelah Nabi s.a.w. dan para sahabat r.a. berjaya membina negara di Madinah sebagai fasa awal pembinaan tamadun selepas peristiwa hijrah, walaupun dengan bilangan ketenteraan yang jauh lebih kecil, mampu berdepan dengan tentera 'Arab musyrikin yang lebih besar, malah berjaya menggugat kerajaan Rom menerusi peristiwa Perang Tabuk pada tahun ke-9/10 hijriyyah. Kerajaan Parsi mula jatuh menerusi Perang Qadisiyyah dipimpin Saad bin Abi Waqqas pada tahun ke-12/13 hijriyyah dan kerajaan Rom mula jatuh menerusi Perang Yarmuk yang dipimpin Khalid al-Walid r.a. pada  tahun ke-14 hijriyyah. Kuantiti tentera umat Islam jauh lebih kecil, namun ianya cukup untuk menggerunkan musuh-musuh Islam dan membuka wilayah baru umat Islam menerusi usaha jihad yang gigih dan berterusan.

Sejarah itu berulang. History repeats itself. Penting untuk kita memahami sejarah kerana ianya memandu kita memahami hari ini dan masa depan. Beliau mengatakan tamadun bukan Islam ini bangkit selama beribu tahun tetapi jatuh dengan cepat bila berdepan dengan kebangkitan Islam sejak zaman kenabian Rasulullah s.a.w. 

Rahsia kebangkitan umat ialah apabila mereka menghayati al-Quran kerana itu sahaja mukjizat Rasulullah s.a.w. yang masih kekal dan dipelihara oleh Allah SWT. Dan kerja utama umat yang menuju kebangkitan ialah usaha-usaha dakwah dan jihad yang berterusan. Apabila umat meninggalkan dakwah dan jihad serta disibukkan dengan duniawi, maka tunggulah saat kejatuhan. Peranan ulama' dan pendakwah yang memimpin gerakan kebangkitan umatlah yang menjadi peneraju kebangkitan ini. Dan fokus utama perubahan ini ialah apabila para generasi mudanya ditarbiah dengan suluhan rabbani. Bila pemuda bangkit, itu petanda baik untuk kita.

Trend-trend kehidupan pemimpin umat Islam dan keadaan masyarakat umat Islam di persada sejarah umat juga berulang.

Palestin yang mula dibuka di zaman Umar al-Khattab r.a. kembali jatuh ke tangan tentera Salib bila kepimpinan umat Islam dilekakan dengan kemewahan dunia dan tidak lagi menerajui jihad. Namun, hasil usaha gigih para ulama' antaranya Imam Abu Hamid al-Ghazali r.h. telah berjaya mentarbiah umat, menghidupkan agama dan melahirkan kembali generasi kepimpinan umat Islam yang bangkit meneruskan usaha jihad. Tentera Salib (yang digerakkan oleh kerajaan kristian Rom di bawah Raja England, Raja France dan Raja German) hanya mampu bertahan di Palestin selama 99 tahun sebelum dibuka semula oleh Salahuddin al-Ayyubi r.h. Hanya selepas kelalaian pemimpin & umat Islam serta perancangan rapi musuh-musuh Islam, Palestin kini  berada di tangan Yahudi Zionis.

Mengakhiri ceramah beliau selama 2 jam tersebut, beliau mengingatkan kita tentang peringatan Ar-Rasul s.a.w. di dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad pernah menyebut bahawa umat Islam akan menerusi lima fasa bermula dengan era nubuwwah, khilafah ar-rasyidah, khilafah beraja dan kerajaan umat Islam dipimpin tentera (mulkan jabriyyan). Akhirnya akan kembali semula era khilafah sebagaimana sebelumnya. 

Inilah suasana kita hari ini. Kerajaan rejim tentera di negara umat Islam jatuh satu persatu. Di nusantara iaitu di Indonesia (1998) dan di negara-negara Arab (fenomena Arab Spring 2011) dan terkini di Syria (moga Allah SWT terus berikan kekuatan kepada mujahiddin kita di sana, dan kita terus berusaha hulurkan bantuan). Sehubungan dengan itu, kita perlu terus aktif melibatkan diri dalam menggerakkan 'amal Islami - membina generasi dan masyarakat, membina institusi (termasuk pendidikan, ekonomi, sosial dll) dan memimpin negara - ke arah sebuah harapan baru buat ummah dan kemanusiaan sejagat menegakkan kembali tamadun Islam yang berlandaskan syariat. Berdiam diri atau berpeluk tubuh apalagi terus lalai dengan keduniaan adalah sia-sia. Kita rapatkan ukhuwwah, bina segala usaha menggerakkan perubahan.

Di negara kita, usaha untuk memastikan proses demokrasi yang sihat, kebebasan rakyat dan sistem keadilan antara agenda utama kita yang perlu kita gerakkan menerusi penggemblingan masyarakat madani sebagaimana disebut oleh Presiden IKRAM semasa 3MIT pada 21 September 2012 yang lalu di SRIAA Kerteh. Agar rakyat celik hak dan tanggungjawab. Pilihanraya yang bersih dan adil, kebebasan bersuara dan berhimpun, membenteras rasuah dan ketirisan sumber, keadilan pengagihan ekonomi dan memastikan sistem perundangan yang berintegriti adalah antara iklim sosio-politik yang perlu kita wujudkan di negara ini selain kerja-kerja asasi kita mendidik umat.

Moga kita semua berada di arus perdana perubahan yang diredhai Allah SWT. Moga Allah SWT berikan petunjuk dan ampuni dosa-dosa kita.


FAZ
Bangi Perdana

nota : Dr Tariq Suwaidan akan sampaikan satu ceramah di Masjid UPM Serdang pada hari Sabtu ini 29 September 2012 jam 11.00 pagi - 1.00 tengahari. Moga ini perjumpaan ana yang kedua dengan beliau inshaAllah. Perjumpaan pertama ialah ketika beliau bersama pemimpin-pemimpin pemuda di Kuwait yang datang membuat lawatan rasmi ke Malaysia, antara lain bertemu dengan pimpinan KARISMA pada sekitar tahun 2003 dahulu di KL. Masa belajar di England dulu, sempat jumpa 'anak-anak murid' beliau di kalangan pimpinan MISG US/Canada sahaja..

Pages