Thursday, October 25, 2012

Mampukah PR Menggugat di Pahang ?

Pahang adalah sebuah negeri yang boleh dianggap kubu kuat BN selepas Johor selama ini. Sebab itulah agaknya sudah ada dua Perdana Menteri daripada negeri ini sejak merdeka.

Terkini di Pahang ada 14 kerusi Parlimen dan 42 kerusi DUN di negeri ini. Untuk menang dengan majoriti mudah memerlukan 22 kerusi DUN.

Pada PRU12 Mac 2008, BN menang 12 kerusi Parlimen dan 37 kerusi DUN. PR menang menerusi PKR di Parlimen P.82 Indera Mahkota (maj.1027) dan P.83 Kuantan (maj.1826). Manakala di DUN pula, PR menang di N.7 Tras (DAP,Bentong, maj. 2451), N.38 Teriang (DAP, Bera, maj. 2469), N.12 Beserah (PAS, Indera Mahkota, maj. 1541) dan N.32 Kuala Semantan (PAS, Temerloh, maj.932). Manakala calon Bebas menang di N.1 Tanah Rata setelah berlaku pertembungan sengit 3 penjuru antara BN, DAP dan Bebas.

Dimanakan PR boleh mendapatkan kerusi tambahan untuk menang majoriti mudah pada PRU-13 ini kelak di peringkat DUN? Sudah pasti tumpuan perlu diberikan kepada kawasan-kawasan marginal. Pertama ialah 7 kawasan yang BN menang kurang dari 1000 undi. Ini termasuklah N.10 Damak (Jerantut, maj.509, pertembungan 3 penjuru BN-PKR-Bebas), N.14 Teruntum (Kuantan, maj. 293, DAP), N.15 Tanjung Lumpur (Kuantan, maj. 496, PAS), N.16 Inderapura (Kuantan, maj. 873, PAS), N.29 Jengka (Kuala Krau, maj. 596, PAS), N.34 Ketari (Bentong, maj.882, DAP) dan N.35 Sabai (Bentong, maj.145, DAP).

Ini bermakna di atas kertas, PR perlu 10 kerusi lagi untuk menang majoriti mudah. Dimana lagi kawasan-kawasan yang berpotensi ini?

Kawasan berpotensi untuk PR selanjutnya ialah 8 kawasan yang BN menang dengan majoriti kurang dari 1500 undi iaitu di N.3 Padang Tengku (Lipis, maj.1188, PAS), N.4 Cheka (Lipis, maj. 1280, PKR), N.5 Benta (Lipis, maj.1358, PKR), N.9 Tahan (Jerantut, maj.1357, PAS), N.19 Panching (Paya Besar, maj.1444, PAS), N.24 Luit (Maran, maj.1068, PAS), N.27 Jenderak (Kuala Krau, maj.1374, PKR), N.28 Kerdau (Kuala Krau, maj.1615, PAS) dan N.33 Bilut (Bentong, maj.1108, DAP). Manakala ada 3 lagi kawasan pengundi Cina yang signifikan iaitu N.13 Semambu (Indera Mahkota, maj.2136, PKR), N.30 Mentakab (Temerloh, maj.2439, DAP) dan N.31 Lanchang (Temerloh, maj.2139, PAS).

Pada pengamatan saya, terdapat sensitiviti untuk mengundi calon di kalangan kaum sendiri berlaku di beberapa kawasan di atas bila berlaku pertembungan calon antara dua kaum berbeza. Begitu juga pengundi Melayu agak belum bersedia untuk mengundi calon DAP pada PRU sebelum ini. Adakah stigma ini boleh berubah pada PRU13? Baru-baru ini salah seorang orang kuat DS Najib di Pekan telah menyertai DAP. Beliau ialah Dato' Ariff Sabri bin Abd Aziz yang merupakan ADUN Pulau Manis yang menang pada PRU-11 pada tahun 2004 tetapi tidak dicalonkan semula semasa PRU-12 tahun 2008. Adakah ini petanda bahawa orang Melayu Pahang boleh menerima calon DAP selepas ini?

Di dalam masa yang sama, sekiranya berlaku anjakan peralihan undi yang besar daripada MCA kepada DAP (atau UMNO kepada PR) pada PRU-13 kelak, beberapa Parlimen di Pahang dijangka sengit atau tumbang kepada PR ialah Parlimen P.78 Cameron Highlands, P.80 Raub, P.81 Jerantut, P.88 Temerloh dan P.89 Bentong. Ini akan menyumbang kepada penambahan kerusi Parlimen daripada Pahang untuk PR ke Putrajaya. Pengundi Felda sekali lagi menjadi pertaruhan BN yang selamat tetapi ini mungkin tidak berlaku kepada generasi kedua yang bilangan mereka dua ke tiga kali ganda lebih ramai daripada generasi pertama Felda. Seperkara lagi, faktor calon sekali lagi penting buat golongan pengundi muda dan baru. Tersilap letak calon boleh membahayakan kedudukan mana-mana parti.

Aspek lain yang perlu dilihat ialah komposisi parti dalam PR sekiranya mereka menang majoriti mudah. Namun peluang terbaik yang mungkin berlaku ialah samada DAP akan jadi pembangkang yang kuat di DUN Pahang selepas PRU-13 atau DAP dan PAS berkongsi kuasa di dalam barisan PR Pahang.


0 comments:

Pages