Thursday, October 25, 2012

Bagaimana Kedudukan Terengganu Untuk PRU13?

Terengganu adalah antara negeri yang pernah diperintah oleh PAS sebanyak dua kali iaitu pada PRU-1 selepas merdeka tahun 1959 dan PRU-10 tahun 1999. Negeri ini didominasi pengundi Melayu sekitar 95% ke atas. Sebarang isu yang boleh memberikan impak besar kepada orang Melayu akan mempengaruhi kecenderungan keputusan pilihanraya umum sebelum ini. Swing paling besar ialah pada PRU-10 1999 dimana PAS menang besar dengan menyapu bersih semua 8 Parlimen dan 28 DUN (hanya kalah di Seberang Takir, Ajil, Telemung dan Kemasek) tetapi kalah teruk pada pusingan berikutnya pada PRU-11 2004 dengan kehilangan semua Parlimen dan tinggal 4 DUN tradisi PAS (Wakaf Mempelam, Batu Buruk, Ru Rendang dan Manir).

Terkini Terengganu mempunyai 8 kerusi Parlimen dan 32 kerusi DUN. Pada PRU-12 Mac 2008, BN menang di 7 kerusi Parlimen dan PAS 1 iaitu di P.37 Marang. Tetapi pada Pilihanraya Kecil pada Januari 2009, PAS menambah satu lagi kerusi Parlimen selepas menang di P.36 Kuala Terengganu. Bagi kerusi DUN pula, BN menang 24 kerusi dan PAS 8 kerusi.

Bagi PR, agihan kerusi mengikut parti ialah di peringkat Parlimen PAS 6 kerusi dan PKR 2 kerusi (iaitu di P.39 Dungun dan P.40 Kemaman). Manakala agihan kerusi di DUN pula ialah PAS 27 dan PKR 5 kerusi (iaitu di N.2 Kota Putera (Parlimen Besut), N.6 Permaisuri (Parlimen Setiu), N.11 Seberang Takir (Parlimen Kuala Nerus), N.14 Bandar (Parlimen Kuala Terengganu) dan N.21 Telemung (Parlimen Hulu Terengganu).

Bagi 8 DUN yang dimenangi PR di bawah PAS ialah di N.12 Bukit Tunggal (maj.336), N.13 Wakaf Mempelam (maj.2193), N.15 Ladang (maj.31), N.16 Batu Buruk (maj.1161), N.18 Bukit Payung (maj.115), N.19 Ru Rendang (maj.2686), N.22 Manir (maj.432) dan N.27 Sura (maj.1000).

Terdapat 8 DUN yang PAS kalah dengan majoriti kurang dari 1000 undi iaitu di N.5 Jabi (maj.804), N.9 Tepuh (maj.430), N.10 Teluk Pasu (maj.462), N.17 Alur Limbat (maj.799), N.20 Pengkalan Berangan (maj.930), N.26 Rantau Abang (maj.790), N.28 Paka (maj.344) dan N.31 Cukai (maj.769).

Inilah 16 kerusi DUN yang mesti dimenangi oleh PR dalam PRU13. Namun, untuk menang dan memerintah negeri dengan simple majority, PR memerlukan sekurang-kurangnya 17 kerusi DUN. Ini boleh didapati sekiranya N.14 Bandar (maj.1142, pengundi Cina 38%) dimenangi oleh PR. Kerusi-kerusi lain yang berpotensi ialah N.8 Batu Rakit (maj.1486) dan N.23 Kuala Berang (maj.1592).

Bagi kerusi Parlimen pula, antara kerusi yang berpotensi untuk PR menambah kerusi ialah P.35 Kuala Nerus (maj.1341) dan P.39 Dungun (maj.4994).

Antara yang faktor yang memenangkan BN-UMNO ialah pengundi kawasan Felda, Felcra dan Ketengah. Ini amat ketara di Besut, Setiu, Hulu Terengganu dan Kemaman. Namun ini boleh berubah sekiranya generasi kedua felda beralih angin. Faktor pengundi baru atau muda pula sangat kritikal di negeri ini di dalam memenangkan mana-mana parti. Pengundi berusia 30 tahun ke bawah mewakili sekitar 28% daripada keseluruhan pengundi berjumlah lebih 600 ribu di negeri ini iaitu yang tertinggi di Malaysia. Manakala peratus keluar mengundi ialah 85%, juga yang tertinggi di negara kita.


0 comments:

Pages