Monday, October 22, 2012

Faktor Undi Cina, Pakatan Rakyat & Kemungkinan Senario


Saya terpanggil untuk menulis tajuk ini kerana di dalam usrah mingguan saya di Kemaman minggu lepas, masih ada yang bertanya bagaimanakah tentang kedudukan Melayu dan Islam selepas PRU-13 kelak. Kebetulan ianya juga dibincang di dalam diskusi komuniti maya Bangi Perdana tempat saya tinggal dimana ramai yang membangkitkan kebimbangan mereka tentang kedudukan ini dan saya telah menjawab kebimbangan tersebut kepada mereka. Saya juga memaklumkan kepada ahli usrah yang saya pernah menghantarposting mengenai isu ini sebelum ini, namun elok juga saya bangkitkan kembali agar kita boleh membuka beberapa senario kemungkinan yang boleh berlaku selepas PRU13 kelak.

Berdasarkan keputusan PRU-12 pada Mac 2008, Pakatan Rakyat (PR) memenangi 82 kerusi Parlimen (daripada 222) atau 36.9%daripada keseluruhan Parlimen dan 196 kerusi DUN (daripada 505 tidak termasuk Sarawak). 

Daripada jumlah ini, di peringkat Parlimen, PR diwakili 31+28+23=82 (mengikut urutan PKR, DAP dan PAS) atau 36.9% daripada keseluruhan Parlimen. Daripada 31 kerusi PKR ini, 20 diwakili oleh orang Islam. Ini bermakna jumlah ahli Parlimen muslim di dalam PR ialah 20+23=43 atau mewakili 30.7% 

Manakala di peringkat DUN, PR diwakili 83+73+40=196 (mengikut urutan PAS, DAP dan PKR). Daripada DUN yang dimenangi oleh PKR sebanyak 40 kerusi, 22 kerusi DUN diwakili calon orang Islam. Ini bermakna jumlah calon orang Islam di DUN ialah 83+22=105 atau 53.6% daripada jumlah keseluruhan DUN dimenangi PR. Namun, bila ditinjau mengikut negeri pula, jumlah calon bukan Islam PR merupakan majoriti di negeri Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Daripada perkiraan di ataslah, timbul kebimbangan pengundi khususnya di kalangan orang Melayu bahawa DAP dan calon bukan Islam akan menguasai PR selepas PRU-13 sekiranya PR menang lebih besar berbanding PRU-12. Ini mengambilkira tren pengundi Cina mutakhir ini yang teguh bersama PR di dalam beberapa siri Pilihanraya Kecil dan Pilihanraya Negeri Sarawak sebelum ini.

Semasa PRU12, ada 222 kerusi Parlimen dipertandingkan. Drpd jumlah ini, jumlah ahli Parlimen bumiputera Islam ialah :-

1. UMNO Semenanjung : 66
2. UMNO Sabah : 13
3. Sarawak : 9
Jumlah bawah BN : 88
4. PKR : 20
5. PAS : 23
Jumlah bawah PR : 43
Jumlah keseluruhan ahli Parlimen Islam : 131 (59%)

Secara umumnya, calon PR yang lawan UMNO juga di kalangan org Islam. Oleh itu boleh dikatakan jumlah calon org Islam dalam kategori ini = 131. Boleh juga dikatakan secara umum, calon PR bukan Islam akan lawan calon BN bukan Islam.

2) Ada juga calon PR org Islam yang lawan calon BN bukan Islam dan mereka menang. 
Contohnya : Kuantan (PKR), Kota Raja (PAS), Hulu Selangor (PKR), Bandar Tun Razak (PKR), Telok Kemang (PKR). Ini sudah termasuk dalam jumlah 131 tersebut. 

Namun, ramai juga calon org Islam PR kalah dengan calon bukan Islam BN. 
Ini termasuk kerusi seperti Raub (DAP), Gerik (PAS), Lumut (PKR), Tanjung Malim (PKR), Pandan (PKR), Ayer Hitam (PAS), Simpang Renggam (PAS), Tebrau (PAS), Gelang Patah (PKR) dan Tanjong Piai (DAP) dan kawasan-kawasan Parlimen Sabah seperti di Tuaran, Putatan, Beluran dan Tawau. Begitu juga di kawasan Parlimen Sarawak seperti di Saratok, Mukah dan Lawas.

3) Jadi, boleh secara umumnya kita kata jumlah calon org islam PR dalam PRU12 (termasuk menang dan kalah) ialah sekitar 148 orang.

Ini juga bermakna, kemenangan calon2 islam PR yg bertanding di kawasan tradisi calon BN bukan Islam telah meningkatkan jumlah calon org Islam di Parlimen. 

Satu trend yang menarik ialah pengundi Cina dan India tidak dilihat chauvinistik apabila mengundi calon bukan kaum mereka selagi ianya masih di bawah Pakatan Rakyat. Ini terbukti kepada kemenangan di tempat-tempat yang saya sebut di atas. Ini bermakna, kita perlu mengenengahkan seramai mungkin tokoh calon orang Islam di dalam Pakatan Rakyat khususnya di dalam PKR.

PR memerlukan di atas kertas 30 kerusi Parlimen lagi untuk ke Putrajaya. Mereka perlu menang simple majority 112 kerusiberbanding 222 kerusi yang dipertandingkan. Dimana ianya boleh disasarkan berdasarkan senario mutakhir? Besar kemungkinan kerusi ini perlu didapatkan minima 6 kerusi di Sarawak, minima 6 kerusi di Sabah dan 18 kerusi di Semenanjung. Di Semenanjung, ini boleh berlaku di kerusi-kerusi yang dimenangi MCA (15), MIC (3) dan Gerakan (2) selain kerusi-kerusi UMNO yang menang dengan majoriti tipis (kurang dari 3000 undi)

Pada pengamatan saya, senario yang mungkin berlaku selepas PRU13 :-

1- PAS mampu menyaingi UMNO khususnya di 66 kerusi yang dimenangi UMNO di dalam PRU13 di Semenanjung Malaysia. Adakah strategi Asal Bukan UMNO (ABU) atau PAS Ganti UMNO (PGU) mampu merubah senario ini? Peluang bertukar kerajaan sangat cerah bila senario ini berlaku ditambah sokongan padu pengundi Cina.

2- Hanya DAP dan PKR akan tambah kerusi Parlimen khususnya di kawasan pengundi bercampur. Ini bermakna sekiranya calon PKR tersebut orang Islam, maka jumlah seat orang Islam di Parlimen akan bertambah. Tetapi sekiranya tidak, jumlahnya masih status quo 131 orang seperti PRU12. Tetapi peluang PR untuk ke Putrajaya dengan minima 112 ahli Parlimen semakin cerah. Namun di peringkat negeri, negeri-negeri Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor, PR akan dikuasai majoriti DUN bukan Islam sebagai pembangkang. Tetapi untuk menerajui kerajaan negeri, calon PR Melayu mesti menang.

3- Peratusan orang Melayu beralih daripada PR kepada BN. Ini akan berjaya sekiranya strategi 1Msia BN serta election goodiesserta 'ancaman-ancaman terhadap status orang Melayu & Islam' berjaya. Inilah fokus BN/UMNO hari ini termasuk propaganda yang bakal kita hadapi di hari-hari mendatang. BN bakal menang lebih besar dan mendapat kembali dua pertiga di Parlimen.

Sebab itu UMNO segera untuk atasi masalah dalaman mereka yang berpecah dan elak ada kem dan sabotaj. Mereka sangat-sangat risau sekiranya senario 1 berlaku terutamanya sekiranya pengundi baru/muda Melayu lebih 60% undi PR.

Untuk PAS menambat hati pengundi muda/baru, mereka mesti tampilkan calon-calon yang berkredibiliti dan dilihat lebih kompeten dan profesional kerana faktor calon sangat penting kepada pengundi muda/baru.

Sekiranya kedudukan orang Melayu tergugat selepas PRU13, kemungkinan isu kerajaan perpaduan akan timbul dan kali ini boleh jadi satu realiti.

Wallahu a'lam.

0 comments:

Pages