Tuesday, August 14, 2012

PSR Kemaman - Sumbangan Rumah ke rumah di Kg Air Putih

Alhamdulillah PSR 2012 diteruskan di sepuluh hari terakhir Ramadan dengan ziarah rumah ke rumah bagi menyampaikan sumbangan kepada warga miskin, orang tua dan orang kelainan upaya di dua buah kampung dekat Air Putih, Kemaman iaitu Kg Air Putih dan Kg Teladas. Program ini dijayakan bersama Jawatankuasa Masjid Kg Air Putih dan Surau Kg Teladas serta JKKK kedua-dua buah kampung. Program ini telah diadakan pada 10 Ogos 2012 yang lalu bersamaan 21 Ramadan yang lalu.

Seramai 35 penerima telah menerima sumbangan yang ditaja khas kali ini oleh Bank Rakyat dan juga pek makanan IKRAM Kemaman. IKRAM Kemaman diwakili Pengarah PSR 2012 Hj Fakhrul Anuar Zulkawi dan turut disertai oleh wakil Wanita IKRAM Kemaman, Ustazah Rosmawati dan Hjh Ainon serta beberapa orang anak muda IKRAM Kemaman.

Bagi pihak Masjid pula, ianya diwakili Setiausaha Masjid Kg Air Putih, Encik Saidi. Majlis bermula di Masjid Kg Air Putih sebelum pasukan ziarah berpecah dua iaitu di dua buah kampung secara serentak.









Ziarah seumpama ini dapat mendekatkan kita dengan suasana kehidupan masyarakat di kampung termasuk mereka yang telah uzur dan berkelainan upaya. Di bulan ramadan yang mulia ini, ianya merupakan satu aktiviti yang menginsafkan kita tentang pentingnya kita membantu dan meringankan sedikit keperitan yang dialami oleh mereka ini. Semoga ianya memberi sedikit kegembiraan kepada mereka yang kurang bernasib baik ini.

Sumbangan berbuka puasa juga telah diserahkan kepada Masjid Kg Air Putih dan Surau Kg Teladas. Antara keunikan berbuka puasa yang sudah jadi amalan tradisi masyarakat di sini ialah setiap rumah menyediakan juadah berbuka puasa dan dibawa ke masjid dan surau untuk dikongsi dengan semua yang hadir.

Semoga sumbangan para dermawan PSR 2012 ini terus memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan di bulan yang penuh barokah ini.





0 comments:

Pages