Saturday, September 05, 2009

Membuka Aib Calon Pemimpin ? - Memastikan Calon Bersih di PPN 2009

 
Salam,
 
Saya tertarik dengan satu wawancara yang dipetik daripada akhbar HARAKAH keluaran 28-30 Ogos 2009 bersama Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di kediamannya di Rusila, Marang selepas solat sunat terawih 25 Ogos 2009 yang lalu oleh wartawan Harakah Terengganu, Khairul Azlam Mohamad. Antara soalan yang ditanya ialah :
 
Sempena sambutan bulan Ramadan yang mulia ini, apakah pesanan Tuan Guru kepada ahli dan seluruh rakyat amnya?
 
TGAHW : " Pesanan saya, kita mestilah, disamping menunaikan ibadat puasa dengan ikhlas dan memelihara adab-adab, bukan sahaja yang wajib menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa, termasuk juga perkara yang tidak membatalkan puasa, tetapi membatalkan pahala puasa.
 
Maka hendaklah kita menjaga sebaik-baiknya, menjaga lidah, menjaga mata dan telinga, menjaga hati kita dengan batas-batas yang dihadkan oleh Islam.
 
Saya ingin menarik perhatian, di dalam pilihanraya kecil di Permatang Pasir sebagai contoh, Umno dan Barisan Nasional mengatakan kita tidak boleh menyebut keaiban seseorang, sedangkan pilihanraya adalah suatu amanah yang besar untuk rakyat memilih pemimpin. Dimana dalam amanah memilih pemimpin kita wajib mendedahkan peribadi orang yang hendak dipilih itu, adakah ia seorang yang benar-benar adil, tidak fasik (berterusan melakukan dosa-pen) dan tidak melakukan perkara-perkara yang menjatuhkan maruah.
 
Itu satu tanggungjawab agama yang tidak termasuk dalam perkara yang membatalkan pahala puasa. Ini jelas diperkatakan oleh ulama-ulama di dalam kitab mereka, khususnya di dalam perkara yang seperti ini.  Bahkan di dalam perkara saksi di mahkamah,  saksi di dalam perkahwinan pun kita kena dedahkan peribadi seseorang. Inikan pula untuk memilih wakil rakyat dalam satu kawasan yang mewakili rakyat untuk membuat dasar dalam Dewan Undangan Negeri (DUN). Maka ia perlu ditelitikan di dalam perkara maruah dan peribadi pemimpin ini. "
 
Dato' Seri Anwar Ibrahim, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dipetik di dalam akhbar SIASAH 30 Ogos - 5 September 2009, bila ditanya wartawan mengapa peristiwa ADUN meninggalkan parti sering berlaku di kalangan wakil rakyat PKR, juga menyebut :
 
" Dengan rasa malu, saya mengaku bahawa disebabkan keadaan pilihanraya umum yang lalu, kita agak tergopoh-gapah dalam meneliti nama-nama calon dan terdapat banyak kelemahan dalam sistem penapisan calon PKR. Kita mesti memperbaiki sistem tersebut untuk memastikan calon yang dipilih pada masa depan mestilah mempunyai tauliah yang baik dan taat setia kepada parti dan perjuangannya."
 
_________________________________________________________________________________________
 
Di dalam pencalonan jawatan tertinggi JIM samada di Pusat, Negeri, Daerah serta Wanita juga, saya yakin peribadi calon perlu diteliti berdasarkan fakta yang sahih serta sumber yang telah diperiksa. Apalagi pemilihan dibuat di dalam suasana dan persekitaran di mana ahli-ahli di daerah semasa Mesyuarat Agung Daerah (MAD) tidak mengenali calon-calon terutama sekali calon-calon Negeri dan Pusat. Malah lebih menyedihkan ahli-ahli sekadar mengiyakan sokongan yang selalunya berlangsung di penghujung mesyuarat ketika semua yang hadir mula resah untuk balik ke rumah masing-masing tanpa melakukan proses syura yang tenang dan serius. Lagipun mungkin pada fikiran dan pandangan kita ahli-ahli serta pimpinan kita semuanya baik-baik dan ikut tarbiah belaka.
 
Di sinilah pentingnya mekanisma tarbiah dan syura. Tarbiah memastikan calon yang dipilih melepasi syarat (rujukan minima naqib atau restu yang dipertanggungjawabkan) manakala syura memastikan pemilihan dilakukan dengan penuh bertanggungjawab. Mekanisma ini perlu berlangsung dengan baik kerana sekiranya ianya tidak berlangsung dengan baik boleh mengakibatkan kita memilih calon-calon yang tidak menepati ciri quwwah wa amanah yang dituntut oleh Islam.
 
Semoga kita melaksanakan mekanisme di atas dengan sebaik-baiknya serta adil di dalam memilih kepimpinan yang terbaik untuk JIM, inshaAllah. Dalam masa yang sama kita juga perlu menilai secara kritis dari masa ke semasa sistem pemilihan yang sedia ada agar ianya menepati neraca rabbani.
 
Fakhrul
Bangi Perdana
9 Ramadhan
 


0 comments:

Pages