Wednesday, August 08, 2012

PSR 6 - Berbuka Puasa Bersama Warga Estet Ranggon

Alhamdulillah antara keunikan PSR Kemaman kali ini ialah bersama dengan warga pekerja ladang kelapa sawit iaitu di Kg Ranggon Estate dekat Kerteh. Ianya berlangsung pada hari cuti umum Nuzul Quran di negeri ini iaitu pada 17 Ramadan 1433H atau bersamaan 6 Ogos 2012.


Antara rumah-rumah estet di kampung yang belum sepenuhnya bertar jalannya

Estet ini dipunyai oleh syarikat Yee Seng Plantation di sebuah tanah seluas 5000 ekar pajakan kerajaan negeri. Dalam pertemuan dengan ADUN Kemasik YB Ir Rosli sebelum bahawa kerajaan negeri dengan memperbaharui pajakan kepada syarikat ini untuk tempoh 100 tahun lagi. Semua pekerjanya adalah rakyat Malaysia dan kebanyakannya orang Melayu. Ada satu lagi perkampungan estet di sini yang berjiran iaitu Kg Bukit Pahang.


Masjid Al-Firdaus Kg Ranggon Estate

Program kali ini dimeriahkan dengan kehadiran Pegawai Agama Daerah Kemaman sendiri iaitu Ustaz Hj Zulkefli bin Othman yang sempat menyampaikan tazkirah ramadan sekaligus menyampaikan sumbangan ramadan kepada 30 orang penduduk di kampung ini. Beliau mengingatkan warga penduduk agar berusaha mengimarahkan masjid dan menjadikan masjid sebagai pusat kegiatan masyarakat yang utama. Ibadah berpuasa di bulan ini mudah-mudahan membentuk kecenderungan kita untuk sentiasa ke masjid selepas tamatnya bulan ramadan.

Ustaz Hj Zulkefli Othman sedang menyampaikan tazkirah

Sebelum itu, program ini turut disajikan dengan ucapan dan tazkirah daripada YDP IKRAM Terengganu, Ustaz Hj Mohamad Lokman bin Awang. Beliau mengingatkan hadirin agar menjadikan al-Quran sebagai pegangan hidup dan mendekatkan diri dengan al-Quran pada setiap masa. Nuzul Quran yang jatuh pada tarikh 17 Ramadan mengingatkan umat Islam agar sentiasa berusaha memahami isi al-Quran dan merujuk kepada al-Quran. Al-Quran fungsinya bukan sekadar bacaan tetapi lebih daripada itu ianya sebagai petunjuk (al-huda) dan pembeza antara kebenaran dan kebatilan (al-furqan).

Ustaz Hj Lokman Awang, YDP IKRAM Terengganu

Pengerusi Masjid Al-Firdaus Kg Ranggon Estet, Encik Ramli bin Abu Bakar di dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada pihak Pejabat Agama dan Pertubuhan IKRAM Kemaman kerana memilih masjid ini sebagai salah satu lokasi program PSR tahun ini. Beliau berharap agar banyak lagi program bersama dapat diadakan oleh IKRAM di kampung ini. Turut hadir ke majlis ini ialah Imam Masjid Kg Bukit Pahang, Cikgu Nordin dan Imam Masjid Kg Batu Putih Hj Husin.

Penyampaian sumbangan telah diberikan oleh Ustaz Zulkefli kepada 30 orang penerima. Turut mengiringi ialah Pengerusi Masjid, Encik Ramli dan YDP IKRAM Kemaman, Ustaz Hj Mazlan Ahmad. Sumbangan kali ini telah didermakan oleh IKRAM Kemaman dan Koperasi SRI Al-Amin Kerteh (KOSERI).

Ustaz Zulkefli menyampaikan sumbangan

Program disambung dengan tahlil dan doa sebelum berbuka puasa. Majlis tahlil ini dipimpin oleh Ustaz Muzahar Hitam, TYDP IKRAM Kemaman. Program berbuka puasa turut disertai ADUN Kemasik YB Ir Rosli yang sempat berbuka puasa bersama Pegawai Agama dan YDP IKRAM Terengganu.

Ustaz Muzahar memimpin bacaan tahlil

Suasana berbuka yang meriah

Antara anak-anak muda kampung yang hadir

Timb Ketua Wanita IKRAM Terengganu, Hjh Norasyikeen
turut menyantuni masyarakat wanita kampung

Program berbuka puasa turut disertai ADUN Kemasik YB Ir Rosli yang sempat berbuka puasa bersama Pegawai Agama dan YDP IKRAM Terengganu.



Program PSR kali ini diakhiri dengan sesi bergambar bersama Pegawai Agama dan Pengerusi Masjid. Kepimpinan tertinggi IKRAM Terengganu dan IKRAM Kemaman ramai yang hadir ke majlis ini juga.


Semoga program ini diberkati Allah SWT dan hubungan IKRAM Kemaman dengan kampung ini berterusan selepas ini.






0 comments:

Pages