Friday, August 17, 2012

Ibu-ibu Tunggal Terima Sumbangan Hari Raya di Kerteh

Semalam 16 Ogos 2012 bersamaan 27 Ramadan 1433H telah berlangsung satu majlis sumbangan hari raya kepada warga ibu tunggal DUN Kemasik di Balairaya Kg Telaga Papan Kerteh. Seramai 50 orang ibu tunggal telah hadir ke majlis ini. Ini adalah susulan daripada program pertama sebelum ini iaitu majlis berbuka puasa dengan lebih 200 orang ibu tunggal pada 6 Ramadan yang lalu. Ianya dianjurkan bersama dengan Kelab Ibu Tunggal DUN Kemasik yang dipengerusikan oleh Puan Hjh Rokiah Awang.

Puan Rokiah di dalam ucapannya melahirkan rasa bersyukur tidak terhingga di atas kesudian pihak IKRAM memilih untuk terus menyalurkan sumbangan terus kepada ibu-ibu tunggal ini. Menurut beliau belum pernah mana-mana badan atau agensi yang berhubung langsung dengan persatuan mereka dan menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban ibu-ibu tunggal yang semakin meningkat bilangannya ini.


PSR diwakili Pengarahnya sendiri Hj Fakhrul Anuar Zulkawi. Di dalam ucapan aluan, beliau mengajak semua hadirin untuk memanfaatkan hari-hari Ramadan yang masih berbaki ini dan meraih sebanyaknya manfaat daripadanya dengan melipatgandakan ibadah. Beliau menyebut tentang matlamat berpuasa ialah untuk melahirkan manusia mukmin yang bertaqwa. Beliau juga mengungkapkan ayat-ayat Allah SWT di dalam surah ali-Imran : 133-135 ketika mana Allah SWT menyebutkan ciri-ciri orang yang bertaqwa ketika Allah SWT menyeru bersegera untuk beramal iaitu antara lain mendermakan harta mereka ketika senang dan susah, menahan kemarahan dan memaafkan kesalahan orang. Sifat-sifat inilah yang perlu dimiliki oleh kita di dalam menghadapi cabaran hidup di dunia ini kerana kehidupan yang kekal abadi hanyalah di akhirat. Di samping itu, beliau yang mewakili IKRAM juga berharap agar dapat melaksanakan banyak lagi program pembangunan diri dan masyarakat bersama persatuan ibu tunggal ini di masa-masa akan datang.





Turut hadir ke majlis ini ialah Pengerusi JKKK Kg Telaga Papan Encik Mohd Gholip.

0 comments:

Pages