Saturday, September 05, 2009

JIM perlu popularkan Syariah bagi mengatasi kecelaruan umat

Menjadi kewajiban bagi JIM dan ahli JIM untuk menjelaskan dan menjawab tohmahan2 yang tidak tepat, tidak betul dan menyeleweng terhadap isu-isu syariah. Itu semua kena beri saham. Isu mendaulatkan syariah di Malaysia pasti akan mengundang tentangan di kalangan liberalis-rasionalis seluruh dunia (kerana dunia dikuasai dan diterajui secara unipolar oleh fahaman liberalis-kapitalis-rasionalis) termasuk di kalangan umat Islam. JIM perlu terus giat mempopularkan syariah secara umumnya dan khususnya menjawab kebencian dan kecelaruan fahaman yang berkaitan perlaksanaan undang-undang Islam sebagaimana tertera cantik di dalam RJ.
 
Isu kewangan Islam yang merupakan satu aspek ekonomi Islam yang mesra perniagaan dan menentang riba yang diamalkan oleh sistem ekonomi konvensional dunia hari ini telah mula diterima oleh masyarakat dunia. Ini juga sebahagian daripada syariah. Malaysia sudah menjadi pelopor dunia. Menjadi kewajipan kepada pakar-pakar ekonomi serta pengamal untuk terus berjuang mewujudkan satu sistem alternatif ekonomi yang adil buat dunia. Dan kita mengharapkan agar sistem kewangan Islam menjadi pilihan utama dunia menggantikan sistem kapitalis yang ribawi. Orang bukan Islam boleh buat pilihan yang mana satu yang terbaik untuk mereka. Tetapi untuk umat Islam, tiada kompromi melainkan melaksanakan sistem Islam.
 
Isu makanan halal juga menjadi isu dunia. Syarikat-syarikat besar mula membuka mata bagi menarik pengguna muslim khususnya. Ini juga isu syariah. Menjadi kewajipan bagi kerajaan menjelaskan konsep serta piawaian halalan toiyyiban di dalam industri kepenggunaan dan pemakanan.
 
Isu nilai-nilai kemanusiaan juga isu syariah. Islam menjaga hak dan nilai-nilai kemanusiaan. Sebab itu Islam mengangkat tinggi nilai-nilai kemanusiaan sejagat seperti isu kebebasan, syura, keadilan dan persaudaraan sejagat. Namun perlu diperjelaskan kepada puak liberalis tentang batas-batas yang digariskan di dalam syariah.
 
Isu wanita juga isu syariah. Islam memartabatkan wanita di tempat yang mulia dan penuh dengan integriti serta menjamin hak-hak wanita di dalam masyarakat. Namun perlu diperjelaskan kepada puak liberalis tentang asas-asasnya.
 
Isu hiburan dan kesenian juga isu syariah. Masyarakat Islam bukan hanya sebagai masyarakat yang beribadat dan mengerjakan amal-amal sunat serta masyarakat yang serius dan sentiasa bekerja. Tidak ada ruang baginya untuk berhibur dan bermain, ketawa atau bergembira, bernyanyi dan bermain muzik. Namun masyarakat Islam tidak menjadikan kehidupan keseluruhannya sebagai hiburan dan permainan yang tiada batasan moralnya.
 
Isu moral dan integriti juga isu syariah. Islam menolak dengan serius semua jenis kejahatan yang ditolak fitrah yang sejahtera dan akal yang waras. Sementara itu Islam menerima serta memberi dorongan terhadap semua jenis akhlak yang terpuji yang sesuai dengan fitrah dan akal yang sihat yang mana individu dan masyarakat akan dapat hidup bahagia dengan dominasinya.
 
Malah menjadi lebih utama lagi untuk kita menjelaskan kenapa umat Islam mahukan hak mereka sebagai seorang Muslim berdasarkan asas akidah dan keimanan untuk melaksanakan Islam sepenuhnya dengan mengamalkan undang-undang syariah di dalam aspek pensyariatan dan perundangan.
 
Menurut al-Qaradawi :
"Syariat adalah manhaj yang telah diciptakan oleh Allah SWT bagi menyusun kehidupan Islam berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah. Sesebuah masyarakat tidak menjadi masyarakat Islam melainkan dengan melaksanakannya serta merujuk kepadanya didalam seluruh aspek kehidupan sama ada ibadat atau muamalat. Adalah tidak logik jika seseorang Muslim mengambil kewajipan puasa dari al-Quran, tetapi menolak kewajipan solat di dalam al-Quran. Kita tidak boleh menggambarkan bagaimana seseorang itu menerima ayat-ayat yang berkenaan dengan pengharaman riba ! "
Begitulah juga dengan pengharaman arak !
 
Pensyariatan atau perundangan merupakan nilai kekuatan utama bagi sesebuah masyarakat. Ramai liberalis fobia dengan undang-undang jenayah atau hudud dan penghukuman semata-mata sepertimana yang difahami dan digambarkan oleh sebahagian orang termasuk di dalam isu sebatan atas jenayah hudud. Mereka menggangap hukuman sebatan yang dikenakan kepada penzina umpamanya sebagai hukuman yang zalim kerana mereka lebih mementingkan hak individu daripada hak masyarakat. Liberalis yang mewakili jahiliah hari ini lebih mementingkan perkara-perkara yang berbentuk fizikal berbanding  dengan perkara-perkara yang berbentuk logikal. Lantaran itu mereka amat menggeruni kemudaratan yang dikenakan ke atas individu disebabkan ia berlaku di hadapan penglihatan mereka tetapi mereka tidak merasai bahaya yang lebih besar yang bakal menimpa masyarakat dan generasi akan datang.
 
Pensyariatan hudud perlu difahami dengan perspektif yang tepat. Menurut al-Qaradawi lagi, kesalahan zina tidak pernah tsabit semasa zaman Rasulullah s.a.w. dan zaman Khulafa ar-Rasyidun melainkan melalui pengakuan. Selain itu, Islam memberi kesempatan untuk bertaubat. Siapa yang taubatnya sungguh-sungguh maka hukuman hudud tersebut akan gugur menurut pendapat yang terkuat. Gugurnya hukuman hudud tidak bererti  gugurnya hukuman keseluruhannya. Sebaliknya ianya berpindah kepada hukuman yang bentuk ta'zir yang sesuai seperti yang diputuskan di dalam mahkamah.
 
Syariat sangat menjaga rahsia dan memaafkan hudud kerana Islam tidak terburu-buru menjatuhkan hukuman dan tidak tergesa-gesa melaksanakannya terhadap mereka yang melanggarinya. Islam tak ajar kita pasang perangkap atau letak kamera rahsia untuk mengambil gambar mereka yang melakukannya. Islam juga tak guna polis bahagian jenayah atau mata-mata gelap untuk mengintip mereka yang melanggar Syarak untuk menangkap mereka ketika melaksanakannya!
 
Kita perlu yakinkan masyarakat Islam bahawa mereka akan hidup harmoni di bawah naungan Syariat bermula dengan pemurniaan akidah dan keimanan. Untuk ini berlaku, proses kesedaran serta pendidikan umat perlu dilipatgandakan agar umat sendiri menuntut hak mereka dan berusaha mendapatkan kuasa pemerintahan agar kembali kepada umat Islam yang ikhlas mahukan syariat dilaksanakan dan tidak berterusan di tangan mereka yang liberalis, oportunis dan berkepentingan. Institusi kehakiman syariah juga perlu dipertingkatkan kepakaran dan prasarananya. Prosesnya sedang bergerak di seluruh dunia Islam. Yang berbeza mungkin strategi rancangan pencapaiannya. Malaysia mempunyai keunikan perlembagaan yang menjadikan Islam bukan sekadar agama rasmi (official religion)seperti difahami sebahagian orang tetapi "Islam is the religion of the federation". Untuk itu peluang untuk menjadikan syariah sebagai rujukan tertinggi umat Islam di Malaysia, perlu diperjuangkan bersama oleh kerajaan, para ulama' dan pakar undang-undang, pendakwah dan pengamal undang-undang Islam serta sokongan umat Islam yang digerakkan oleh civil society yg dipelopori oleh gabungan NGO Islam termasuk JIM.


0 comments:

Pages