Saturday, September 05, 2009

Konflik Islam dan Liberalisme - Bilakah Penghujungnya?

Di pagi Sabtu 15 Ramadhan 1430H ini, elok saya berkongsi penulisan saya mengenai isu syariat Islam mendepani faham Liberal dunia. Moga ada manfaatnya.
 
Fakhrul
 

KONFLIK ISLAM DAN LIBERALISME – BILAKAH PENGHUJUNGNYA?

 

"Preserve the liberal space". Itulah salah satu tajuk ungkapan sidang editor akhbar mingguan The Edge keluaran 31 Ogos – 6 Sept 2009. Akhbar The Edge ialah sebuah akhbar mingguan yang membawa berita-berita perniagaan dan pelaburan yang diterbitkan oleh The Edge Communications Sdn Bhd yang beribu pejabat di Damansara Perdana, Petaling Jaya. Sidang editor pada kali menyentuh kes Kartika Sari Dewi Shukarno, seorang wanita muslim yang dijatuhkan hukuman enam kali sebatan atas kesalahan meminum arak di khalayak oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan baru-baru ini. Mereka mempersoalkan hak kebebasan individu (personal liberties) yang pada pengamatan mereka akan membawa imej yang rosak di persada kaca mata dunia dan akan memberikan kesan kepada lanskap sosial di negara kita pada masa akan datang.

 

Di dalam penulisan saya sebelum ini saya ada menyebut tentang pertembungan dua ideologi utama dunia hari ini iaitu Islam dan fahaman Liberalisme dan ini akan menjadi semakin sengit dan getir bagi memastikan ke arah mana dominasi fikrah manusia akan berpihak. Islam yang berpaksikan kepada kalimah tauhid Lailahaillallah mengangkat kemutlakan hakimiah Allah SWT berdepan dengan undang-undang dunia ciptaan manusia yang berdasarkan hawa nafsu manusia semata-mata.

 

Engagement di antara orang Islam dengan mereka yang menentang Islam telah berlaku sejak lama lagi. Dialog duta tentera Islam Rubaie ibn Amir terhadap Rustum ketua panglima perang Farsi perlu diperingatkan kembali. Apabila Rustum menyoal apakah dasar Islam di dalam memerangi mereka, Rubaie dengan tenang menjawab :

 

"Kami didatangkan untuk membebaskan perhambaan sesama manusia kepada perhambaan kepada Allah semata-mata, membebaskan manusia daripada kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam dan membebaskan manusia daripada kesempitan dunia kepada keluasan syariat Islam serta keluasan hari akhirat."

 

Mesej dakwah yang jelas dan nyata telah dikemukakan oleh Rubaie kepada musuh-musuh Islam. Bagaimana pula dengan engagement umat Islam hari ini bila berdepan dengan mereka yang tidak memahami Islam, apalagi mereka yang terang-terang memusuhi Islam?

 

Liberalisme yang berasal dari Barat memperjuangkan hak individu yang mutlak (individual sovereignty) di dalam menentukan prinsip-prinsip moral kehidupan mereka. Ini berlaku setelah fahaman ini menolak pengaruh gereja yang menentang kemajuan sains di Barat sekitar abad tersebut dengan bermulanya era sekularisme Barat iaitu falsafah bahawa sistem pemerintahan negara dan agama hendaklah diasingkan. Antara pengasas fahaman liberalisme ini ialah ahli-ahli falsafah mereka di awal abad ke-18 seperti John Locke, Adam Smith dan Jeremy Bentham. Namun fahaman mereka disanggah oleh fahaman Sosialisme menjelang awal abad ke-19 yang menentang kezaliman feudal dan proletariat serta kerakusan kapitalis. Mereka diwakili oleh ahli-ahli falsafah seperti Karl Marx dan Max Weber. Mereka memperjuangkan hak sama rata rakyat di dalam agihan ekonomi dan pentadbiran dikawal sepenuhnya oleh kerajaan bagi menjamin keadilan sosial untuk rakyat.

 

Sengketa antara dua fahaman besar ini berlangsung selama lebih satu abad sehingga mencetuskan Perang Dunia Pertama dan Kedua di antara Negara-negara yang berlainan fahaman ini. Akhirnya konflik ini membawa kepada Perang Dingin (Cold War) khususnya di antara Amerika dan sekutu Baratnya yang mewakili Liberal-Kapitalis dengan Kesatuan Soviet dengan sekutunya yang mewakili Komunis-Sosialis. Konflik ini berlanjutan sehingga jatuhnya sistem Sosialis tersebut pada penghujung abad ke-20 dengan runtuhnya Kesatuan Soviet di tangan dasar Glasnost dan Perestroika di bawah pimpinan Presiden Gorgachev ketika itu dan runtuhnya Tembok Berlin pada tahun 1989. Selepas itu, Presiden Amerika, pada tahun 1990 George W. Bush telah mengisytiharkan gagasan Tatabaru Dunia atau New World Order iaitu satu sistem pemerintahan politik dan ekonomi unipolar dunia yang diterajui oleh fahaman Liberal-Kapitalis di atas kejatuhan sistem komunis-sosialis. Sistem ekonomi kapitalis yang berdasarkan konsep free-market economy mula dianut oleh negara-negara yang sebelumnya melaksanakan dasar  state-controlled economy seperti negara-negara Rusia dan China. Dasar penswastaan atau privatisation pula mula menjadi popular menggantikan dasar pemilikan negara atau nationalisation.

 

Dasar fahaman liberalisme di awal abad ke-20 tidak terhenti kepada sistem politik dan ekonomi tetapi juga mula menular ke aspek prinsip-prinsip moraliti masyarakat dengan meletakkan hak asasi individu (individual rights) untuk melakukan apa sahaja yang mereka inginkan dengan mengenepikan hak masyarakat (public rights). Ini melahirkan kefahaman baru dalam neraca penilaian masyarakat barat terhadap prinsip-prinsip moraliti yang sebelumnya dianggap satu bentuk kejahatan (vices) serta kesalahan jenayah seperti meminum arak, melakukan aktiviti penzinaan serta seks luar tabie seperti homoseksual dan lesbian. Setelah diperdebatkan akhirnya kejahatan-kejahatan ini dihalalkan oleh negara-negara Barat dan tidak lagi dianggap satu kesalahan jenayah. Fahaman ini juga telah membentuk gagasan Deklarasi Hak Asasi Manusia 1948 yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Kesan ini juga dapat dilihat di dalam perjuangan menuntut kebebasan wanita (women liberation) di Barat yang mahukan hak sama rata dengan lelaki dan sebagainya.

 

Kesannya fahaman ini mula meresap masuk di dalam pemikiran umat Islam sendiri. Pasca imperialis Barat mewujudkan negara-negara umat Islam mengenepikan syariat yang sebelumnya merupakan undang-undang yang diterimapakai mereka selama berabad-abad lamanya dan menggantikan dengan undang-undang sivil peninggalan penjajah. Hukuman jenayah hudud dilihat sebagai kejam dan out-dated tidak sesuai lagi dengan suasana kehidupan dunia moden hari ini.

 

Hari ini umat Islam berdepan dengan cabaran masyarakat dunia yang dikuasai fahaman Liberal yang menyesatkan ini. Dan sebahagian umat Islam juga dikuasai oleh fahaman liberal ini di dalam amalan seharian dan tindakan mereka. Undang-undang Islam telah dihadkan fungsinya kepada perlaksanaan undang-undang kekeluargaan dan pewarisan semata-mata.

 

Sejauhmana konflik fahaman liberalisme dengan Syariat Islam berpanjangan di abad ke-21 ini bergantung kepada kesedaran dan kehendak umat Islam untuk mempertahankan hak mereka untuk sebagai seorang muslim untuk melaksanakan dan mengamalkan syariat Islam itu sendiri. Dan umat Islam juga perlulah memurnikan semula kefahaman keadilan syariat Islam melalui engagement mereka di kalangan umat bukan Islam di negara masing-masing.

 

Fakhrul Anuar Zulkawi

15 Ramadhan 1430H / 5 September 2009

 


0 comments:

Pages