Monday, July 02, 2012

Karnival Kesihatan Felda Kerteh 5

Alhamdulillah siri Karnival Kesihatan IKRAM Kemaman diteruskan ke lokasi baru. Kali ini pada 23 Jun 2012 yang lalu, kami ke Felda Kerteh 5. Satu penempatan peneroka Felda di daerah Kemaman yang begitu tersusun. Terdapat 357 buah rumah peneroka di Felda ini yang bermula sejak pertengahan tahun 1980an. Dengan kerjasama pihak pengurusan Felda dan juga pertubuhan-pertubuhan tempatan, program ini telah berjaya mendapat sambutan yang baik daripada penduduk di sini.

Antara aktiviti yang diadakan ialah senamrobik, pemeriksaan kesihatan percuma, pameran dan forum kekeluargaan. Senamrobik diketuai bekas jaguh lompat kijang negara Zaki Sadri dan isteri beliau. Manakala pemeriksaan kesihatan percuma diketuai para doktor IKRAMHealth Terengganu diketuai Dr Nurul Jannah yang betugas di Hospital Besar Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu dengan kerjasama Klinik Kesihatan Ketengah Jaya. Forum kekeluargaan pula menampilkan YDP IKRAM Kemaman Ustaz Hj Mazlan Ahmad dan Ketua Wanita IKRAM Terengganu Ustazah Siti Khatijah Dibok yang juga seorang tenaga pengajar SMK Padang Midin, Kuala Terengganu. Forum ini diketuai moderator Hjh Noor Ashikeen Abdul Hamid yang juga Timbalan Ketua Wanita IKRAM Terengganu.

Kesempatan bersama program ini di felda ini mengingatkan saya tentang kehidupan awal saya yang dilahirkan dan dibesarkan di dua buah felda di daerah Bentong, Pahang  - yang pertama Felda Lurah Bilut yang merupakan tempat kelahiran dan juga Felda Kg Sertik yang merupakan tempat saya menyempurnakan persekolahan rendah saya selama enam tahun. Nostalgia kehidupan di felda masih segar terutama sekali bila membanding kehidupan yang serba susah ketika itu dengan kehidupan yang lebih baik yang dinikmati warga felda hari ini.

0 comments:

Pages