Friday, September 14, 2012

PSR 2012 Eratkan Kerjasama Agensi & NGO Islam, Bakal Diperluas Ke Seluruh Negeri

Pejabat Agama Daerah Kemaman dan Pertubuhan IKRAM Daerah Kemaman telah berjaya mengadakan majlis perasmian penutup Projek Semarak Ramadan 2012 (PSR 2012) di Dewan Pejabat Agama pada 12 September 2012 yang lalu. Program yang julung-julung kalinya diadakan di peringkat daerah Kemaman ini telah berjaya mengumpul sekitar RM70 ribu dan telah diagihkan dalam bentuk majlis berbuka puasa di lebih 10 buah masjid di daerah ini dan sumbangan kepada sekitar 1000 orang penerima yang terdiri daripada fakir miskin, anak-anak yatim, ibu tunggal dan warga emas di daerah ini. Program ini merupakan gabungan kerjasama lima agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) utama di daerah Kemaman iaitu Pejabat Agama Daerah Kemaman, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kemaman, Pertubuhan IKRAM Daerah Kemaman, Islamic Relief Malaysia (IRM) Pantai Timur dan Aqsa Syarif Berhad.




Majlis ini telah dimulakan dengan perkongsian pengalaman seorang aktivis sukarelawan kemanusiaan Aqsa Syarif (AS) iaitu Muzahar Hitam yang telah ke Gaza, Palestin selama 10 hari pada penghujung Ramadan yang lalu dan berhariraya bersama masyarakat Gaza di sana. Beliau yang juga Timbalan Yang DiPertua IKRAM Kemaman telah bersama 38 sukarelawan daripada seluruh negara telah ke Palestin untuk menyampaikan sumbangan bernilai RM2.5 juta dalam pelbagai projek yang dikendalikan AS di sana. Di dalam perkongsian tersebut, beliau menyebut betapa kuatnya semangat umat Islam di Palestin di dalam mempertahankan bumi para anbiya’ ini serta kedudukan Masjid al-Aqsa yang sekarang di bawah penjajahan Israel. Beliau juga memuji para remaja dan belia di sana yang sangat kuat pegangan mereka kepada agama dan sangat kuat hubungan mereka dengan al-Quran. Beliau meminta agar para remaja di daerah ini khususnya untuk mencontohi akhlak dan keperibadian para remaja Palestin yang telah dididik dengan al-Quran dan perjuangan membebaskan Masjid al-Aqsa dan juga Palestin secara keseluruhannya.



Majlis perasmian penutup PSR ini telah disempurnakan oleh Penolong Ketua Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Terengganu (JHEAT), Ustaz Mohd Azam bin Awi dihadiri lebih 100 orang ahli jawatankuasa dan pegawai masjid seluruh daerah Kemaman. Daerah ini sahaja mempunyai 49 buah masjid. Beliau amat berbangga dengan kejayaan usaha PSR 2012 ini dan meminta semua masjid menjalin hubungan yang erat dengan NGO dakwah dan kebajikan seperti IKRAM, Aqsa Syarif dan Islamic Relief Malaysia ini di dalam menjayakan aktiviti memakmurkan masjid dengan pelbagai program bermanfaat dan penerangan kepada umat Islam di daerah ini tentang perjuangan rakyat Palestin. Beliau juga terharu dengan perkongsian pengalaman yang disampaikan dan ini perlu dikongsikan dengan ahli masyarakat qariah masjid di seluruh daerah ini khususnya dan negeri ini amnya. Beliau juga berharap agar usaha PSR ini dikembangkan ke daerah-daerah yang lain di seluruh Terengganu pada tahun hadapan dan pihak JHEAT akan bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya bagi menjayakan projek yang murni dan sangat baik ini.


Pegawai Agama Daerah Kemaman, Ustaz Hj Zulkefli bin Othman, di dalam ucapannya meminta agar projek seumpama ini akan terus diadakan pada tahun-tahun akan datang dan diperluaskan di seluruh masjid di daerah ini dengan pelbagai program yang memberi manfaat kepada masyarakat di dalam menyemarakkan bulan Ramadan. Beliau turut merakamkan penghargaan beliau kepada pihak IKRAM Kemaman yang telah menunjukkan komitmen yang tinggi di dalam menjayakan PSR serta mewujudkan satu gabungan kerja yang sangat strategik menerusi program PSR ini. Beliau juga akan menyusun satu pertemuan khas di antara semua NGO Islam di daerah ini bagi mewujudkan satu gabungan NGO Islam yang bersama berganding bahu melaksanakan tanggungjawab dakwah dan kebajikan umat Islam di daerah ini. Beliau percaya menerusi gabungan usaha sebeginilah akan melahirkan satu gerakerja dakwah yang lebih mantap dan tersusun disamping dapat memanfaatkan sumber yang ada di kalangan agensi kerajaan dan NGO di daerah ini. Isu-isu umat Islam seperti kehakisan dan kecelaruan aqidah, keruntuhan gejala sosial remaja, kebajikan warga ibu tunggal, isu umat Islam seluruh dunia dan lain-lain dapat ditangani bersama dengan lebih baik lagi menerusi gabungan kerja seumpama ini.


Yang DiPertua IKRAM Terengganu, Ustaz Hj Mohamad Lokman bin Dato’ Awang di dalam ucapan penutup program ini pula merakamkan ucapan penghargaan beliau kepada pihak JHEAT dan Pejabat Agama Daerah Kemaman terhadap kerjasama yang diberikan menerusi PSR ini. Beliau juga menyatakan kesediaan pihak IKRAM untuk melaksanakan projek ini ke daerah-daerah lain di negeri ini pada tahun akan datang dan mengadakan perancangan lebih awal bagi memastikan kelancaran PSR. Beliau percaya umat Islam di negeri ini sangat perihatin terhadap usaha-usaha dakwah dan kebajikan dan IKRAM bersedia menjadi salah satu NGO dakwah di negeri yang bersama memimpin masyarakat ke arah ini. Menerusi hubungan yang terjalin erat hasil PSR di Kemaman ini mampu melonjakkan usaha-usaha gabungan agensi kerajaan dan NGO Islam di negeri ini pula selepas ini. Beliau juga memaklumkan usaha-usaha gabungan NGO Islam ini sedang juga dibincangkan oleh pihak IKRAM Terengganu dengan Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM) Pantai Timur. Ianya bertujuan untuk memantapkan usaha-usaha gabungan NGO Islam yang telah diwujudkan sebelum ini menerusi Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) peringkat negeri Terengganu. Beliau juga menyatakan IKRAM Terengganu menerusi Pengerusi Jawatankuasa Masyarakat Madani, Fakhrul Anuar Zulkawi, juga sedang mengatur pertemuan dengan NGO-NGO bukan Islam di negeri ini bagi merapatkan hubungan dan kerjasama di kalangan warga masyarakat bukan Islam juga.


Program majlis penutup ini diakhiri dengan penyampaian cenderamata kepada semua yang terlibat langsung menjayakan PSR 2012 ini dan juga majlis jamuan hariraya di perkarangan Pejabat Agama Daerah Kemaman. Ianya turut dihadiri oleh sekitar 1000 orang pengunjung.





0 comments:

Pages