Monday, October 22, 2012

10 NGO Islam & 2 Agensi Kerajaan Bertemu di Majlis Hi-Tea Masyarakat Madani IKRAM Terengganu

Alhamdulillah majlis hi-tea masyarakat madani IKRAM Terengganu telah berjaya diadakan pada hari Ahad 21 Oktober 2012 bersamaan 5 Zulhijjah 1433 di Terengganu Equestrian Resort (TER) dekat Kuala Ibai, Kuala Terengganu. Program yang bermula jam 5.30 petang ini bertujuan untuk mengumpul NGO-NGO Islam utama bersama agensi-agensi Islam di negeri Terengganu dan telah berjaya mengumpul sejumlah 10 NGO dan 2 agensi kerajaan ke majlis ini. Dua agensi yang hadir ialah JHEAT dan PAD diwakili sendiri Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) yang baru dilantik iaitu Ustazah Hjh Samsiah bt Dato' Awang dan Pegawai Agama Daerah Kuala Terengganu Ustaz Hj Ariffin serta kakitangan mereka. Manakala 9 NGO selain tuan rumah IKRAM yang hadir ialah :-

1. Pertubuhan HALUAN Cawangan Terengganu
2. Persatuan Ulama' Malaysia (PUM) Cawangan Terengganu
3. Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) Cawangan Terengganu
4. Persatuan Darul Fitrah Malaysia Cawangan Terengganu
5. Persatuan India Muslim Terengganu
6. Persatuan Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) Cawangan Terengganu
7. Pertubuhan Bekas Pemimpin Kanan Pelajar Terengganu (PEMIKIR)
8. Majlis Pemuafakatan Rakyat Terengganu (MAMPAT)
9. ABIM Terengganu


Di dalam ucapan aluan Yang DiPertua IKRAM Terengganu, Ustaz Mohd Lokman bin Dato' Awang, beliau merakamkan ucapan terima kasih di atas kesudian semua pimpinan utama  NGO Islam di negeri ini hadir ke majlis ini. Di samping itu beliau mengajak agar semua NGO Islam untuk menjalin kerjasama yang lebih erat lagi di dalam menggerakkan usaha-usaha dakwah dan amar makruf nahi mungkar di negeri ini. Beliau percaya menerusi jalinan ukhuwwah dan kerjasama yang padu di antara penggerak-penggerakn dakwah di negeri ini mampu mencipta banyak kejayaan di dalam misi bersama untuk mendaulatkan syariat di negara ini.


Pengarah JHEAT, Ustazah Samsiah, di dalam ucapan khas beliau sempena majlis ini merakamkan ucapan penghargaan beliau kepada IKRAM kerana berjaya mengumpul NGO-NGO Islam di negeri ini. Beliau yang turut gembira dengan program IKRAM Terengganu yang pertama kali beliau sertai selaku panelis forum pada hari sebelumnya di Kerteh, yakin bahawa dengan usaha-usaha sebegini akan membantu usaha jabatan beliau di dalam memartabatkan Islam di negeri Terengganu khususnya. Beliau juga bersedia memberikan bantuan dan sokongan kepada usaha-usaha dakwah dan kebajikan yang dilakukan oleh NGO-NGO Islam di negeri ini.


Para hadirin juga dihidangkan dengan montaj IKRAM Terengganu sambil menjamu selera dan berkenal-kenalan sesama yang hadir sebelum Setiausaha IKRAM Negeri, Hj Zulkifli Ali menyampaikan penerangan tentang misi dan aktiviti IKRAM Terengganu. Beliau menyebut antara fokus utama IKRAM Negeri ialah membangun dan membina institusi pendidikan Islam swasta di negeri ini menerusi rangkaian pendidikan sekolah Al-Amin yang setakat ini sudah ada 1 buah sekolah menengah dan 4 buah sekolah rendah. Beliau juga memaklumkan bahawa IKRAM Terengganu bakal membangun dua buah sekolah lagi di dalam masa yang terdekat iaitu sebuah sekolah rendah di Besut dan sebuah sekolah menengah di Dungun. IKRAM Terengganu juga giat di dalam program pentarbiahan ahli, pembangunan wanita, khidmat masyarakat dan juga mengorak langkah di dalam bidang dakwah kepada yang belum Islam.


Sesi memperkenalkan organisasi masing-masing juga menjadi salah satu aturcara penting di dalam program ini. Organisasi pertama ialah HALUAN Terengganu yang diwakili YDP Negeri Cikgu Hj Ishak bin Yusuf. Beliau memaklumkan antara kegiatan utama Haluan Terengganu ialah pentarbiahan ahli dan membangun institusi pendidikan di Kg Laut, Kuala Terengganu.


Organisasi kedua ialah PEMIKIR diwakili oleh Penasihat PEMIKIR akh Mat Azizur dan Presiden PEMIKIR Abdul Rahim Daub. PEMIKIR adalah badan NGO yang diasaskan sejak 2009 menerusi bantuan aktivis IKRAM Terengganu dan telah mendapatkan kelulusan penubuhan oleh ROS sejak 2012. Mereka mengumpulkan ahli-ahli di kalangan bekas pemimpin kanan pelajar sekolah-sekolah seluruh Terengganu dan mulai 2009, sudah 4 kumpulan lepasan pimpinan pelajar telah dikumpul. PEMIKIR juga memberikan fokus kepada pembangunan pelajar sekolah-sekolah menengah seluruh Terengganu. Dalam usia pertubuhan yang masih muda ini, pimpinan PEMIKIR sehingga kini baru berusia 19-22 tahun dan masih ramai yang belajar di institusi pengajian tinggi seluruh negara. Mereka juga giat membantu KBM Smart Consultant yang digerakkan oleh aktivis IKRAM Terengganu sebagai pengendali dan fasilitator.


Organisasi ketiga ialah Persatuan Ulama' Malaysia (PUM) Cawangan Terengganu. Ianya diwakili oleh YDP Ustaz Hj Mohamad. Beliau juga adalah YDP WADAH Cawangan Terengganu dan juga ahli IKRAM Terengganu. Menurut beliau antara aktiviti PUM di Kuala Terengganu ialah program-program pembentangan kitab-kitab turas di masjid-masjid sekitar Kuala Terengganu.


Organisasi yang keempat ialah Pertubuhan Wadah Pencerdasan Umat (WADAH). Menurut TYDP Hj Md Harun, WADAH adalah pertubuhan yang dianggotai oleh lepasan aktivis dan pimpinan ABIM yang sudah melepasi umur 40 tahun. Ini kerana ABIM sebagai sebuah organisasi yang didaftarkan di bawah ROY menghadkan umur maksima ahli 40 tahun. Antara aktiviti utama mereka ialah usrah mingguan dan mengendalikan sebuah bangunan yang dimiliki mereka di Tok Jiring, Kuala Terengganu. Mereka juga memaklumkan Presiden WADAH Pusat terkini ialah mantan Presiden ABIM ketiga, Dato' Dr Siddiq Fadhil. WADAH diwakili 4 empat orang termasuk Dr Abdul Jalil yang pernah bekerja di tempat yang sama dengan Hj Ahmad Sabri Yazid, TYDP IKRAM Kuala Terengganu.


Organisasi kelima ialah Persatuan Darul Fitrah Malaysia Cawangan Terengganu yang diwakili Pengerusi Datin Norhana bt Abdullah. Pertubuhan ini yang mempunyai pejabat sendiri dan empat orang kakitangan sepenuh masa menumpukan usaha dakwah kepada yang belum Islam samada di negeri ini mahupun di luar negara. Mereka juga giat mengadakan kelas-kelas pengajian untuk saudara-saudara baru di negeri ini. Menurut Datin Norhana, beliau juga telah memulakan komunikasi dengan Pengerusi Hidayah Centre IKRAM Pusat sebelum ini bagi tujuan kerjasama. Pengerusi Jawatankuasa Dakwah IKRAM Terengganu, Hj Radin Badiuzzaman sempat bertukar-tukar pandangan dengan beliau.


Organisasi keenam ialah ABIM Cawangan Terengganu yang diwakili YDP Hj Zukiferee bin Ibrahim. Beliau yang bekerja di Universiti Malaysia Terengganu menyatakan ABIM bergiat cergas bersama WADAH dan menumpukan perhatian antara lain aktiviti-aktiviti wacana keilmuan yang dianjurkan dari masa ke semasa.


Organisasi ketujuh ialah Majlis Pemuafakatan Rakyat Terengganu (MAMPAT) yang diwakili YDP Hj Mohd  Fauzi bin Abu Samah. MAMPAT merupakan organisasi gabungan beberapa buah NGO di Terengganu sejak 2008 yang memberikan fokus kepada isu-isu masyarakat madani dan politik di negeri ini. Bermula dengan perjuangan mendesak kerajaan tentang kenaikan harga barang-barang hinggalah ke isu hak royalti minyak negeri Terengganu.

Organisasi yang kelapan ialah Persatuan Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) Cawangan Terengganu. PAPISMA diwakili TYDP Dr Wan Mohd Razin yang bekerja di Hospital Besar Tuanku Intan Zaharah Kuala Terengganu. Menurut beliau PAPISMA memberikan fokus keahlian kepada pengamal perubatan dan aktiviti-aktiviti khidmat kesihatan kepada masyarakat. Mereka mempunyai ramai ahli-ahli di kalangan doktor-doktor muda juga.

Organisasi kesembilan ialah Persatuan India Muslim Terengganu yang diwakili Pengerusinya sendiri Saudara Salahudin serta dua orang pimpinan persatuan. Mereka memaklumkan bahawa tumpuan mereka ialah kepada pembangunan dan hal ehwal masyarakat India Muslim di negeri ini termasuk tuntutan mendapatkan hak tanah di negeri ini. Mereka gembira sekali dapat bertemu dengan semua pimpinan NGO di Terengganu di majlis ini.


Perkongsian terakhir ialah daripada Pegawai Agama Daerah Kuala Terengganu, Ustaz Hj Arifin. Beliau menyatakan bahawa Jabatan memberikan fokus aktiviti kepada apa yang digariskan oleh kerajaan kepada jabatan. Di samping itu beliau menyeru agar kerjasama NGO ini akan dapat membantu meningkatkan usaha-usaha dakwah dan kebajikan yang dilaksanakan oleh pihak jabatan.


Wanita IKRAM Terengganu dibawah Ketua Wanita Ustazah Khadijah Dibok dan beberapa ahli jawatankuasa turut meraikan kehadiran tetamu pimpinan NGO Wanita yang hadir termasuk daripada Haluan, WADAH dan Darul Fitrah selain Pengarah JHEAT sendiri.

Majlis ini juga bersetuju untuk mewujudkan satu kumpulan komunikasi maya e-group bagi memberi peluang kepada setiap organisasi berkongsi program dan kegiatan masing-masing selepas ini. Di samping itu, majlis ini juga bersetuju agar pertemuan kedua di kalangan pimpinan NGO Islam diadakan dengan kerjasama pihak JHEAT selepas ini.


Sebenarnya Pesuruhjaya JHEAT sendiri iaitu Dato' Hj Mohd Rozali bin Saleh juga ingin hadir ke majlis ini tetapi terpaksa berkirim salam kepada semua yang hadir menerusi YDP IKRAM Negeri atas sebab yang tidak dapat dielakkan. Begitu juga dengan Pengarah YADIM Pantai Timur Ustaz Mahadi Awang yang terpaksa hadir urusan keluarga di Kelantan dan meminta agar resolusi majlis dikongsi bersama dengan beliau.

Pertemuan bersejarah ini diakhiri dengan solat maghrib berjamaah yang diimamkan oleh Ustaz Hj Arifin, Pegawai Agama Daerah Kuala Terengganu dan solat hajat diimamkan oleh Ustaz Dr Zawawi Ali, YDP IKRAM Kuala Terengganu. Pimpinan IKRAM Negeri dan Daerah Kuala Terengganu sempat bergambar dengan beberapa NGO yang masih tinggal selepas solat hajat iaitu Haluan, Darul Fitrah dan PEMIKIR. Semoga program ini membuahkan satu gabungan NGO Islam yang kuat di negeri ini selepas ini inshaAllah.


1 comments:


Bismillahir Rahmanir Rahmanirahim

https://keep.line.me/s/e3CDyq3Xh6tfeqo-Q1f-HigFRyCYa00QAvqdfwTEsuI


Salam dan renungan

Web: almawaddah.info

Kepada;

Para rektor universiti, para akademik dan para mufti yang dihormati.

Tan Seri/Datuk Seri/Datin Seri/Datuk/Datin/tuan/puan

Perkara: "Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang bertentangan dengan al-Qur'an dan ayat-ayat al-Qur'an yang bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah" sebagai kajian dan renungan.

Tidakkah al-Qur'an itu asas agama Islam yang diredai oleh Allah dan Rasul-Nya?


Tidakkah Islam itu rahmatan lil Alamin?

Terima kasih dan 'afwan.

Daripada;

Pencinta al-Qur'an sebagai asas agama Islam di Malaysia.






T
...

Pages