Monday, October 01, 2012

History Repeats Itself - Dr Tareq al-Suwaidan


Alhamdulillah baru sahaja selesai mendengar satu pembentangan oleh seorang ulama' terkenal, Shaikh Dr Tariq Suwaidan dari Kuwait tentang satu topik yang sangat penting tentang sejarah jatuh bangun tamadun dan umat. Boleh rujuk dalam ceramah beliau yang disampaikan di Sydney, Australia anjuran FAMSY dll :


Beliau berkongsi kajian sejarah yang beliau lakukan (beliau berlatar belakang PhD in Petroleum Engineering) tentang kebangkitan umat Islam dipimpin Rasulullah s.a.w. lebih 1400 tahun yang lalu ketika berdepan dengan dua buah tamadun manusia yang merupakan 'superpower' ketika itu iaitu empayar Rom di sebelah barat dan empayar Parsi di sebelah timur dunia. Pertembungan dua buah tamadun ini turut dirakam di dalam al-Quran menerusi permulaan surah ar-Rum (ayat 2-4) ketika di fatrah/fasa Makkiyah lagi. Setelah Nabi s.a.w. dan para sahabat r.a. berjaya membina negara di Madinah sebagai fasa awal pembinaan tamadun selepas peristiwa hijrah, walaupun dengan bilangan ketenteraan yang jauh lebih kecil, mampu berdepan dengan tentera 'Arab musyrikin yang lebih besar, malah berjaya menggugat kerajaan Rom menerusi peristiwa Perang Tabuk pada tahun ke-9/10 hijriyyah. Kerajaan Parsi mula jatuh menerusi Perang Qadisiyyah dipimpin Saad bin Abi Waqqas pada tahun ke-12/13 hijriyyah dan kerajaan Rom mula jatuh menerusi Perang Yarmuk yang dipimpin Khalid al-Walid r.a. pada  tahun ke-14 hijriyyah. Kuantiti tentera umat Islam jauh lebih kecil, namun ianya cukup untuk menggerunkan musuh-musuh Islam dan membuka wilayah baru umat Islam menerusi usaha jihad yang gigih dan berterusan.

Sejarah itu berulang. History repeats itself. Penting untuk kita memahami sejarah kerana ianya memandu kita memahami hari ini dan masa depan. Beliau mengatakan tamadun bukan Islam ini bangkit selama beribu tahun tetapi jatuh dengan cepat bila berdepan dengan kebangkitan Islam sejak zaman kenabian Rasulullah s.a.w. 

Rahsia kebangkitan umat ialah apabila mereka menghayati al-Quran kerana itu sahaja mukjizat Rasulullah s.a.w. yang masih kekal dan dipelihara oleh Allah SWT. Dan kerja utama umat yang menuju kebangkitan ialah usaha-usaha dakwah dan jihad yang berterusan. Apabila umat meninggalkan dakwah dan jihad serta disibukkan dengan duniawi, maka tunggulah saat kejatuhan. Peranan ulama' dan pendakwah yang memimpin gerakan kebangkitan umatlah yang menjadi peneraju kebangkitan ini. Dan fokus utama perubahan ini ialah apabila para generasi mudanya ditarbiah dengan suluhan rabbani. Bila pemuda bangkit, itu petanda baik untuk kita.

Trend-trend kehidupan pemimpin umat Islam dan keadaan masyarakat umat Islam di persada sejarah umat juga berulang.

Palestin yang mula dibuka di zaman Umar al-Khattab r.a. kembali jatuh ke tangan tentera Salib bila kepimpinan umat Islam dilekakan dengan kemewahan dunia dan tidak lagi menerajui jihad. Namun, hasil usaha gigih para ulama' antaranya Imam Abu Hamid al-Ghazali r.h. telah berjaya mentarbiah umat, menghidupkan agama dan melahirkan kembali generasi kepimpinan umat Islam yang bangkit meneruskan usaha jihad. Tentera Salib (yang digerakkan oleh kerajaan kristian Rom di bawah Raja England, Raja France dan Raja German) hanya mampu bertahan di Palestin selama 99 tahun sebelum dibuka semula oleh Salahuddin al-Ayyubi r.h. Hanya selepas kelalaian pemimpin & umat Islam serta perancangan rapi musuh-musuh Islam, Palestin kini  berada di tangan Yahudi Zionis.

Mengakhiri ceramah beliau selama 2 jam tersebut, beliau mengingatkan kita tentang peringatan Ar-Rasul s.a.w. di dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad pernah menyebut bahawa umat Islam akan menerusi lima fasa bermula dengan era nubuwwah, khilafah ar-rasyidah, khilafah beraja dan kerajaan umat Islam dipimpin tentera (mulkan jabriyyan). Akhirnya akan kembali semula era khilafah sebagaimana sebelumnya. 

Inilah suasana kita hari ini. Kerajaan rejim tentera di negara umat Islam jatuh satu persatu. Di nusantara iaitu di Indonesia (1998) dan di negara-negara Arab (fenomena Arab Spring 2011) dan terkini di Syria (moga Allah SWT terus berikan kekuatan kepada mujahiddin kita di sana, dan kita terus berusaha hulurkan bantuan). Sehubungan dengan itu, kita perlu terus aktif melibatkan diri dalam menggerakkan 'amal Islami - membina generasi dan masyarakat, membina institusi (termasuk pendidikan, ekonomi, sosial dll) dan memimpin negara - ke arah sebuah harapan baru buat ummah dan kemanusiaan sejagat menegakkan kembali tamadun Islam yang berlandaskan syariat. Berdiam diri atau berpeluk tubuh apalagi terus lalai dengan keduniaan adalah sia-sia. Kita rapatkan ukhuwwah, bina segala usaha menggerakkan perubahan.

Di negara kita, usaha untuk memastikan proses demokrasi yang sihat, kebebasan rakyat dan sistem keadilan antara agenda utama kita yang perlu kita gerakkan menerusi penggemblingan masyarakat madani sebagaimana disebut oleh Presiden IKRAM semasa 3MIT pada 21 September 2012 yang lalu di SRIAA Kerteh. Agar rakyat celik hak dan tanggungjawab. Pilihanraya yang bersih dan adil, kebebasan bersuara dan berhimpun, membenteras rasuah dan ketirisan sumber, keadilan pengagihan ekonomi dan memastikan sistem perundangan yang berintegriti adalah antara iklim sosio-politik yang perlu kita wujudkan di negara ini selain kerja-kerja asasi kita mendidik umat.

Moga kita semua berada di arus perdana perubahan yang diredhai Allah SWT. Moga Allah SWT berikan petunjuk dan ampuni dosa-dosa kita.


FAZ
Bangi Perdana

nota : Dr Tariq Suwaidan akan sampaikan satu ceramah di Masjid UPM Serdang pada hari Sabtu ini 29 September 2012 jam 11.00 pagi - 1.00 tengahari. Moga ini perjumpaan ana yang kedua dengan beliau inshaAllah. Perjumpaan pertama ialah ketika beliau bersama pemimpin-pemimpin pemuda di Kuwait yang datang membuat lawatan rasmi ke Malaysia, antara lain bertemu dengan pimpinan KARISMA pada sekitar tahun 2003 dahulu di KL. Masa belajar di England dulu, sempat jumpa 'anak-anak murid' beliau di kalangan pimpinan MISG US/Canada sahaja..

0 comments:

Pages