Wednesday, November 09, 2005

Secebis Pengajaran Tiga Ghazwah di bulan Syawal

Marilah kembalikan ingatan dan selawat kita kepada Rasulullah s.a.w pagi ini. Moga kecintaan kita kepada baginda menjadikan kita sentiasa tsabat dan istiqomah di atas jalan dakwah ilaAllah...jalan yang kita ingin ittiba' atau ikuti sepanjang hayat..(ali-Imran:31)..moga dengannya Allah al-Ghafur ar-Rahim ampuni segala dosa kita.

Antara kitab Seerah yang pernah ku pelajari pernah menyebut supaya diajarkan kepada anak-anak(atau para remaja sekalian) akan ghazwah atau peperangan yang berlaku di zaman Rasulullah s.a.w. Dalam ingatanku, ada 3 buah ghazwah yang berlaku di bulan Syawal iaitu Perang Uhud, Perang Ahzab dan Perang Hunain. Ketiga-tiga ghazwah ini mempunyai latarbelakang dan peristiwa pengajarannya yang tersendiri.

Perang Uhud sekitar 3 Hijrah mengingatkan kita akan kekalahan umat Islam di pusingan pertama hasil kealpaan mereka yang cintakan dunia....melihat tinggalan perang yang mengabui mata sehingga melupakan pesanan baginda ar-Rasul s.a.w. untuk tetap bertahan di bukit Uhud. Kesannya begitu tinggi kepada perjuangan umat generasi pertama mendirikan negara nubuwwah. Syahidnya As'adullah, mujahid Sayyidina Hamzah dan juga murabbi Mus'ab bin Umair serta kecederaan yang dialami oleh Rasulullah s.a.w. sendiri cukup meninggalkan kesan kepada umat Islam. Maksud firman Allah dalam

ali-Imran:152 : "...diantara kamu ada yang mengkehendaki dunia dan diantara kamu (ada) pula yang mengkehendaki akhirat.."

ali-Imran:153 : (ingatlah) ketika kamu lari dan tidak menoleh kepada sesiapapun, sedang Rasul(muhammad) yang berada di antara(kawan-kawan)mu yang lain memanggil kamu(kelompok yang lari), kerana itu Allah menimpakan kepadamu kesedihan demi kesedihan...."

Begitu juga dengan Perang Hunain yang berlaku sekitar 8 Hijrah selepas Fathul Makkah...umat Islam hampir tewas di pusingan pertama dek kerana perasaan terlalu yakin dengan bilangan yang ramai iaitu sekitar 12,000 orang - peperangan pertama paling ramai disertai umat Islam..maka Allah jadikan sebagai satu tajribah tarbawiah buat umat...lihat surah Taubah:25 maksudnya :

"Sungguh, Allah telah menolong kamu (mukminin) di banyak medan perang, dan (ingatlah) Perang Hunain, ketika jumlahmu yang besar itu membanggakan kamu, tetapi (jumlah yang banyak itu) sama sekali tidak berguna bagimu, dan bumi yang luas itu terasa sempit bagimu, kemudian kamu berbalik ke belakang dan lari tunggang langgang."

Untuk melayakkan kita mendapat kemenangan daripada Allah SWT bukan hanya dengan kekuatan bilangan dan harta benda tetapi perlulah memenuhi syarat utama kejayaan iaitu keimanan dan ketaqwaan yang sebenar-benarnya kepada Allah SWT.

Ini mengingatkan kita juga dengan kebimbangan Umar al-Khattab r.a. apabila beliau menasihati batalion tentera umat Islam ketika percubaan membuka bumi Mesir dimana beliau menyatakan, "Yang aku bimbang bukannya musuh-musuh kamu tetapi kekalahan disebabkan maksiat-maksiat yang dilakukan oleh kamu sendiri."

Perang Ahzab pula atau juga dikenali sebagai Perang Khandak yang berlaku pada awal Syawal 5 Hijrah dan berlanjutan hingga ke bulan Zulkaeddah memperlihatkan kemenangan yang cukup strategik umat Islam berdepan tentera bersekutu kafir Quraisy dibantu kaum Yahudi yang telah diusir daripada bumi Madinah. Strategi ketenteraan yang diilhamkan oleh Salman al-Farisi r.a. ini cukup unik sekali sehingga tidak terjangkau oleh kafir bersekutu Quraisy...walaupun jumlah kecederaan dan kematian hanya sedikit, tetapi impak nya cukup besar apabila tentera bersekutu kafir diporakperanda oleh strategi licik umat Islam dan bantuan Allah SWT..hingga mereka terus mundur dari berperang (lihat al-Ahzab:25). Kemenangan ini jugalah menyebabkan dakwah Islam tersebar luas ke serata tanah Arab dengan misi-misi dakwah yang diutus oleh Nabi s.a.w. khususnya selepas berlakunya Perjanjian Damai Hudaibiah di tahun ke-6 Hijrah.

Kerana itulah....kita juga bersama-sama tadabbur tentang bait-bait takbir hari raya di 1 Syawal.

...Allahu Akbar Allahu Akbar walilLahilHamd.

Kerteh, 7 Syawal 1426H.

0 comments:

Pages