Monday, November 12, 2012

Pemimpin Masa Depan - Cabaran & Hambatan

Alhamdulillah saya sempat menghadiri satu perkongsian oleh salah seorang ahli Parlimen DPI RI dari Partai Keadilan Sejahtera (PKS) iaitu Dr Mordani semalam. Program yang dihadiri rata-rata anak-anak muda mahasiswa, beliau yang baru berusia 44 tahun itu telah menyampaikan satu perkongsian yang cukup menarik untuk dihayati bersama.

Beliau memulakan dengan menegaskan satu hakikat dakwah iaitu proses transformasi untuk membawa masyarakat hari ini secara individu dan sosial serta budaya dan struktural berdasarkan ayat di dalam surah ar'Ra'd:11 yang bermaksud : "Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri." ke arah sebuah masyarakat madani. Gesaan beliau ini mengingatkan saya tentang ayat yang sama yang dipopularkan oleh dua orang tokoh reformis Melayu di era permulaan kemerdekaan negara kita sekitar lewat tahun 50an dan 60an iaitu almarhum Dr Burhanuddin al-Helmi dan almarhum Prof Dr Zulkifli Muhammad di dalam banyak penulisan mereka. Perubahan ke araha masyarakat madani ini akan berlaku bila rakyat itu sendiri mahukan perubahan dan melakukan perubahan bersama-sama.

Transformasi masyarakat ini akan berlaku dengan satu strategi besar dakwah (grand strategy) yang bersifat mobilisasi vertikal (menegak) dan mobilisasi horizontal (melebar). Mobilisasi vertikal ini memerlukan kepada keperluan membina kredibiliti dan pengaruh pendakwah untuk menjadi seorang yang mempunyai keupayaan dan ketokohan di dalam diri mereka sebagai pemimpin yang boleh diterima dan berfungsi di dalam masyarakat. Ini juga boleh kita katakan sebagai keupayaan membina keupayaan diri atau capability building. Manakala mobilisasi horizontal pula menuntut keperluan penguasaan seorang pendakwah selaku pemimpin masyarakat yang mampu memberikan kesan dan pengaruh agar boleh diterima oleh masyarakat. Ini juga boleh kita sebutkan sebagai capacity building yang diperlukan seorang pemimpin di dalam menempatkan diri di dalam masyarakat.

Ini memerlukan kepada pembinaan kader kepimpinan dan ianya merupakan proses yang bersifat tadarruj atau beransur-ansur untuk mencapai tingkat kepakaran yang tinggi. Beliau menyebutkan ada 4 fasa pembinaan ini iaitu bermula dengan (1) Pemantapan diri (2) Pemantapan kemampuan (3) Pemantapan peranan (4) Kearifan filosofis. Tingkat tertinggi ini akan meletakkan seorang pemimpin itu boleh diterima masyarakat dengan secara natural tanpa memerlukan tekanan mahupun sogokan daripada sesiapa tetapi rakyat sudah boleh menerima kehadiran pemimpin yang mempunyai kearifan filosofis ini hasil proses pematangan pemimpin di dalam masyarakat. Syarat kepimpinan ini meliputi dua aspek utama iaitu sifat-sifat dalaman pemimpin (dakhiliyyah) dan sifat-sifat kemasyarakatan (jamahiriyyah). Beliau menekankan peri pentingnya pemimpin memahami bahawa jika mereka mahu menjadi pemimpin masyarakat, sebenarnya mereka perlu menjadi pelayan atau khadam kepada rakyat.

Mobilisasi kader kepimpinan ini boleh menembusi TIGA komponen utama di dalam masyarakat  iaitu samada di dalam sektor awam selaku penentu dasar kerajaan, sektor swasta selaku pelaku korporat dan pelaburan yang akhirnya mempengaruhi dasar sesebuah kerajaan mahupun sebagai aktivis sektor ketiga iaitu masyarakat madani (civil society) menerusi pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan. Kesemua sektor ini penting bergantung kepada kebangunan kematangan sesebuah masyarakat itu sendiri.

Rasulullah s.a..w. sendiri telah menunjukkan kekuatan kepimpinan baginda s.a.w. sejak sebelum dilantik menjadi rasul lagi. Antara contohnya ialah penglibatan beliau di dalam Peperangan Fijar dan pelantikan beliau sebagai pemimpin yang meletakkan kembali hajar al-aswad di Kaabah. Pemimpjn sebenarnya perlu bersifat sederhana dan mampu menguasai akhlak mereka di depan manusia lain. Mengambil contoh juga kemenangan calon Gabenor Jakarta iaitu Pak Joko Widodo yang sifat dan karakter beliau sendiri sangat disenangi oleh segenap lapisan masyarakat di Jakarta.

Dr Mordani juga berkongsi LIMA bekalan penting untuk menjadi pemimpin iaitu :-

(1) Kekuatan ruh (quwwatul ruhi) dimana dengan kekuatan hubungan dengan Allah SWT, yang jauh akan jadi dekat, yang berat akan jadi ringan, yang pandai mampu merendah diri dan yang jahil mampu berusaha untuk terus belajar.

(2) Kekuatan pemikiran (quwwatul fikri) dimana seorang pemimpin mesti bukan sahaja kuat membaca tetapi juga mampu menulis dengan baik dan memberi kesan dan pengaruhnya di dalam masyarakat.

(3) Kekuatan amal (quwwatul amal) iaitu pemimpin perlu melakukan amal-amal yang terbaik untuk dirinya dan masyarakat. Ini selaras dengan tuntutan rabbani sebagaimana yang dinyatakan di dalam surah al-Mulk:2

(4) Kekuatan kewangan (quwwatul maali) dimana seorang pemimpin perlu mempunyai kekuatan kewangan dan mampu berdikari, malah digalakkan untuk menjadi seorang usahawan sebagaimana para sahabat besar Rasulullah s.a.w. sendiri.

(5) Kekuatan sosial (quwwatul ijtima'ie) dimana seorang pemimpin mampu memberikan sumbangan dan manfaat yang terbaik untuk rakyat dan masyarakat. Sabdaan Nabi s.a.w. mengingatkan kita agar menjadi manusia yang terbaik dengan menjadi seorang yang banyak memberikan manfaatnya kepada orang lain serta mampu bergaul dengan rakyat dengan penuh kesabaran.

Beliau ditanya oleh beberapa anak muda bagaimana PKS mampu melakukannya di Indonesia. Jawapan mudah beliau ialah :- (1) just do it, segera lakukan projek masyarakat & buat penilaian (2) upayakan orang muda untuk dinanisme masyarakat, jangan serah semua kepimpinan pada orang tua !






0 comments:

Pages