Program Semarak Ramadan IKRAM Kemaman 1433H

Mari bersama-sama meningkatkan amalan dan memberikan sumbangan kepada mereka yang lebih memerlukan..

Infaq fi sabilillah

Dan kelak akan dijauhkan daripada neraka orang yang paling bertakwa iaitu orang yang menafkahkan hartanya untuk membersihkan dirinya... (QS Al-Lail : 17-20)

Suburkanlah iman

Jadikan Ramadan sebagai bulan madrasah jiwa dan ruhani..

Remaja Raikan Ramadan

Nantikan kemunculannya di lokaliti-lokaliti terpilih seluruh Kemaman!

This is default featured slide 5 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions..

Sunday, October 11, 2009

Kepimpinan JIM Terengganu 2009-2011


Barisan AJK JIM Terengganu yang baru untuk sesi 2009-2011.

Duduk dari kiri : Masita Abdullah, Khatijah Atan, Yong Rafidah Salleh, Zameram Jusoh, Khairudin Mohamad, Fakhrul Anuar Zulkawi, Abas Sahat, Abdul Aziz Abdullah (Pengerusi Tetap) dan Norfizam Said

Berdiri dari kiri : Muzahar Hitam, Zulkifli Ali, Ahmad Sabri Mohd Yazid, Mohd Sufian Mat Ali, Ahmad Ibrahim Mohamad (Timb. Pengerusi Tetap) dan Ammar Shamsudin

Wednesday, September 16, 2009

Kepimpinan JIM Dungun 2009-2011

Kepimpinan JIM Dungun 2009-2011 yang telah dipilih semasa MAD ke-19 pada 12 September 2009 yang lalu.

Sunday, September 13, 2009

Bersama Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan


Saturday, September 05, 2009

JIM perlu popularkan Syariah bagi mengatasi kecelaruan umat

Menjadi kewajiban bagi JIM dan ahli JIM untuk menjelaskan dan menjawab tohmahan2 yang tidak tepat, tidak betul dan menyeleweng terhadap isu-isu syariah. Itu semua kena beri saham. Isu mendaulatkan syariah di Malaysia pasti akan mengundang tentangan di kalangan liberalis-rasionalis seluruh dunia (kerana dunia dikuasai dan diterajui secara unipolar oleh fahaman liberalis-kapitalis-rasionalis) termasuk di kalangan umat Islam. JIM perlu terus giat mempopularkan syariah secara umumnya dan khususnya menjawab kebencian dan kecelaruan fahaman yang berkaitan perlaksanaan undang-undang Islam sebagaimana tertera cantik di dalam RJ.
 
Isu kewangan Islam yang merupakan satu aspek ekonomi Islam yang mesra perniagaan dan menentang riba yang diamalkan oleh sistem ekonomi konvensional dunia hari ini telah mula diterima oleh masyarakat dunia. Ini juga sebahagian daripada syariah. Malaysia sudah menjadi pelopor dunia. Menjadi kewajipan kepada pakar-pakar ekonomi serta pengamal untuk terus berjuang mewujudkan satu sistem alternatif ekonomi yang adil buat dunia. Dan kita mengharapkan agar sistem kewangan Islam menjadi pilihan utama dunia menggantikan sistem kapitalis yang ribawi. Orang bukan Islam boleh buat pilihan yang mana satu yang terbaik untuk mereka. Tetapi untuk umat Islam, tiada kompromi melainkan melaksanakan sistem Islam.
 
Isu makanan halal juga menjadi isu dunia. Syarikat-syarikat besar mula membuka mata bagi menarik pengguna muslim khususnya. Ini juga isu syariah. Menjadi kewajipan bagi kerajaan menjelaskan konsep serta piawaian halalan toiyyiban di dalam industri kepenggunaan dan pemakanan.
 
Isu nilai-nilai kemanusiaan juga isu syariah. Islam menjaga hak dan nilai-nilai kemanusiaan. Sebab itu Islam mengangkat tinggi nilai-nilai kemanusiaan sejagat seperti isu kebebasan, syura, keadilan dan persaudaraan sejagat. Namun perlu diperjelaskan kepada puak liberalis tentang batas-batas yang digariskan di dalam syariah.
 
Isu wanita juga isu syariah. Islam memartabatkan wanita di tempat yang mulia dan penuh dengan integriti serta menjamin hak-hak wanita di dalam masyarakat. Namun perlu diperjelaskan kepada puak liberalis tentang asas-asasnya.
 
Isu hiburan dan kesenian juga isu syariah. Masyarakat Islam bukan hanya sebagai masyarakat yang beribadat dan mengerjakan amal-amal sunat serta masyarakat yang serius dan sentiasa bekerja. Tidak ada ruang baginya untuk berhibur dan bermain, ketawa atau bergembira, bernyanyi dan bermain muzik. Namun masyarakat Islam tidak menjadikan kehidupan keseluruhannya sebagai hiburan dan permainan yang tiada batasan moralnya.
 
Isu moral dan integriti juga isu syariah. Islam menolak dengan serius semua jenis kejahatan yang ditolak fitrah yang sejahtera dan akal yang waras. Sementara itu Islam menerima serta memberi dorongan terhadap semua jenis akhlak yang terpuji yang sesuai dengan fitrah dan akal yang sihat yang mana individu dan masyarakat akan dapat hidup bahagia dengan dominasinya.
 
Malah menjadi lebih utama lagi untuk kita menjelaskan kenapa umat Islam mahukan hak mereka sebagai seorang Muslim berdasarkan asas akidah dan keimanan untuk melaksanakan Islam sepenuhnya dengan mengamalkan undang-undang syariah di dalam aspek pensyariatan dan perundangan.
 
Menurut al-Qaradawi :
"Syariat adalah manhaj yang telah diciptakan oleh Allah SWT bagi menyusun kehidupan Islam berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah. Sesebuah masyarakat tidak menjadi masyarakat Islam melainkan dengan melaksanakannya serta merujuk kepadanya didalam seluruh aspek kehidupan sama ada ibadat atau muamalat. Adalah tidak logik jika seseorang Muslim mengambil kewajipan puasa dari al-Quran, tetapi menolak kewajipan solat di dalam al-Quran. Kita tidak boleh menggambarkan bagaimana seseorang itu menerima ayat-ayat yang berkenaan dengan pengharaman riba ! "
Begitulah juga dengan pengharaman arak !
 
Pensyariatan atau perundangan merupakan nilai kekuatan utama bagi sesebuah masyarakat. Ramai liberalis fobia dengan undang-undang jenayah atau hudud dan penghukuman semata-mata sepertimana yang difahami dan digambarkan oleh sebahagian orang termasuk di dalam isu sebatan atas jenayah hudud. Mereka menggangap hukuman sebatan yang dikenakan kepada penzina umpamanya sebagai hukuman yang zalim kerana mereka lebih mementingkan hak individu daripada hak masyarakat. Liberalis yang mewakili jahiliah hari ini lebih mementingkan perkara-perkara yang berbentuk fizikal berbanding  dengan perkara-perkara yang berbentuk logikal. Lantaran itu mereka amat menggeruni kemudaratan yang dikenakan ke atas individu disebabkan ia berlaku di hadapan penglihatan mereka tetapi mereka tidak merasai bahaya yang lebih besar yang bakal menimpa masyarakat dan generasi akan datang.
 
Pensyariatan hudud perlu difahami dengan perspektif yang tepat. Menurut al-Qaradawi lagi, kesalahan zina tidak pernah tsabit semasa zaman Rasulullah s.a.w. dan zaman Khulafa ar-Rasyidun melainkan melalui pengakuan. Selain itu, Islam memberi kesempatan untuk bertaubat. Siapa yang taubatnya sungguh-sungguh maka hukuman hudud tersebut akan gugur menurut pendapat yang terkuat. Gugurnya hukuman hudud tidak bererti  gugurnya hukuman keseluruhannya. Sebaliknya ianya berpindah kepada hukuman yang bentuk ta'zir yang sesuai seperti yang diputuskan di dalam mahkamah.
 
Syariat sangat menjaga rahsia dan memaafkan hudud kerana Islam tidak terburu-buru menjatuhkan hukuman dan tidak tergesa-gesa melaksanakannya terhadap mereka yang melanggarinya. Islam tak ajar kita pasang perangkap atau letak kamera rahsia untuk mengambil gambar mereka yang melakukannya. Islam juga tak guna polis bahagian jenayah atau mata-mata gelap untuk mengintip mereka yang melanggar Syarak untuk menangkap mereka ketika melaksanakannya!
 
Kita perlu yakinkan masyarakat Islam bahawa mereka akan hidup harmoni di bawah naungan Syariat bermula dengan pemurniaan akidah dan keimanan. Untuk ini berlaku, proses kesedaran serta pendidikan umat perlu dilipatgandakan agar umat sendiri menuntut hak mereka dan berusaha mendapatkan kuasa pemerintahan agar kembali kepada umat Islam yang ikhlas mahukan syariat dilaksanakan dan tidak berterusan di tangan mereka yang liberalis, oportunis dan berkepentingan. Institusi kehakiman syariah juga perlu dipertingkatkan kepakaran dan prasarananya. Prosesnya sedang bergerak di seluruh dunia Islam. Yang berbeza mungkin strategi rancangan pencapaiannya. Malaysia mempunyai keunikan perlembagaan yang menjadikan Islam bukan sekadar agama rasmi (official religion)seperti difahami sebahagian orang tetapi "Islam is the religion of the federation". Untuk itu peluang untuk menjadikan syariah sebagai rujukan tertinggi umat Islam di Malaysia, perlu diperjuangkan bersama oleh kerajaan, para ulama' dan pakar undang-undang, pendakwah dan pengamal undang-undang Islam serta sokongan umat Islam yang digerakkan oleh civil society yg dipelopori oleh gabungan NGO Islam termasuk JIM.


Membuka Aib Calon Pemimpin ? - Memastikan Calon Bersih di PPN 2009

 
Salam,
 
Saya tertarik dengan satu wawancara yang dipetik daripada akhbar HARAKAH keluaran 28-30 Ogos 2009 bersama Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di kediamannya di Rusila, Marang selepas solat sunat terawih 25 Ogos 2009 yang lalu oleh wartawan Harakah Terengganu, Khairul Azlam Mohamad. Antara soalan yang ditanya ialah :
 
Sempena sambutan bulan Ramadan yang mulia ini, apakah pesanan Tuan Guru kepada ahli dan seluruh rakyat amnya?
 
TGAHW : " Pesanan saya, kita mestilah, disamping menunaikan ibadat puasa dengan ikhlas dan memelihara adab-adab, bukan sahaja yang wajib menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa, termasuk juga perkara yang tidak membatalkan puasa, tetapi membatalkan pahala puasa.
 
Maka hendaklah kita menjaga sebaik-baiknya, menjaga lidah, menjaga mata dan telinga, menjaga hati kita dengan batas-batas yang dihadkan oleh Islam.
 
Saya ingin menarik perhatian, di dalam pilihanraya kecil di Permatang Pasir sebagai contoh, Umno dan Barisan Nasional mengatakan kita tidak boleh menyebut keaiban seseorang, sedangkan pilihanraya adalah suatu amanah yang besar untuk rakyat memilih pemimpin. Dimana dalam amanah memilih pemimpin kita wajib mendedahkan peribadi orang yang hendak dipilih itu, adakah ia seorang yang benar-benar adil, tidak fasik (berterusan melakukan dosa-pen) dan tidak melakukan perkara-perkara yang menjatuhkan maruah.
 
Itu satu tanggungjawab agama yang tidak termasuk dalam perkara yang membatalkan pahala puasa. Ini jelas diperkatakan oleh ulama-ulama di dalam kitab mereka, khususnya di dalam perkara yang seperti ini.  Bahkan di dalam perkara saksi di mahkamah,  saksi di dalam perkahwinan pun kita kena dedahkan peribadi seseorang. Inikan pula untuk memilih wakil rakyat dalam satu kawasan yang mewakili rakyat untuk membuat dasar dalam Dewan Undangan Negeri (DUN). Maka ia perlu ditelitikan di dalam perkara maruah dan peribadi pemimpin ini. "
 
Dato' Seri Anwar Ibrahim, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dipetik di dalam akhbar SIASAH 30 Ogos - 5 September 2009, bila ditanya wartawan mengapa peristiwa ADUN meninggalkan parti sering berlaku di kalangan wakil rakyat PKR, juga menyebut :
 
" Dengan rasa malu, saya mengaku bahawa disebabkan keadaan pilihanraya umum yang lalu, kita agak tergopoh-gapah dalam meneliti nama-nama calon dan terdapat banyak kelemahan dalam sistem penapisan calon PKR. Kita mesti memperbaiki sistem tersebut untuk memastikan calon yang dipilih pada masa depan mestilah mempunyai tauliah yang baik dan taat setia kepada parti dan perjuangannya."
 
_________________________________________________________________________________________
 
Di dalam pencalonan jawatan tertinggi JIM samada di Pusat, Negeri, Daerah serta Wanita juga, saya yakin peribadi calon perlu diteliti berdasarkan fakta yang sahih serta sumber yang telah diperiksa. Apalagi pemilihan dibuat di dalam suasana dan persekitaran di mana ahli-ahli di daerah semasa Mesyuarat Agung Daerah (MAD) tidak mengenali calon-calon terutama sekali calon-calon Negeri dan Pusat. Malah lebih menyedihkan ahli-ahli sekadar mengiyakan sokongan yang selalunya berlangsung di penghujung mesyuarat ketika semua yang hadir mula resah untuk balik ke rumah masing-masing tanpa melakukan proses syura yang tenang dan serius. Lagipun mungkin pada fikiran dan pandangan kita ahli-ahli serta pimpinan kita semuanya baik-baik dan ikut tarbiah belaka.
 
Di sinilah pentingnya mekanisma tarbiah dan syura. Tarbiah memastikan calon yang dipilih melepasi syarat (rujukan minima naqib atau restu yang dipertanggungjawabkan) manakala syura memastikan pemilihan dilakukan dengan penuh bertanggungjawab. Mekanisma ini perlu berlangsung dengan baik kerana sekiranya ianya tidak berlangsung dengan baik boleh mengakibatkan kita memilih calon-calon yang tidak menepati ciri quwwah wa amanah yang dituntut oleh Islam.
 
Semoga kita melaksanakan mekanisme di atas dengan sebaik-baiknya serta adil di dalam memilih kepimpinan yang terbaik untuk JIM, inshaAllah. Dalam masa yang sama kita juga perlu menilai secara kritis dari masa ke semasa sistem pemilihan yang sedia ada agar ianya menepati neraca rabbani.
 
Fakhrul
Bangi Perdana
9 Ramadhan
 


Tazkirah Merdeka : Bila Pemimpin dan Pengikut Abaikan Syariat

Sempena sambutan kemerdekaan pada hari ini, elok juga kita ambil iktibar daripada peringatan rabbani di dalam al-Quran menerusi maksud surah Saba', ayat 31-33 :
 
31 : Dan orang-orang kafir berkata, "Kami tidak akan beriman kepada al-Quran ini dan tidak (pula) kepada kitab yang sebelumnya". Dan (alangkah mengerikan) kalau kamu melihat ketika orang-orang yang zalim itu dihadapkan kepada Tuhannya, sebahagian mereka mengembalikan perkataan kepada sebahagian yang lain, orang-orang dianggap lemah berkata kepada orang-orang yang menyombongkan diri, "Kalau tidaklah kerana kamu tentulah kami jadi orang-orang yang mukmin."
 
32 : Orang-orang yang menyombongkan diri berkata kepada orang-orang yang dianggap lemah , "Kamikah yang telah menghalangimu untuk memperoleh petunjuk setelah petunjuk itu datang kepadamu? (Tidak) Sebenarnya kamu sendirilah orang-orang yang berbuat dosa."
 
33 : Dan orang-orang yang dianggap lemah berkata kepada orang-orang yang menyombongkan diri, "(Tidak) Sebenarnya tipu daya(mu) pada waktu malam dan siang (yang menghalangi kami) ketika kamu menyeru kami agar kami kafir kepada Allah dan menjadikan sekutu-sekutu baginya." Mereka menyatakan penyesalan ketika mereka melihat azab. Dan Kami pasangkan belenggu di leher orang-orang yang kafir. Mereka tidak dibalas melainkan sesuai dengan apa yang telah mereka kerjakan.
 
Menurut Mukhtasar Tafsir Ibnu Katsier di dalam mentafsir ayat-ayat ini menyebutkan :
 
Allah SWT berfirman tentang orang-orang kafir yang angkuh, sombong tetap membangkang tidak mahu beriman kepada al-Quran dan kepada apa yang diberikan di dalamnya tentang Hari Kebangkitan dan kehidupan Akhirat. Allah berfirman: "Sekiranya engkau dapat melihat mereka kelak di hari kiamat ketika mereka dihadapkan kepada Tuhan dan berdiri dengan wajah sikap yang hina dina, saling tuding menuding di antara sesama mereka, sebahagian melemparkan tuduhan dan sesalan kepada sebahagian yang lain.
 
Berkata golongan yang dianggap lemah di antara mereka kepada golongan yang menyombongkan diri sebagai pemimpin dan penguasa : "Kalau tidaklah kerana kamu yang menghalangi kami, tentulah kami menjadi orang-orang yang beriman kepada Rasul dan Kitab yang dibawanya." Berkata golongan yang pernah menjadi pemimpin dan penguasa menjawab kata-kata bekas-bekas pengikut mereka : "Kamikah yang telah menghalangi kamu dari beriman kepada Rasul dan kepada Al-Quran sesudah datang petunjuk itu kepada kamu? Tidak, kamu sendirilah yang tidak mengendahkan keterangan-keterangan dan bukti-bukti kebenaran petunjuk itu dan kamu tanpa berfikir dan menggunakan akal mengikuti tuntunan kami dan kamu sendirilah yang sebenarnya yang patut menanggung akibat kebodohan dan dosa kamu".
 
Berkata lagi golongan yang dianggap lemah dan pengikut itu menyanggah : "Tidak, bahkan tipu dayamu yang kamu lakukannya terhadap kami di waktu malam mahupun siang serta rayuanmu mengajak kami kufur kepada Allah dan mengada-adakan sekutu-sekutu bagi-Nya, itulah yang menyesatkan kami dan menjadikan kami tuli dan buta terhadap kebenaran yang dibawa oleh Rasul Tuhan dan difirmankan-Nya di dalam al-Quran".
 
Demikianlah kedua golongan itu, yang bekas pemimpin mahupun yang bekas pengikutnya menyatakan penyesalan mereka tatkala mereka melihat azab dan Allah memasang belenggu di leher orang-orang kafir dan demikianlah Allah tidak membalas hamba-hamba-Nya melainkan dengan pembalasan yang setimpal dengan apa yang mereka telah kerjakan.
 
Rumusan :
 
Semoga Allah SWT menyelamatkan kita semua daripada azab api neraka jahannam yang maha dahsyat. Orang-orang mukmin yang berdosa ketika di dunia tetapi tidak bertaubat ataupun ketika dihisab tidak diampunkan Allah SWT juga tidak terlepas daripada azab ini. Mereka diberi minum bisa kala jengking ketika kehausan yang teramat sangat bila menanggung azab ini. Bagi orang kafir pula minuman mereka ialah logam yang bergelegak dan nanah.
 
Pemimpin dan penguasa yang menyesatkan akan disowned atau berlepas diri daripada pengikut-pengikut mereka daripada perbuatan mereka di dunia. Para pengikut mereka pula sangat menyesal dan segala perdebatan serta penyesalan tiada lagi guna ketika di Akhirat. Kesilapan mereka memilih pemimpin ketika di dunia sudah tiada gunanya lagi. Setiap manusia telah diberikan akal untuk berfikir, mendengar seruan rabbani dan memilih jalan yang benar ketika di dunia.
 
Hakikatnya ketika di dunia inilah kita perlu menghayati dan mendaulatkan syariat Allah. Kita semua pemimpin, sekurang-kurangnya sebagai pemimpin keluarga, jabatan, organisasi, masyarakat, negara dan dunia amnya. Bersamalah hayati kehidupan bersyariat dan berjuang untuk mendaulatkannya ketika hayat masih ada.
 
Antara doa yang digalakkan dibaca ketika di bulan Ramadhan ini ialah doa untuk dilepaskan daripada belenggu api neraka.
 
"Allahuma a'tiq riqo bana wa riqo bi aabaa ina wa ummahaatina minnannar"
(Ya Allah lepaskan leher-leher kami dan leher-leher para ayah dan ibu kami daripada api neraka)
 
Sama-samalah kita memperbanyakkan doa dan menghayati bait-bait doa tersebut agar Ramadhan kali ini mampu mendidik jiwa kita agar akhirat terasa dekat dengan hati kita dan agar dunia tidak menguasai kita. Wallahu a'lam.
 
Fakhrul
Bangi Perdana
10 Ramadhan 1430H


Konflik Islam dan Liberalisme - Bilakah Penghujungnya?

Di pagi Sabtu 15 Ramadhan 1430H ini, elok saya berkongsi penulisan saya mengenai isu syariat Islam mendepani faham Liberal dunia. Moga ada manfaatnya.
 
Fakhrul
 

KONFLIK ISLAM DAN LIBERALISME – BILAKAH PENGHUJUNGNYA?

 

"Preserve the liberal space". Itulah salah satu tajuk ungkapan sidang editor akhbar mingguan The Edge keluaran 31 Ogos – 6 Sept 2009. Akhbar The Edge ialah sebuah akhbar mingguan yang membawa berita-berita perniagaan dan pelaburan yang diterbitkan oleh The Edge Communications Sdn Bhd yang beribu pejabat di Damansara Perdana, Petaling Jaya. Sidang editor pada kali menyentuh kes Kartika Sari Dewi Shukarno, seorang wanita muslim yang dijatuhkan hukuman enam kali sebatan atas kesalahan meminum arak di khalayak oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan baru-baru ini. Mereka mempersoalkan hak kebebasan individu (personal liberties) yang pada pengamatan mereka akan membawa imej yang rosak di persada kaca mata dunia dan akan memberikan kesan kepada lanskap sosial di negara kita pada masa akan datang.

 

Di dalam penulisan saya sebelum ini saya ada menyebut tentang pertembungan dua ideologi utama dunia hari ini iaitu Islam dan fahaman Liberalisme dan ini akan menjadi semakin sengit dan getir bagi memastikan ke arah mana dominasi fikrah manusia akan berpihak. Islam yang berpaksikan kepada kalimah tauhid Lailahaillallah mengangkat kemutlakan hakimiah Allah SWT berdepan dengan undang-undang dunia ciptaan manusia yang berdasarkan hawa nafsu manusia semata-mata.

 

Engagement di antara orang Islam dengan mereka yang menentang Islam telah berlaku sejak lama lagi. Dialog duta tentera Islam Rubaie ibn Amir terhadap Rustum ketua panglima perang Farsi perlu diperingatkan kembali. Apabila Rustum menyoal apakah dasar Islam di dalam memerangi mereka, Rubaie dengan tenang menjawab :

 

"Kami didatangkan untuk membebaskan perhambaan sesama manusia kepada perhambaan kepada Allah semata-mata, membebaskan manusia daripada kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam dan membebaskan manusia daripada kesempitan dunia kepada keluasan syariat Islam serta keluasan hari akhirat."

 

Mesej dakwah yang jelas dan nyata telah dikemukakan oleh Rubaie kepada musuh-musuh Islam. Bagaimana pula dengan engagement umat Islam hari ini bila berdepan dengan mereka yang tidak memahami Islam, apalagi mereka yang terang-terang memusuhi Islam?

 

Liberalisme yang berasal dari Barat memperjuangkan hak individu yang mutlak (individual sovereignty) di dalam menentukan prinsip-prinsip moral kehidupan mereka. Ini berlaku setelah fahaman ini menolak pengaruh gereja yang menentang kemajuan sains di Barat sekitar abad tersebut dengan bermulanya era sekularisme Barat iaitu falsafah bahawa sistem pemerintahan negara dan agama hendaklah diasingkan. Antara pengasas fahaman liberalisme ini ialah ahli-ahli falsafah mereka di awal abad ke-18 seperti John Locke, Adam Smith dan Jeremy Bentham. Namun fahaman mereka disanggah oleh fahaman Sosialisme menjelang awal abad ke-19 yang menentang kezaliman feudal dan proletariat serta kerakusan kapitalis. Mereka diwakili oleh ahli-ahli falsafah seperti Karl Marx dan Max Weber. Mereka memperjuangkan hak sama rata rakyat di dalam agihan ekonomi dan pentadbiran dikawal sepenuhnya oleh kerajaan bagi menjamin keadilan sosial untuk rakyat.

 

Sengketa antara dua fahaman besar ini berlangsung selama lebih satu abad sehingga mencetuskan Perang Dunia Pertama dan Kedua di antara Negara-negara yang berlainan fahaman ini. Akhirnya konflik ini membawa kepada Perang Dingin (Cold War) khususnya di antara Amerika dan sekutu Baratnya yang mewakili Liberal-Kapitalis dengan Kesatuan Soviet dengan sekutunya yang mewakili Komunis-Sosialis. Konflik ini berlanjutan sehingga jatuhnya sistem Sosialis tersebut pada penghujung abad ke-20 dengan runtuhnya Kesatuan Soviet di tangan dasar Glasnost dan Perestroika di bawah pimpinan Presiden Gorgachev ketika itu dan runtuhnya Tembok Berlin pada tahun 1989. Selepas itu, Presiden Amerika, pada tahun 1990 George W. Bush telah mengisytiharkan gagasan Tatabaru Dunia atau New World Order iaitu satu sistem pemerintahan politik dan ekonomi unipolar dunia yang diterajui oleh fahaman Liberal-Kapitalis di atas kejatuhan sistem komunis-sosialis. Sistem ekonomi kapitalis yang berdasarkan konsep free-market economy mula dianut oleh negara-negara yang sebelumnya melaksanakan dasar  state-controlled economy seperti negara-negara Rusia dan China. Dasar penswastaan atau privatisation pula mula menjadi popular menggantikan dasar pemilikan negara atau nationalisation.

 

Dasar fahaman liberalisme di awal abad ke-20 tidak terhenti kepada sistem politik dan ekonomi tetapi juga mula menular ke aspek prinsip-prinsip moraliti masyarakat dengan meletakkan hak asasi individu (individual rights) untuk melakukan apa sahaja yang mereka inginkan dengan mengenepikan hak masyarakat (public rights). Ini melahirkan kefahaman baru dalam neraca penilaian masyarakat barat terhadap prinsip-prinsip moraliti yang sebelumnya dianggap satu bentuk kejahatan (vices) serta kesalahan jenayah seperti meminum arak, melakukan aktiviti penzinaan serta seks luar tabie seperti homoseksual dan lesbian. Setelah diperdebatkan akhirnya kejahatan-kejahatan ini dihalalkan oleh negara-negara Barat dan tidak lagi dianggap satu kesalahan jenayah. Fahaman ini juga telah membentuk gagasan Deklarasi Hak Asasi Manusia 1948 yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Kesan ini juga dapat dilihat di dalam perjuangan menuntut kebebasan wanita (women liberation) di Barat yang mahukan hak sama rata dengan lelaki dan sebagainya.

 

Kesannya fahaman ini mula meresap masuk di dalam pemikiran umat Islam sendiri. Pasca imperialis Barat mewujudkan negara-negara umat Islam mengenepikan syariat yang sebelumnya merupakan undang-undang yang diterimapakai mereka selama berabad-abad lamanya dan menggantikan dengan undang-undang sivil peninggalan penjajah. Hukuman jenayah hudud dilihat sebagai kejam dan out-dated tidak sesuai lagi dengan suasana kehidupan dunia moden hari ini.

 

Hari ini umat Islam berdepan dengan cabaran masyarakat dunia yang dikuasai fahaman Liberal yang menyesatkan ini. Dan sebahagian umat Islam juga dikuasai oleh fahaman liberal ini di dalam amalan seharian dan tindakan mereka. Undang-undang Islam telah dihadkan fungsinya kepada perlaksanaan undang-undang kekeluargaan dan pewarisan semata-mata.

 

Sejauhmana konflik fahaman liberalisme dengan Syariat Islam berpanjangan di abad ke-21 ini bergantung kepada kesedaran dan kehendak umat Islam untuk mempertahankan hak mereka untuk sebagai seorang muslim untuk melaksanakan dan mengamalkan syariat Islam itu sendiri. Dan umat Islam juga perlulah memurnikan semula kefahaman keadilan syariat Islam melalui engagement mereka di kalangan umat bukan Islam di negara masing-masing.

 

Fakhrul Anuar Zulkawi

15 Ramadhan 1430H / 5 September 2009

 


Pages