Sunday, September 30, 2012

Dakwah Kepada Belum Islam Bersama Ustaz Mohd Farhan Abdullah Al-Hafiz

Alhamdulillah selepas solat subuh di Surau Bangi Perdana pagi tadi 30 September 2012, kami ahli qariah berkesempatan mendengar satu kuliah subuh yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Farhan Abdullah al-Hafiz. Beliau pernah menjadi Pastor sebuah gereja di Kota Belud, Sabah dikenali sebagai Pastor Yohannes dan dilatih menjadi missionari Kristian sebelum memeluk agama Islam. Beliau memeluk Islam pada sekitar tahun 1991 setelah membuat kajian sendiri tanpa didakwahi oleh mana-mana umat Islam selama enam tahun termasuk membaca buku Dr Maurice Bucaille tentang al-Quran dan Sains dan buku-buku Sheikh Ahmad Deedat tentang perbandingan agama. Kini beliau yang berbangsa Kadazan dan menetap di Bandar Baru Bangi ini aktif berdakwah termasuk memajukan Kompleks Pendidikan Islam di daerah kelahirannya iaitu di Kota Belud, Sabah. Menurut beliau lebih 4000 orang telah beliau Islamkan termasuk ibu bapa dan enam orang adik beradik perempuannya. Setelah dihalau oleh bapanya dari rumah kerana memeluk Islam (malah selepas cubaan ditembak oleh bapanya), beliau mendalami agama di Semenanjung Malaysia selama tujuh tahun sebelum kembali menemui semula keluarga beliau dan mengislamkan semua ahli keluarganya. SubhanAllah! Malunya saya yang sudah mendapat Islam melalui pewarisan ini. Apakah sumbanganku di dalam menyebarkan agama-Mu ini ya Allah!

Antara tazkirah beliau yang sempat saya ingat ialah beliau memetik ayat al-Quran di dalam surah al-Baqarah, ayat 120, yang bermaksud, "Dan orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan reda kepadamu (Muhammad) selagi mereka tidak mengikuti millah (cara hidup/agama) mereka."

Sebab itu kata beliau kita sering dihadapkan dengan usaha memburuk-burukkan Islam termasuk Nabi Muhammad s.a.w. samada di dalam bentuk penulisan, filem, karikatur dan sebagainya seperti novel Satanic Verses karya Salman Rushdie, karikatur memburukkan Nabi s.a.w. di Norway dan Sweden dan terbaru filem The Innocence of Man yang diterbitkan di Amerika Syarikat yang mengundang bantahan besar-besaran umat Islam di seluruh dunia.

Berhadapan peristiwa-peristiwa ini kita umat Islam mesti berusaha untuk menyampaikan Islam ini kepada kepada manusia. Dakwah ini ada dua bentuk samada dakwah islamiah kepada yang belum Islam dan juga dakwah islahiah kepada umat Islam.

Dalam konteks dakwah kepada yang belum Islam, adalah menjadi kewajipan kepada umat Islam untuk menyampaikan Islam kepada yang belum Islam. Memang kita tidak boleh salahkan mereka sekiranya mereka mengeluarkan pandangan-pandangan yang mengelirukan tentang Islam. Kita sebagai umat Islam lah yang perlu memainkan peranan di dalam menyampaikan kebenaran Islam yang sebenar kepada mereka yang belum Islam termasuk jiran-jiran, rakan sekerja dan masyarakat umat belum Islam amnya.

Beliau memetik pandangan Imam al-Ghazali r.h. di dalam karya agung beliau "Ihya Ulumuddin" dimana beliau menkategorikan umat Islam kepada empat golongan. Tiga kelompok perlu kita islahkan dan satu kelompok kita mesti menjadi sebahagian daripadanya. Tiga kelompok ini ialah (1) Muslim yang munafik - golongan ini tandanya ialah apabila mereka berjanji mereka tidak tepati, bila bercakap mereka berdusta dan bila diberi amanah mereka khianat. (2) Muslim yang fasiq. Mereka ini termasuk yang berterusan melakukan dosa-dosa kecil dan meninggalkan solat. (3) Muslim yang melakukan maksiat. Mereka ini walaupun nampak baik tetapi terjerumus di dalam maksiat disebabkan sifat mazmumah yang masih menebal di dalam hati mereka. Manakala golongan keempat (4) yang perlu kita bersama ialah muslim yang mukhliseena lahuddeen iaitu muslim yang benar-benar ikhlas di dalam agama. Usaha kita mestilah ke arah mengajak umat Islam termasuk para pemimpinnya untuk menghayati dan melaksanakan Islam sepenuhnya.

Semasa bersarapan selepas kuliah, beliau sempat mengajak untuk bersama beliau di dalam memajukan usaha pendidikan umat Islam di Sabah yang beliau usahakan bersama NGO beliau di sana. Beliau juga mengajak untuk menyertai program dakwah ke sepuluh buah kampung di daerah Kota Belud pada 9 hingga 25 Disember 2012 ini. Moga menjadi satu pengalaman berguna kepada kita di dalam menggerakkan usaha dakwah secara berterusan.



Inilah kali pertama saya dapat berkenalan dengan pendakwah ini. Moga semangat beliau ini dapat saya contohi.

Saya kongsi salah sebuah ceramah beliau di Paka, Terengganu untuk manfaat & renungan bersama. Mudah-mudah memberikan kebaikan dan pengajaran kepada kita semua.
1. http://www.youtube.com/watch?v=eoJbXzHVECA&feature=relmfu
2. http://www.youtube.com/watch?v=RfTZHRvrSAQ&feature=fvwrel
3. http://www.youtube.com/watch?v=ph3tl4h0VlE&NR=1&feature=endscreen
4. http://www.youtube.com/watch?v=L2kQZUenIBA&NR=1&feature=endscreen
5. http://www.youtube.com/watch?v=x2K3QiKK_Sk&feature=relmfu
6. http://www.youtube.com/watch?v=ocTlXTkJz1w&feature=relmfu
7. http://www.youtube.com/watch?v=IafY5gnFy1g&feature=relmfu



0 comments:

Pages