Saturday, September 22, 2012

3MIT berjaya kumpul hampir 200 orang

Alhamdulillah Muzakarah Masyarakat Madani IKRAM Terengganu 2012 (3MIT) telah berjaya diadakan pada 21 September 2012 bersamaan 5 Zulkaedah 1433 di Dewan SRI Al-Amin Kerteh. Program anjuran Jawatankuasa Masyarakat Madani Negeri ini telah dirasmikan oleh Presiden IKRAM, Ust Dr Mohd Parid Sheikh Hj Ahmad. Beliau menyampaikan satu ucaptama bertajuk "Memimpin Ummah Memimpin Masyarakat" yang juga merupakan Misi Perancangan IKRAM 2012-2015 di hadapan hampir 200 orang pimpinan dan ahli IKRAM seluruh Terengganu. Bacaan ayat suci al-Quran daripada surah an-Nahl, ayat 88-93 telah sampaikan oleh Mohd Mustaqim Abdul Jalil sebelum nyanyian lagu IKRAM oleh semua yang hadir diawal program ini. Ucapan aluan bagi pihak IKRAM Terengganu telah disampaikan oleh TYDP IKRAM Terengganu, Hj Nawawi Yusuf. Beliau menekankan aspek penjagaan kualiti diri selepas berakhirnya Ramadan dan berusaha menggiatkan amal bersama masyarakat di medan.





Di dalam ucaptama tersebut beliau menekankan usaha pemerkasaan organisasi IKRAM serta kesediaan ahli-ahli IKRAM di dalam memimpin perubahan ke arah perlaksanaan syariat Islam sepenuhnya di negara ini menjelang tahun 2020. Ianya perlu dilakukan menerusi pentarbiahan ahli dan rakyat secara komprehensif dan berterusan serta usaha mendapatkan sokongan rakyat dan pengaruh massa. Engagement juga perlu dilakukan dengan masyarakat majmuk melepasi sempadan agama dan bangsa serta memastikan wujudnya negara madani atau sivil. Negara sivil atau madani yang dimaksudkan ialah negara yang berperaturan dimana budaya syura subur di kalangan pemerintah dan rakyat. Ianya sebuah masyarakat hadariah yang dijana menerusi kebijaksanaan manusia dan kepimpinan wahyu.


Justeru, IKRAM perlu menjadi sebuah gerakan kontemporari yang tersohor yang mempunyai ramuan penyelesaian untuk umat manusia supaya wujud perubahan yang mendasar di negara ini yang membawa kedua-dua misi Islam dan kemanusiaan. IKRAM perlu berusaha menggerakkan pembaikan negara dan pengurusannya  demi kebaikan rakyat agar negara mampu membuat pacuan dan lompatan yang lebih jauh yang membawa limpahan manfaat kepada rakyat. Hari ini negara berhadapan bukan sahaja ketirisan dan penyelewengan tetapi juga bebanan hutang yang semakin parah.




3MIT ini juga menampilkan pembentangan utama muzakarah iaitu Konsep Dan Pengoperasian Masyarakat Madani yang disampaikan oleh Naib Presiden IKRAM, Hj Syed Ibrahim Syed Noh. Beliau menekankan di dalam usaha memimpin ummah dan memimpin masyarakat, IKRAM perlu meletakkan dirinya sebagai sebagai rujukan umat, diberikan kepercayaan, diterima kepemimpinannya dan menjadi jurubicara umat. Dalam konteks ini, IKRAM perlu menempatkan dirinya dalam umat sebagai pemimpin gabungan barisan organisasi Islam yang diinstitusikan serta memimpin gabungan organisasi masyarakat madani pelbagai agama, ideologi dan kaum yang diinstitusikan. Ini bagi merealisasikan enam sasaran strategik yang terdapat di dalam PI IKRAM di bawah KRA Ummah dan Masyarakat. Beliau juga turut mengupas 7 skop masyarakat madani yang berusaha memenuhi maqasid syari'ah termasuk keehsanan, pemerkasaan rakyat, kedaulatan, tadbir urus baik, demokrasi, hak asasi manusia dan keadilan.


Program ini juga diserikan dengan sesi dialog selama sejam dengan peserta muzakarah bersama Presiden dan Naib Presiden IKRAM. Berbagai isu diajukan termasuk isu perlaksaan hudud di negara ini, negara sekular dan negara sivil, isu pengambilan pinjaman dengan IMF serta isu kebajikan masyarakat yang dilaksanakan oleh IKRAM. Presiden diakhir dialog menggesa ahli agar terus tajarrud dan passionate terhadap dakwah serta terus beriltizam melaksanakan pembinaan diri. Ahli-ahli juga perlu bersikap terbuka di dalam menangani isu-isu ummah dan berusaha mendapatkan hikmah yang merupakan barang carian orang Islam.

Presiden juga sempat melancar Tabung Masyarakat Madani (TMM) pada 3MIT ini. Ianya merupakan usaha menjana program-program masyarakat madani di negeri ini menerusi sumber kewangan yang berterusan. Sebanyak RM1,273.40 telah dikumpulkan untuk TMM ini alhamdulillah.

Peserta-peserta 3MIT juga telah mengadakan bengkel masyarakat madani pada sesi sebelah petang. Sebanyak lima kumpulan bengkel telah diadakan mengikut daerah IKRAM di negeri ini. Hampir separuh peserta bengkel kali ini berusia kurang dari 30 tahun. Ini satu perkembangan yang baik bila menggabungkan ahli veteran bersama dinamika orang muda. Dua aspek utama di dalam KRA Ummah dan Masyarakat telah dibincangkan dan semua cadangan serta resolusi kumpulan bengkel ini akan dimajukan ke dalam mesyuarat IKRAM Negeri selepas ini untuk diperhalusi lagi.




YDP IKRAM Negeri Ust Hj Lokman Dato' Awang di dalam ucapan penutup program juga menyeru agar setiap ahli meletakkan sasaran penglibatan dakwahnya bersama masyarakat. Setiap pertemuan mingguan ahli mestilah diisi dengan agenda masyarakat agar ianya sentiasa segar di dalam kegiatan dakwah dan tarbiah kita. Program berakhir pada pukul 5.30 petang dengan solat asar berjamaah dan sesi bergambar beramai-ramai.




0 comments:

Pages