Uslub dakwah merupakan satu istilah yang tidak pernah lekang dari bibir setiap petugas dakwah. Boleh dikatakan setiap pendakwah mentafsirkan uslub dakwah menurut kacamata mereka masing-masing, sesuai dengan perkumpulan yang mereka wakili.
Justeru amat penting untuk kita merujuk kepada Al-Quran bagi menjamin seseorang pendakwah itu tidak menyeleweng daripada landasan penafsiran.
"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk." (Al-Nahl: 125)
Dari ayat di atas perkara pertama yang dapat kita fahami ialah perintah Allah swt kepada manusia untuk menyeru ke jalanNya. Persoalan uslub di dalam ayat di atas diletakkan selepas daripada seruan dakwah, ia menunjukkan bahawa uslub adalah perkara kedua.
Namun malangnya, apa yang berlaku dalam masyarakat hari ini ialah kecenderungan membincangkan uslub terlebih dahulu. Andai terus berselisih dalam persoalan uslub dakwah, bagaimana kita boleh bersatu dalam menjalankan tugas dakwah?
Usaha menentukan uslub siapa yang lebih betul sudah cukup membuang masa seseorang petugas Islam. Sedangkan Tuhan menyuruh kita memulakan tugas dakwah terlebih dahulu, kemudian dalam mengolah dakwah barulah timbul persoalan-persoalan itu.
Mungkin kita boleh merenung kembali petikan kata-kata Al-Maududi, sebagai panduan gerak kerja dakwah yang ideal;
Saudara-saudara yang mulia !
Di akhir ceramah ini, ingin saya sampaikan nasihat kepada saudara-saudara, iaitu janganlah saudara-saudara menjalankan kerja secara gerakan persatuan sulit (tanpa ada penyebaran umum dakwah) dan janganlah saudara-saudara menggunakan cara kekerasan senjata untuk mengubah suasana yang berlaku. Uslub ini termasuk dalam ertikata gopoh gapah yang tidak akan meninggalkan kesan yang baik.
Janganlah anda cuba-cuba untuk mencari jalan pendek, kerana uslub ini adalah lebih buruk akibatnya dan mendatangkan kemudaratan yang lebih besar daripada jalan yang lain. Sesungguhnya perubahan yang betul dan sihat yang telah dicapai di zaman dahulu, dan akan tercapai juga di zaman mendatang, ialah dengan kerja dakwah yang terus terang seterang matahari diwaktu tengah hari.
Oleh itu, anda mesti menyebar dakwah anda dengan cara terus terang. Anda mesti bangun bekerja memperbaiki jiwa dan akal fikiran manusia dengan kegiatan yang seluas mungkin.
Anda mesti menggunakan tenaga manusia untuk sampai kepada tujuan anda yang mulia itu dengan bersenjatakan akhlak yang menarik, nilai yang luhur, budi pekerti yang baik, nasihat yang bagus dan kebijaksanaan yang tinggi. Dan anda mesti menghadapi rintangan yang berbentuk ujian dan kesusahan sebagai pengadapan seorang pahlawan. Inilah jalan yang membolehkan kita melakukan perubahan secara radikal, yang kukuh asasnya, kuat umbinya dan besar pula faedahnya kepada umat yang lemah di hari ini. Riak gelombang semacam ini tidak dapat disekat oleh mana-mana kekuatan musuh.
Saya berani bertegas bahawa umat Islam yang kemudian ini tidak menjadi baik melainkan dengan mengamalkan ajaran yang telah diamalkan oleh umat Islam yang terdahulu. Adapun jika anda bergopoh gapah melakukan perubahan dengan menggunakan cara kekerasan, kemudian anda berjaya sedikit sebanyak dalam perubahan itu, maka kejayaan itu tak ubah seperti angin yang masuk melalui pintu dan keluar melalui jendela.
Nasihat ini saya sampaikan kepada setiap orang yang bekerja menyebar dakwah Islamiyyah, kerana ia adalah peringatan bagi orang yang mempunyai hati atau menggunakan pendengarannya sedang ia menyaksi.
Saya memohon kepada Allah supaya ia memperbetulkan kesalahan kita, mengilhamkan hidayah, taufik dan menolong kita dalam usaha meninggikan kalimahnya pada jalan yang Ia redai. Sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik penolong.
Jelas, Al-Maududi menggariskan bagaimana teknik berdakwah secara hikmah, nasihat dan bertukar pandangan dengan cara yang baik merupakan jalan terbaik untuk menyeru manusia kepada Allah.
Justeru, gunakanlah sebaik-baik cara berhubung dengan tujuan untuk menjauhkan pendengar-pendengar yang didakwahkan daripada merasa bahawa pendakwah itu menyerang pegangan mereka. Perancangan cara begini adalah lebih kuat, berpengaruh dan berkesan. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
"Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka; dan katakanlah (kepada mereka) : Kami beriman kepada (Al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kamu, juga Tuhan kamu, adalah Satu; dan kepadaNyalah, kami patuh dengan berserah diri." (Al-Ankabut: 46)
Inilah juga firman Allah s.w.t. kepada Nabi Musa a.s. dan saudaranya Harun a.s. ketika mereka diutuskan oleh Allah s.w.t. kepada Firaun yang sombong. Sungguhpun begitu, Allah s.w.t. memerintahkan mereka supaya berlemah-lembut. FirmanNya yang bermaksud:
"Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut." (Taha: 43-44)
Apabila Allah s.w.t. menyatakan supaya dalam berbincang mestilah dengan cara yang baik, maka para da’i perlulah membuat persiapan terlebih dahulu dan segi hujah, latihan, teknik, berbincang yang terbaik, supaya lahir seorang da’i yang mempunyai karisma yang tinggi dalam berdiskusi.
Namun, sekiranya segala cara telah dilakukan namun mereka masih menolak dakwah maka para da’I tidak seharusnya dihantui oleh fikiran bahawa mereka telah gagal melaksanakan amanah melainkan meyakini soal hidayah adalah milik mutlak Allah!
0 comments:
Post a Comment