Friday, July 20, 2012

Antara 10 Lokasi PSR Di Daerah Kemaman

Alhamdulillah saat bertemu Ramadhan hampir tiba. Mudah-mudahan kita dapat bersama melalui bulan ini dengan amalan yang terbaik (ahsanu 'amala). Moga segala dosa kita diampunkan Allah SWT. Moga kita meraih pahala yang berlipat kali ganda. Moga kita bertemu malam Qadr yang sangat istimewa itu. Moga kita mendampingi al-Quran secara lebih intensif dan menyegarkan jiwa. Moga kita mengambil pelajaran daripada mereka yang kurang bernasib baik dan dapat menyantuni mereka. Moga kita kembali kepada fitrah. Mudah-mudah persediaan peribadi selama dua bulan di bulan Rajab dan Syaaban kali ini membantu kita untuk melalui Ramadhan dengan lebih bermakna.

InshaAllah IKRAM Kemaman akan membantu kita untuk meningkatkan amal di bulan yang mulia ini. Projek Semarak Ramadhan (PSR) dengan kerjasama Pejabat Agama Daerah Kemaman, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kemaman, Persatuan Masjid Daerah Kemaman dan Islamic Relief Malaysia Wilayah Pantai Timur ini diharapkan mendapat sambutan yang baik daripada ahli-ahli IKRAM dan juga masyarakat khususnya di daerah Kemaman ini.

Elok kita tinjau lokasi-lokasi PSR yang akan diadakan. Mudah-mudahan ianya memotivasikan kita untuk menghulur derma kita bagi tujuan meraikan mereka yang berbuka puasa dan meringankan beban golongan yang kurang bernasib baik - fakir miskin, anak-anak yatim serta ibu tunggal.

Sehingga 30 Syaaban 1433H, kita telah mendapatkan pengesahan beberapa buah lokasi untuk tujuan ini. Senarainya akan bertambah lagi dalam sedikit masa lagi.

Lokasi yang pertama ialah Masjid Kg Seberang Tayor. Ianya meliputi beberapa buah perkampungan Melayu tradisi dimana masyarakatnya tinggal iaitu Kg Seberang Tayur Hulu, Kg Seberang Tayur Hilir,  Kg Lubuk Lebar, Kg Lubuk Batu dan Kg Pasir Merah. Terdapat sekitar 200 buah rumah di kawasan ini. Terdapat juga sebuah sekolah rendah di sini dan berjiran pula dengan Felda Seberang Tayor (iaitu antara rancangan tanah Felda tertua di Terengganu yang bermula tahun 1964) yang mempunyai masjidnya sendiri. Kebanyakan penduduk bekerja sebagai petani dan buruh kasar.


Pengerusi Masjid Kg Seberang Tayor ialah Hj Kamaludin bin Mamat. Beliau juga salah seorang Imam Masjid di sini. Salah seorang imam tetap di sini ialah Ustaz Hj Muhamad bin Daud. Sempat juga menziarahi beliau selesai solat zuhur berjamaah di masjid ini baru-baru ini. Kampung ini di bawah DUN Air Putih. Majlis berbuka puasa dan menyampaikan sumbangan Ramadhan PSR akan diadakan di masjid ini pada 6 Ramadhan 1433H bersamaan 26 Julai 2012. Majlis ini akan dihadiri sendiri oleh Tuan Kadhi Daerah Kemaman, Ustaz Hj Zulkefli Othman yang merupakan salah seorang anak kelahiran kampung ini. Beliau sendiri akan menyampaikan tazkirah dan sumbangan tersebut. Ahli-ahli IKRAM digalakkan bersama anggota masyarakat untuk bergotong royong memasak jamuan berbuka puasa yang akan bermula pada pagi 26 Julai tersebut di perkarangan masjid.

Lokasi yang kedua ialah di Surau Kg Telaga Papan di Pekan Kerteh. Program ini melibatkan penyertaan ibu-ibu tunggal di sekitar Kerteh. Di dalam ziarah TYDP IKRAM Kemaman, Ustaz Muzahar Hitam bersama rombongan ke rumah Pengerusi Kelab Ibu Tunggal Kerteh, Hjh Rokiah Awang baru-baru ini, Turut hadir ialah Pengerusi JK Khidmat Masyarakat IKRAM Kemaman iaitu Sdr Abdul Rahman Mohd Razali dan AJK Kelab Ibu Tunggal Kerteh. Pengerusi memaklumkan ada sekitar 500 orang ibu tunggal di kawasan ini tetapi hanya sekitar 100 orang yang aktif bersama persatuan. Kebanyakan mereka adalah yang kematian suami, telah bercerai, menjaga suami yang terlantar sakit hilang upaya bekerja dan tidak bersuami tetapi menjaga ibubapa mereka. Puan Rokiah menyatakan sebelum ini tidak ada badan atau pertubuhan yang datang bersemuka dengan mereka untuk mengetahui tentang permasalahan mereka. InshaAllah program ini gotong royong memasak, tazkirah & tahlil serta penyampaian sumbangan akan diadakan pada 7 Ramadhan 1433H bersamaan 27 Julai 2012. InshaAllah Wanita IKRAM Kemaman akan bersama membantu menjayakan program ini.


Lokasi yang ketiga ialah Masjid Kg Ibuk yang terletak di DUN Kijal. Ianya meliputi beberapa perkampungan Melayu tradisi. Program dijangka akan diadakan pada 14 Ramadhan 1433H bersamaan 3 Ogos 2012. Satu perjumpaan dengan Pengerusi Masjid Encik Ngah Mamat telah diadakan di rumah beliau. Beliau sangat bersetuju untuk mengadakan program seumpama ini lebih-lebih lagi mendapat kerjasama Pejabat Agama Daerah Kemaman. Masjid Kg Ibuk ini meliputi 7 buah kampung iaitu Kg Ibuk, Kg Mak Yah, Kg Pondok Limau, Kg Pondok Pasir, Kg Jong Belabuh, Kg Kaising dan Kg Padang Kemunting. Ianya terletak sekitar 10km daripada bandar Chukai. Aktiviti utama penduduk di kawasan ini ialah berasaskan pertanian dan pelancongan. Banyak juga projek inap desa (homestay) di kawasan ini.


Lokasi yang keempat ialah Masjid Kg Batu Putih. Ianya terletak lebih kurang 7km daripada Pekan Kerteh di dalam DUN Kemasik dengan jumlah penduduk sekitar 500 orang. Ianya sebuah perkampungan Melayu tradisi yang penduduknya rata-rata bekerja sendiri dan petani. Bagi generasi muda pula, ramai juga yang bekerja di dalam industri minyak dan gas di Kerteh. Ini merupakan program kedua IKRAM Kemaman dengan pihak masjid menerusi program ceramah Palestin. Satu perjumpaan telah diadakan bersama Pengerusi Masjid (yang juga Pengerusi JKKK) Encik Aziz dan Imam Masjid Hj Husin. InshaAllah program gotong royong memasak di perkarangan masjid, tazkirah & tahlil, majlis penyampaian sumbangan dan berbuka puasa akan diadakan di masjid ini pada 15 Ramadhan 1433H bersamaan 4 Ogos 2012.



Lokasi yang kelima ialah Masjid Al-Firdaus Kg Ranggon Estate. Ianya terletak di dalam perkampungan estet kelapa sawit milik syarikat Yee Seng di Kg Pengkalan Ranggon, Kerteh di bawah DUN Kemasik. Ianya mempunyai keluasan 5000 ekar. Pekerja di sini ialah di kalangan orang Melayu dan India. Satu perjumpaan telah diadakan bersama Pengerusi Masjid Encik Kamal yang merupakan generasi kedua (dilahirkan di estet ini) baru-baru ini. Keadaan infrastruktur di kawasan ini agak kekurangan dan aktiviti masjid juga tidak begitu aktif. Mereka masih menjalankan solat Jumaat di sini dengan kehadiran ahli jamaah lelaki sekitar 60-70 orang. Estet ini berjiran dengan sebuah lagi estet iaitu Kg Pahang Estate yang juga mempunyai masjid sendiri. Program PSR akan diadakan di masjid ini pada hari Nuzul Quran iaitu pada 17 Ramadhan 1433H bersamaan 6 Ogos 2012 inshaAllah.


Lokasi yang keenam ialah Masjid Kg Pasir Gajah yang terletak di jalan utama antara bandar Chukai dengan Kg Air Putih di bawah Mukim Pasir Semut. Pertemuan telah dibuat dengan Pengerusi Masjid Encik Mustafa di kedai makanan anak beliau di Kg Pasir Gajah. Menurut Encik Mustafa ada sekitar 500 buah rumah di kampung ini. Masjid ini meliputi beberapa perkampungan Melayu yang lain juga sehingga ke Kg Paman. Terdapat juga sebuah sekolah rendah dan balai polis di kawasan ini. InshaAllah program gotong royong memasak, tazkirah & tahlil, berbuka puasa serta sumbangan ramadhan akan diadakan pada 21 Ramadhan 1433H bersamaan 10 Ogos 2012. Ini adalah program kedua selepas program ceramah Palestin IKRAM Kemaman & Aqsa Syarif di masjid ini.


Kita juga akan adakan Program Remaja Raikan Ramadhan (3R) di dua buah masjid lagi iaitu di Masjid Sultan Ahmad dekat bandar Chukai dan Masjid Felda Kerteh 5. Ianya akan dilaksanakan dengan kerjasama beberapa buah sekolah menengah berdekatan masjid. InshaAllah akan dikongsi dalam slot penulisan yang lain inshaAllah.

Di dalam mesyuarat JK Pelaksana PSR semalam, kami mensasarkan kutipan sumbangan Ramadhan daripada ahli-ahli IKRAM dan anggota masyarakat sebanyak RM50,000 bagi tujuan projek ini. Salah satunya ialah kami mensasarkan setiap ahli IKRAM di negeri ini menyumbang sebanyak RM100 seorang. Untuk tujuan itu, kami menyeru agar ahli-ahli IKRAM dapat membantu menjayakan projek khidmat masyarakat ini.

Boleh terus bank-in ke BIMB Pertubuhan IKRAM Kemaman di nombor akaun : 13026010047609 dan hubungi Bendahari, Hj Norfizam (019-9642812) atau Pengerusi JK Khidmat Masyarakat Negeri, Hj Abdul Aziz (019-9514399) atau Pengerusi JK Khidmat Masyarakat Daerah, Sdr Abdul Rahman (019-3603125).

Selamat menyambut bulan Ramadhan yang mulia ini.

0 comments:

Pages