Thursday, July 19, 2012

Majlis Pelancaran Projek Semarak Ramadhan Peringkat Daerah Kemaman selamat disempurnakan

Alhamdulillah majlis perasmian pelancaran Projek Semarak Ramadhan Peringkat Daerah Kemaman telah selamat disempurnakan oleh Tuan Kadhi Daerah Kemaman, Ustaz Hj Zulkefli Othman di Masjid Kg Pengkalan Pandan malam tadi. Lebih daripada 200 orang hadir ke majlis yang bermula selepas solat Maghrib ini. Program ini adalah anjuran bersama Pejabat Agama Daerah Kemaman, Pertubuhan IKRAM Kemaman, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kemaman, Persatuan Masjid Daerah Kemaman dan Islami Relief Malaysia (IRM) Pantai Timur.

Menurut Pengarah Projek, Hj Fakhrul Anuar bin Zulkawi, program ini antara lain mensasarkan sebanyak 10 majlis berbuka puasa dan sumbangan Ramadhan kepada golongan kurang bernasib baik di 10 buah masjid di daerah Kemaman. Antaranya ialah Masjid Kg Batu Putih Kerteh, Masjid Kg Ranggon Estate Kerteh, Masjid Kg Ibok, Masjid Kg Pasir Gajah, Masjid Kg Payoh Kijal dan Masjid Kg Air Putih. Manakala 3 program Remaja Raikan Ramadhan (3R) akan diadakan di tiga buah masjid iaitu di Masjid Sultan Ahmad Chukai, Masjid Felda Kerteh 5 dan Surau Rantau Petronas. Manakala program Iktikaf Perdana bakal diadakan di dua buah masjid iaitu Masjid Teluk Kalong dan Masjid Pekan Kerteh. Beliau juga menyeru agar umat Islam di daerah ini untuk sama-sama terlibat menyumbang wang ringgit dan tenaga bagi menjayakan program ini.


Majlis perasmian ini juga dihadiri  YDP IKRAM Negeri Terengganu, Ustaz Hj Lokman bin Dato' Awang. Beliau telah menyampaikan ceramah Ramadhan bertajuk "Ahlan Ya Ramadhan" selepas solat maghrib di masjid ini. Ustaz Lokman menekankan peri pentingnya kita membuat persediaan menghadapi bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan ini dan memastikan kita tidak melepaskan peluang keemasan yang diberikan oleh Allah SWT kepada umat Islam sebulan di dalam setahun ini dengan melipatgandakan amal ibadah di bulan yang mulia ini.


Turut hadir ialah Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kemaman, Encik Ghazali Awang. Beliau turut menyampaikan kata-kata aluan beliau. Antara lain beliau menyebut betapa pentingnya kita memanfaatkan bulan ini untuk memberikan khidmat kebajikan kepada golongan yang kurang bernasib baik. Menurut beliau, di daerah ini sahaja ada sekitar 3000 orang penerima bantuan daripada Pejabat  Kebajikan Masyarakat Daerah Kemaman setiap bulan. Beliau amat mengalukan usaha yang dibuat oleh Pejabat Agama Daerah Kemaman dan Pertubuhan IKRAM Kemaman ini. Malah beliau turut memuji usaha Pertubuhan IKRAM Kemaman di dalam menyantuni golongan remaja yang bermasalah sebelum ini.


Ustaz Hj Zulkefli Othman di dalam ucapan perasmian beliau sangat gembira dengan program yang julung-julung kalinya diadakan secara besar-besaran dan mengharapkan agar program ini mampu memberikan manfaat kepada seluruh umat Islam di daerah ini. Hasil sokongan pelbagai pihak khususnya penggemblingan pertubuhan-pertubuhan Islam di daerah ini mampu mencapai segala objektif projek ini. Beliau juga berharap agar semua masjid di daerah ini memberikan sokongan dan kerjasama yang padu bagi menjayakan Projek Semarak Ramadhan kali ini. Segala program yang telah dan bakal disusun diharapkan membantu semua golongan masyarakat termasuk para remaja di daerah ini. Beliau yakin program ini akan menatijahkan kebaikan yang banyak kepada perkembangan dakwah di daerah ini juga.


Program ini diakhiri dengan majlis penyampaian cenderahati disampaikan oleh YDP IKRAM Kemaman, Ustaz Hj Mazlan Ahmad kepada Ustaz Hj Zulkefli Othman dan tetamu-tetamu jemputan yang lain.


Selepas majlis makan malam, sesi bergambar bersama tetamu jemputan dan jawatankuasa penganjur diadakan sebagai kenang-kenangan. Semoga program ini memberikan impak dan kesannya kepada semua pihak.



0 comments:

Pages