Saturday, July 28, 2012

PSR 2 - Program Bersama Ibu Tunggal DUN Kemasik Meriah

Alhamdulillah PSR kedua di Kemaman telah diadakan di Surau Kg Telaga Papan, Kerteh pada 27 Julai 2012 bersamaan 7 Ramadan 1433H. Ianya juga dibuat dengan kerjasama Kelab Ibu Tunggal DUN Kemasik yang dipengerusikan oleh Puan Hjh Rokiah Awang bagi meraikan ibu-ibu tunggal di sekitar DUN Kemasik yang dianggarkan sekitar 500 orang ini. Program gotong royong memasak turut disertai Wanita IKRAM Kemaman pada sebelah paginya di rumah Pengerusi Kelab Ibu Tunggal di Kg Telaga Papan ini juga. Seramai hampir 200 ibu tunggal hadir untuk memeriahkan program ini.



Majlis PSR ini dipengerusikan oleh TYDP IKRAM Kemaman, Ustaz Muzahar Hitam. Ianya dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Kelab Ibu Tunggal DUN Kemasik, diikuti oleh ucapan oleh Pengerusi JKKK Kg Telaga Papan, Encik Mohd Ghalib bin Mohamad dan Timbalan Ketua Wanita IKRAM Kemaman, Puan Hjh Yong Rafidah Salleh. Turut hadir ialah Imam Surau, Hj Omar.

Puan Hjh Rokiah di dalam ucapan aluannya merakamkan rasa terharu dan berterima kasih kepada pihak IKRAM Kemaman yang perihatin terhadap kebajikan para ibu tunggal. Komitmen ini dapat dilihat sejak ziarah awal pihak IKRAM Kemaman menemui beliau dan ahli jawatankuasanya di dalam menjayakan program ini. Beliau berharap agar kerjasama yang baik ini dapat diteruskan bagi membantu  kehidupan ibu-ibu tunggal khususnya di kawasan DUN Kemasik ini. Beliau juga mengatakan inilah kali pertama sejak penubuhan kelab ini ada badan yang datang berjumpa dengan kelab untuk bersama membantu kebajikan mereka.


Encik Ghalib pula di dalam ucapannya berharap agar pihak IKRAM Kemaman akan terus menabur bakti kepada masyarakat di kawasan ini. Sebelum ini IKRAM Kemaman telah terlibat dimana bekas YDP IKRAM Hj Zameran sendiri menyampaikan ceramah kesedaran Palestin di Masjid Pekan Kerteh dan seterusnya Karnival Kesihatan Pekan Kerteh yang dijayakan bersama dengan kerjasama pihak JKKK.


TKW IKRAM Kemaman, Hjh Yong Rafidah pula menyatakan rasa gembira beliau dapat bertemu dengan ramai ibu tunggal di majlis ini. Beliau menyatakan komitmen Wanita IKRAM untuk terus menyantuni kebajikan ibu tunggal di daerah Kemaman ini khususnya.


Program diteruskan dengan penyampaian tazkirah ramadan oleh Tuan Haji Zameran Jusoh yang kini merupakan Pengarah Operasi Pantai Timur Islamic Relief Malaysia (IRM). Beliau mengingatkan agar kita sentiasa bersabar dan bersyukur dengan ketetapan Allah SWT kepada kita. Segala ujian dan dugaan hidup perlulah dilalui dengan tenang kerana pastinya ada hikmah terbaik yang Allah SWT sediakan untuk kita. Bulan ramadan yang mulia ini wajar untuk kita perteguhkan rasa kesyukuran kita kepada Allah SWT dan berusaha merebut segala ganjaran yang disediakan kepada hamba-hamba-Nya yang berpuasa di bulan ini. Beliau juga yang mantan YDP IKRAM Kemaman yakin dengan keupayaan IKRAM sebagai organisasi yang perihatin terhadap masyarakat dan program seumpama ini merupakan bukti kesungguhan pihak IKRAM untuk menyantuni masyarakat.


Penyampaian sumbangan ramadan telah dilakukan serentak selepas tazkirah oleh Hj Zameran Jusoh dan Hjh Yong Rafidah. Sebanyak lebih 200 pek sumbangan telah diedarkan kepada ibu-ibu tunggal yang hadir. Pek-pek ini telah dibungkus oleh sukarelawan IKRAM di Pejabat Operasi IKRAM Kemaman sebelum dihantar ke surau ini.





Majlis berbuka puasa pula telah berlangsung dengan meriah selepas majlis tahlil ringkas yang dipimpin Ustaz Muzahar. Kegembiraan dan keceriaan jelas terpancar pada wajah-wajah mereka yang bersama berbuka puasa pada PSR kedua ini.






Pihak IKRAMedia juga sempat mengadakan sesi temuramah dengan wakil-wakil pertubuhan. Moganya ianya menjadi amal soleh yang diterima Allah SWT.


0 comments:

Pages