Saturday, July 28, 2012

PSR 1 - Majlis Sumbangan & Berbuka Puasa di Masjid Kg Seberang Tayor

Alhamdulillah program PSR 2012 Peringkat Daerah Kemaman membuka tirai dengan majlis penyampaian sumbangan ramadan dan berbuka puasa bersama masyarakat Kg Seberang Tayur Hulu dan Kg Seberang Tayur Hilir di Masjid Kg Seberang Tayur pada 26 Julai 2012 bersamaan 6 Ramadan 1433H.

Program dimulakan dengan ucapan aluan Pengerusi Masjid Kg Seberang Tayur iaitu Hj Kamaludin Mamat dan juga ucapan YDP IKRAM Kemaman, Ustaz Hj Mazlan Ahmad.


Hj Kamaludin di dalam ucapan aluan beliau menghargai kesudian pihak Pejabat Agama Daerah Kemaman dan Pertubuhan IKRAM Kemaman kerana menjadikan masjid ini sebagai tempat pertama program PSR 2012 Peringkat Daerah Kemaman yang julung-julung kali diadakan ini. Beliau juga berharap agar program yang sama dapat diadakan lagi di tahun-tahun akan datang.

Ustaz Hj Mazlan pula menyatakan rasa sukacitanya dapat bersama masyarakat kampung di kawasan ini kembali dimana beliau pernah berkhidmat selama tiga tahun sebagai PKHEM di SMK Air Putih dimana Kg Seberang Tayur adalah salah sebuah penempatan pelajar sekolah itu. Beliau juga merakamkan penghargaan kepada pihak Pejabat Agama Daerah Kemaman yang dengan gabungan kerjasama berjaya merealisasikan PSR secara besar-besaran di daerah ini.

Program diteruskan dengan penyampaian tazkirah ramadan oleh Yang berbahagia Ustaz Hj Zulkefli Othman selaku Pegawai Agama Daerah Kemaman. Beliau yang juga anak jati kampung ini melahirkan rasa gembira kerana dapat bertemu penduduk di kampung ini dan saudara mara beliau. Beliau juga berterima kasih kepada pihak IKRAM Kemaman yang menjadi peneraju utama Projek Semarak Ramadan ini.

Beliau memulakan tazkirah dengan membaca sebuah hadis yang panjang yang merupakan khutbah baginda Rasulullah s.a.w. yang mengingatkan umatnya tentang kelebihan Ramadan dan menyeru umat Islam untuk memanfaatkannya. Ini termasuklah untuk bersolat teraweh, memberi makan orang miskin dan yang berpuasa, menyantuni anak-anak yatim, memanfaatkan malam-malam terakhir ramadan dimana di dalamnya ada satu malam Lailatul Qadr yang ganjaran beribadah di malam tersebut menyamai seribu bulan. Baginda s.a.w. juga menyebut di dalam khutbah tersebut tentang tiga fasa ramadan iaitu di awalnya fasa rahmah, di pertengahannya fasa keampunan Allah SWT dan di hujungnya fasa pembebasan daripada api neraka.





Beliau juga menyeru agar masyarakat di kampung ini menyemarakkan bulan ramadan ini dengan berbagai aktiviti ibadah termasuklah membaca al-Quran, mengimarahkan masjid, menghidupkan malam dengan qiamullail dan beriktikaf di masjid pada sepuluh hari terakhir ramadan.

Penyampaian sumbangan ramadan pula telah disampaikan oleh Ustaz Hj Zulkefli kepada 60 orang miskin dan 19 orang anak yatim selepas majlis tazkirah tersebut. Dua orang wartawan Sinar Harian juga hadir membuat liputan tentang majlis ini.



Majlis berbuka puasa juga meriah. Ianya diadakan di dalam dan juga di luar masjid. Jamuan berbuka puasa ini diadakan secara gotong royong oleh masyarakat kampung di sini. Sebelum majlis berbuka puasa, satu majlis tahlil dan doa telah dipimpin oleh Imam Masjid iaitu Ustaz Hj Muhammad Daud. Kehadiran ramai ahli masyarakat di kedua-dua kampung termasuk para belia menambahkan lagi keceriaan dan kejayaan program ini.





Program berakhir selepas solat maghrib berjamaah di masjid tersebut. Pihak IKRAMedia Kemaman juga sempat menemuramah Pegawai Agama dan Pengerusi JKKK Kg Seberang Tayur Hilir selepas solat maghrib.


0 comments:

Pages