Monday, October 24, 2005

Mendepani Tarbiah Generasi Baru 2

Ingin berkongsi pengamatan seorang akh yang juga sahabat yang gigih dalam dakwah, iaitu akh Fazrul Fahmi bin Ismail (KERSANI/JIM Segamat) yang dihantar pada 16 Oktober ke naqibnet:

Dalam Siri 2 ini, ana akan meletakkan beberapa aspek yang menjadi cabaran kepada generasi baru untuk mendapat tarbiah yang mantap. Secara amnya, tarbiah boleh dibahagi kepada tiga sumber:
1) Sumber liqa' dan usrah - atau diistilahkan tarbiah ijtima'i
2) Sumber disiplin dan amalan diri - atau diistilahkan tarbiah fardi
3) Sumber formal - jika seseorang menjadi pelajar, ia akan ditarbiah hasil sistem pembelajarannya.

Semua pemerhatian ini ana kumpulkan hasil pendapat, pemerhatian dan perbincangan dengan mahasiswa yang pernah mengikuti latihan yang ana jalankan. Penyelesaian yang diberikan adalah cadangan yang ana pernah jalankan atau yang nampak praktikal. Mungkin ikhwah akhawat boleh tambah-cadang-laksanakan:

1. Akademik

Cabaran: Mahasiswa memang dikekang oleh CGPA. Ia semacam 'periuk nasi' kepada mereka sebagaimana gaji pekerjaan bagi yang sudah bekerja. Kalau CGPA jatuh, maka akan jatuhlah segalanya. Ini banyak 'diimani' oleh pelajar.

Hal ini tidak dapat dinafikan tetapi ia mencapai tahap serius apabila CGPA dijadikan 'ilah' - tenang kalau bagus dan amat gelabah, tiada kerja dakwah atau program Islam hatta ada yang meninggalkan solat dan amalan harian kerana CGPA jatuh.

Mahasiswa juga ada yang berpendapat bahawa usrah atau ruang tarbiah tidak mampu membantu CGPA mereka - sehinggakan mereka merasakan apabila menghadiri program dan usrah, ia adalah bebanan tambahan yang akan menjadi 'scape-goat' jika CGPA turun.

Tidak dinafikan ada mahasiswa yang mampu berfikir hikmah di sebalik CGPA, tetapi ia perlu diajar dan ditunjuk contoh dalam tarbiah. Realiti kini, mahasiswa yang mengikut usrah banyak disudu bukan diberikan teknik praktikal mereka mendepani kehidupan selepas habis liqa'.

Penyelesaian: Lantaran itu, tarbiah perlu mencakup kefahaman konsep ilmu, bantuan kepada mahasiswa dalam studi untuk meningkatkan prestasinya, kefahaman bahawa hidup bukan semata-mata atas CGPA, diajar cara berfikir yang menyeluruh kepada pelajar (ajar memancing bukan diberi ikan)

2. Gaya Hidup

Cabaran:
a) Percampuran lelaki perempuan

Sistem pendidikan di Malaysia memang bercampur. Di luar negara (UK, US atau Australia) memang bercampur tetapi dengan adanya rasa 'tidak senang', ia akan menimbulkan uzlah syar'iyyah di kalangan mereka yang minat pada Islam untuk tidak bercampur bebas. Selain itu, bimbingan Pak Arab atau married couple di luar negara dalam komuniti Islam akan memberi gambaran lebih praktikal kepada mahasiswa luar negara yang inginkan Islam.

Di Malaysia, ini tidak berlaku. Percampuran lelaki perempuan hatta dalam persatuan Islam sering berlaku. Adab berbicara dan muamalah tidak difahami sebenarnya kerana kurang contoh dan bimbingan dari married couple yang rata-rata bukan undergrad. Kalau adapun, ia tidak membina arus kerana bilangan terlampau kecil. Apabila mahasiswa undergrad yang lebih senang bersama rakan sebaya kurang nampak contoh dan had, ia melemahkan hati. Kelemahan hati ini dimanifestasikan daripada komitmen kepada kerja dan aktiviti tarbiah dan dakwah yang tidak mantap.

Pelajar lelaki makin kurang terlibat dengan aktiviti dakwah kerana ia mencabar 'keselesaan' bersama ramai peminat perempuan di kampus. Apatah lagi kalau pimpinan pelajar, masa sudah occupied dengan dating, meeting dan pelbagai perjumpaan dengan siswi. Mahasiswi memang ramai yang mengikut program tetapi jika kepimpinan tidak dijaga dan diserahkan kepada yang selayaknya, maka akan makin kucar kacir dunia kini.

b) Gaya hidup mewah

Apabila hidup mewah hasil daripada 'gaji' yang diberi oleh ayah emak berada ditambah PTPTN atau biasiswa, ia menambahkan 'comfort zone'. Ke program adalah aktiviti sukarela yang bukan diwujudkan atas dasar kefahaman, tetapi ikut-ikutan. Gaya hidup mewah ini diburukkan lagi dengan nature program tarbiah yang makan sedap-sedap dan berlebihan, aktiviti yang tidak 'mencabar' status quo dan lebih banyak hiburan santai dan fizikal.

Tidak dinafikan tarbiah fizikal penting tetapi kerana pengendali program biasa memberi stereotype bahawa remaja dan mahasiswa adalah golongan yang sukakan leisure activities menyebabkan banyak program dihabiskan pada trekking atau aktiviti fizikal. Slot 'mencabar pemikiran' amat kurang tetapi banyak diisi dengan pengisian bersifat 'ulangan' sahaja.

c) Terpinga-pinga apa yang perlu dibuat

Terpinga-pinga ini boleh dibahagi dua: 1) tak tahu nak buat apa 2) tahu apa yang perlu dibuat tetapi tak berbuat-buat kerana ramai merasakan menghadiri program tarbiah adalah optional walaupun mereka masih tidak mantap tajuk yang disediakan untuk mereka. Ada yang merasakan mereka sudah tahu. Dan ada yang merasakan 'nanti boleh cover atau study'. Aspek al-wala' wal-bara' amat lemah biarpun sudah mengikuti usrah 2, 3 tahun.

Penyelesaian:

a) Naqib/ah di kalangan ikhwah perlu lebih rapat, dan memantau diskusi dan adab mahasiswa yang ditarbiah. Penerapan dan praktikal konsep percampuran (ikhtilat) amat penting. SMI perlu lebih awal menjelaskan konsep ini dengan jelas dan memberi 'latihan' bagaimana mengelak dari ikhtilaat. Naqib/ah juga perlu menjelaskan hal ini dalam usrah dari semasa ke semasa.

Mahasiswa lelaki perlu dibangkitkan semangat jihad qitalnya. Mahasiswa perempuan perlu dibangkitkan semangat jihad untuk menjadi isteri taat solehah pembina ummah. Kefahaman ini - berdasarkan program-program sebelum ini - mampu menyedarkan mahasiswa tentang budaya ikhtilaat. Namun ia perlu berterusan, bukan sekadar satu dua program tetapi program selebihnya sepanjang tahun dipenuhi dengan pelbagai perkara yang 'menyesakkan kalbu'.

b) Ibu ayah perlu mainkan peranan di samping peringatan dari naqib/ah. Program tarbiah perlu membawa konsep yang minimum dalam bentuk fizikal agar diri terbiasa dengan kesederhanaan. Program perlu mencabar diri peserta sebagai tazkiyat an-nafs sebelum melihat ruang medan dakwah yang akan diceburi.

c) Penekanan konsep al-wala' wal-bara' di kalangan ikhwah perlu dimantapkan agar ia lebih jelas dan nampak praktikal di kalangan mahasiswa yang dibimbing. Salah satunya ialah keperluan kepimpinan dalam JIM memberi pengarahan yang sesuai kepada setiap ahli dan ahli perlu bersedia untuk positioning pada aspek kritikal dalam BIG PICTURE. Ramai mahasiswa memahami konsep al-wala' wal bara' hanya melibatkan orang Islam dan kafir sahaja padahal ia lebih luas dan boleh dilihat dalam beberapa contoh berikut:
i/. Kehadiran program
ii/. Komitmen kepada tarbiah diri dan masyarakat di luar program dan usrah.
iii/. Kesungguhan dalam memajukan rentak dakwah tarbiah

Salah satu sifat tanggungjawab yang boleh diwujudkan dalam mahasiswa ialah dengan 'melantik mereka menjadi penyampai dalam program.' Ustaz Alias atau ikhwah lain menjadi pemantau.

3. Televisyen

Cabaran: Televisyen pasti ada di kebanyakan rumah mahasiswa samada mereka adalah anak ikhwah/ bukan. Televisyen tidak dianggap sebagai sumber dosa yang besar padahal inilah yang banyak memberi kesan kelemahan hati para mahasiswa.

Penyelesaian: Sibukkan mahasiswa dengan bacaan dan aktiviti yang mengurangkan masa mereka di depan TV. Tanamkan kefahaman bahawa TV punca parahnya penyakit hati, bukan tempat melepaskan tension selepas belajar.

4. SMS

Cabaran: Hand set dan SMS semakin bermaharajalela.

Penyelesaian: Ibu bapa/ Naqib memantau penggunaan SMS dan hand-set. Tidak keterlaluan kalau diminta untuk mengehadkan kos top-up / senaraikan masa panggilan dan objektifnya. untuk beberapa ketika. Dulu telefon biasa malu digunakan oleh mahasiswa lama-lama. Sekarang mereka boleh menerima mesej/ berseronok masa usrah sekalipun sehingga naqib tergendala menyampaikan isi usrah.


5. Kefahaman Islam Sedia Ada

Cabaran: Mazhab fahaman dulu ialah Islam atau bukan Islam. Ramailah yang mencari Islam. Kini bukan cabaran antara Islam dan bukan Islam. Tetapi antara 20% Islam, 30% Islam, 40% Islam atau 50% taghut, 60% taghut dan sebagainya. Pelajar kurang faham hal ini kerana di dalam usrah, ini kurang diberi penekanan. Mahasiswa tidak sensitif mazhab akidah telah terbahagi padahal inilah yang patut dipersoalkan agar selamat daripada 73 firqah yang wujud dalam umat Islam. Mahasiswa lebih rasa selamat dan dalam 'comfort zone'.

Penyelesaian: Kaca mata tauhid dan akidah syumul perlu ditegakkan dalam usrah tarbiah. Apabila dikaitkan dengan akidah - kalimah tauhid dan asy-syahadah, ia tidak dapat dielakkan dari semangat jihad dan syahid. Tanpa pengisian sebegitu, mahasiswa tidak akan terbangkit semacam mana ikhwah terbangkit untuk mengetahui Islam waktu 70-80 an dahulu.Kini maklumat Islam sudah berada di mana-mana hatta tafsir al-Quran boleh didapati di laman web. Dulu susah nak cari bahan Islamik.

0 comments:

Pages